Isnin, Mac 06, 2006

Keratan artikel ini memang dah lama tersimpan dengan baik. Dipetik dari ruangan "Nota Kaki" Berita Harian lebihkurang sedekad yang lepas. Sebagai anak jati Muo, tulisan Johan Jaafar (sekarang bergelar Datuk ) ini membawa makna dan menyimpan nostalgia tersendiri.

SELAMAT DATANG KE MUO

Mungkin terlepas daripada perhatian rombongan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ke bandar Muar, Khamis lalu, sebuah kain pemidang kecil direntang di antara sepohon berembang dan sebatang pokok kelapa bantut di pinggir Sungai Muar, 'Selamat datang ke Muo.'

'Muo' ialah sebutan tempatan untuk bandar Maharani Muar yang sejarahnya sepanjang tamadun Melayu itu sendiri agaknya.

Besar kemungkinan di sini tempat singgahnya Parameswara yang diusir dari Temasik dalam perjalanan ke Melaka. Mungkin juga bandar ini ialah 'Biawak Busuk' yang dicatatkan dalam kitab Sejarah melayu. Inilah bandar yang menjadi induk bagi kawasan bersejarah yang dikenal sebagai 'Padang' bagi orang-tua di sini.

Muar, ialah bandar pencen dan malas di kuala sungai terbesar dan terpanjang di Johor. Orang Muar khabarnya lebih selesa memperkenalkan dirinya sebagai 'orang Muo' daripada 'orang Johor.' Orang Muar ada kebanggaan tersendiri, mungkin juga kesombongan setempat, dan menganggap diri mereka 'lain sedikit' atau 'lebih istimewa' daripada orang Johor lainnya.

Lain pula bandar ini kononnya tempat lahirnya cendekiawan Johor. Bandar ini tempat bermukimnya cerdik-pandai, calon cerdik-pandai dan bekas cerdik-pandai selain tentunya mereka yang mngaku cerdik-pandai.

Orang politik dari Muar juga heat-hebat. Nampaknya, salah satu pra-syarat menjadi Menteri Besar Johor mestilah seseorang itu berasal dari bandar ini.

Muar sentiasa sibuk waktu siang. Sebahagian puncanya kerana jalan sehalanya yang tidak pernah mengurangkan kesesakannya. Laluan diubah di bandar ini sekerap kemalangan yang membabitkan beca roda tiga yang masih menjadi raja jalan di sini.

Jambatan yang merentangi Sungai Muar dibuat di tengah-tengah bandar. Pada hari Ahad, kenderaan berjejal-jejal bermula dari pekan Parit Bunga lagi. Betul-betul di tepi jambatan itu Pasar Tani dibuka sedangkan Pasar Besar ditutup lalu memburukkan lagi keadaan lalu lintas.

Cerita Politik

Orang kampung biasanya keluar 'ke bando' pada pagi Sabtu. Kalau di Bazaar, siapapun yang lalu lalang akan dipangil 'cikgu' hari itu.

Muar mati waktu malam. Hotel terbesarnya tidak ada coffee-house. Bangunan UMNO yang menjadi tuan rumah hotel itu sehingga hari ini belum dirasmikan lagi.

Intrig di sebalik cerita bangunan ini lebih hebat dari novel politik sasterawan Arena wati. Hotel ini bagaimanapun boleh menjadi tempat strategik melihat barisan kedai ceti di hadapannya, mak nyah di perhentian teksi dan bas serta pasangan berdua-duaan di tepi sungai.

Orang berkunjung ke Tanjungnya kerana rojak petis dan mi jawa. Atau melihat rumah kolonial yang diduduki oleh pegawai daerah, penolong-penolongnya dam majistret setempat. Muar juga terkenal kerana mi bandungnya, selain sate. Orang Muar macam orang Kuching di Sarawak juga, makan sate pagi-pagi lagi.

Muar juga punya cerita politik menarik. Salah satu Dewan Undangan negerinya jatuh ke tangan Parti Semangat 46 dalam pilihanraya 1990. Calon popular Zakaria Mahadi, anak tempatan pertama menjadi wakil rakyat di Parit Jawa terpaksa dipindahkan ke Parit bakar untuk memberi laluan kepada seorang ustaz.

Akhirnya, Zakaria merupakan calon UMNO pertama kalah dalam pilihanraya umum di Johor. Ustaz berkenaan mendapat undi majoriti paling kecil dalam sejarah BN di kawasan berkenaan.

Selain legenda Panglima Lidah Hitam, saliwutang, Pendekar Raibah, penghulu Bakar dan cerita rakyar Si Tenggang versi Johor yang kononnya berlaku di Bukit Tereh, Muar juga ada cerita rakyat terbaru.

Sewaktu perebutan kerusi ketua bahagian di Muar tahun lalu, menurut riwayatnya, ada orang yang turun dengan helikopter mengagih-agihkan wang pada saat-saat terakhir. Cerita ini belum tentu benar, tapi ia menjadi sebahagian penglipurlara rakyat moden yang paling popular sekarang.

Muar juga agknya punya per kapita kilang haram yang tertinggi di negara ini. Di Parit Bakar, seuah pusat perubatan kecil milik kerajaan diapit oleh kilang-kilang yang mengeluarkan habuk.

Semua pekerja pusat itu memang sangat-sangat memerlukan rawatan. Bak bisa tegal biasa, tiada siapa agaknya yang mengambil berat nasib mereka - JOHAN JAAFFAR.


Itu dulu. Kira2 sedekad yang lepas. Bando Muo sekarang dah jauh berubah. Jambatan baru ala Penang Bridge, lebuhraya baru merentas dari Pt Bunga ke Jln Abd Rahman, masjid 'kembar' baru seberang Sg Muar bersetentangan masjid sedia ada dan Tanjung Mas yang lebih ceria telah merubah wajah Bandar Maharani. Perhentian Bas baru yang hampir siap, naiknya taraf Hospital Muar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, persekitaran berlandskap yang indah dan berdirinya banyak bangunan baru juga bukti hasil dari proses modenisasi. Bandar Maharani pun tak mahu ketinggalan dalam arus urbanisasi.

Apapun identiti orang Muo masih kuat dipegang. Walaupun wajah2 asing warga Indon, Nepal dan Myanmar turut mewarnai Bandar Maharani hari ini, identiti Muo masih kuat bahkan orang Muo yang merantau pun masih setia menjunjung semangat ke'muar'an. Ke manapun anak2 Muo pergi, mi bandung, kopi 434, mee siput, asam pedas Muo dan lain2 identiti Muo tetap takkan dilupa.

Hmmm.... Tetiba terasa rindu pada kampung halaman dan kehidupan di Muo.

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/06/2006 01:20:00 PTG. |


7 Ulasan


Selasa, Mac 07, 2006 4:12:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

Muo?? hehe .. muar la ..

tapi orang melaka panggil muau

 

Selasa, Mac 07, 2006 6:17:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

...orang 'MUO' sejati panggil muar tu 'MUO' la....

 

Rabu, Mac 15, 2006 3:09:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

MUO forever....

 

Rabu, Mac 15, 2006 3:20:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

mrz: yeah......hidup MUO...hehehe...

 

Rabu, Mac 22, 2006 9:23:00 PTG, Blogger Saudagar Mimpi

Org muo jugak ke? hahahhaha
Keluarge M.Nasir pun katanya berasal dari Pagoh Muo ler.

Lama tak pekene mee bandung muo atau makan sate sbg sarapan!

 

Khamis, Mac 23, 2006 12:01:00 PTG, Blogger JBM8141

haha nostalgia. Satu lagi perkara yang jarang dapat dipisahkan dengan muo. Sendeng.

sekarang rumah aku dekat je dgn jambatan baru tu. Taman Muar. Seronoknyeee... kalau nak ke pt bunga ke, melaka ke, nak ke bp ke, tak yah masuk bando.

 

Sabtu, Mac 25, 2006 3:04:00 PG, Blogger Sufi is me

eh?

Wah... Anak jati Muo.
Bangga saya menjadi anak Muo, bila ada orang promosi begini.

=)