Isnin, Mac 13, 2006

Baru-baru ini seorang kawan lama menghantar emel dan gambar poster filem ini. Kreatif juga rupanya kawan yang seorang ini. Mungkin pernah menyimpan cita-cita menjadi karyawan filem agaknya. Hehehe. Yang pasti kalaupun wujud filem ini, memang tak akan dapat disaksikan di mana-mana pawagam di negara inipun dan tidak juga dapat disaksikan di mana-mana rancangan khas sempena Hari Raya di mana-mana stesen tv tempatan. Kalau adapun tunggulah diterbitkan dalam bentuk VCD. Sebabnya tidak melepasi syarat mengarut LPF. Kalau disiarkan pun, pasti akan menjadi mangsa 'guntingan.' Maklumlah penuh dengan elemen-elemen tahyul yang kononnya boleh mempengaruhi akidah penonton [Hmm... Takkanlah serendah itu minda dan sebodoh itu pemikiran penonton kita ekk...]. Dan diselitkan juga adegan-adegan agak ganas [walaupun taklah seganas mana kalau nak dibandingkan dengan rancangan gusti WWF yang disiarkan di tv].
Dan tak kisahlah kalau filem ini tidak layak dipertandingkan di Festival Filem Malaysia. Malah rasanya kalau filem ini wujudpun rasanya tak perlulah dipertandingkan di sini sebab dikhuatiri akan dikutuk kiri dan kanan, dan untuk mengelak dari menjadi bahan kontroversi sebagaimana yang pernah berlaku kepada filem Sepet hasil tangan Yasmin Ahmad dulu. Lagipun kita faham filem-filem indie seperti ini tidak mendapat tempatpun di tanahair sendiri. Agaknya sebab penonton-penonton di sini masih lagi berminat menonton filem-filem cinta basi, cerita-cerita kemasyarakatan yang tak berpijak di bumi yang nyata ataupun komedi lawak slapstick, atau filem yang ada menempekkan pelakon-pelakon yang lawa-lawa [walaupun bakat lakonan entah apa-apa].
Tertanya-tanya juga kita, kenapa sesetengah filem-filem yang dikategorikan sebagai filem-filem indie ini [siapa sebenarnya yang meletakkan kategori sebagai filem-filem indie ini....?] lebih mendapat perhatian dan dihargai di luar negara malah karyawan filem luar berani pula meletakkan taraf filem-filem sebegini sebagai filem yang mempunyai jiwa tersendiri...??? Mungkin ada keunikannya tersendiri, tidak seperti filem stereotaip lain keluaran tempatan.
Hmmm…. Sesetengah dari kita melihat gambar poster di atas sebagai bahan lawak, sesetengahnya melihat dan mentafsirkannya lebih jauh dari tu. Dalam lawak ada sinisnya. 'Filem kita wajah kita...???'. Masih keliru dengan pengertian dan kebenaran kata-kata itu.
Entahlah, kehidupan inipun salah satu bentuk lakonan juga...
TTFN
Label: Filem
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/13/2006 09:10:00 PG. | 3 Ulasan




