Rabu, Disember 12, 2007
Jumaat dan sabtu. Sekolah bercuti. Pun begitu bukan hari untuk saya dan Angah berehat-rehat dan bermalas-malas. Pagi-pagi lagi, waktu kanak-kanak lain seusia kami di pekan sana mungkin masih melayan mimpi, atau sedang bersenang-senang, kami sudah tercongok di kebun getah atok. Sambil menjinjing baldi, kami mengangkit susu getah dari satu pokok ke satu pokok sambil mengompel sisa-sisa susu getah yang telah membeku di cawannya.

Selesai di kebun getah atok, saya dan Angah bergegas pula ke kebun getah Cina di baruh, tempat abah mengambil upah menoreh. Di sudut belakang kebun getah itu semak-samunnya membelukar separas dada. Ada yang sudah melepasi paras kepala saya. Hanya lorong sempit di antara pokok getah menjadi laluan. Itupun perlu pandai mengelak-ngelak dan menepis-nepis. Lengan, juga leher saya sudah lali digaris dan dicalar duri-duri renek mempelas dan sendayan. Itu belum lagi didera gigitan nyamuk dan agas. Bintat-bintat, pedih dan menggatalkan.

Menjelang tengahari, kami bergegas pula ke bangsal getah tauke Cina itu. Saya menolong abah ngebris - proses meleperkan getah keping dengan memusing stereng mesin penggelek sehingga bongkah getah kenyal empat segi bujur yang terbentuk dari takungannya itu meleper, akhirnya menjadi kepingan nipis yang bercorak garis-garis lurus.

Hari jumaat dan sabtu saya dan Angah memang meletihkan. Terasa juga menjemukan. Tapi senyap-senyap kami sembunyikan kejemuan kami itu dari abah dan emak. Itu sahaja dunia hari cuti kami. Bagaimanapun, dua minggu sekali, bila tiba hari menimbang - hari gaji abah - keletihan dan kejemuan itu bagai terhalau jauh. Abah tidak lokek menghulur satu dua keping wang kertas untuk saya dan Angah. Itu sudah cukup mewah buat kami. Kemudian saya dan Angah berpakaian lawa-lawa. Kami mengikut abah berbelanja di pekan. Berjalan-jalan di pekan kecil, yang hanya diisi deretan bangunan lama pra-merdeka itupun sudah cukup menggembirakan kami. Kami membeli komik seperti Bujal, Gila Gila, Geli Hati, Wak Dojer, juga tak lupa jajan untuk adik kecil kami.

Hari cuti, sesekali kami bermain badminton. Kami takut untuk meminta abah membelikan kami raket. Atoklah yang membuatkan kami raket dari papan. Bulu tangkisnya kami kutip di gelanggang orang muda kampung sebelah. Sesekali kami bermain bola plastik di laman. Sesekali juga kami bermain kuda kepang olok-olok, polis-polis, nyanyi-nyanyi bersama kawan-kawan sekampung yang rata-ratanya lebih tua dari saya, tidakpun seronok mengacau adik perempuan kami dan kawan-kawannya bermain pondok-pondok dan kahwin-kahwin.

Bila tiba musim mengutip buah, saya, Angah dan adik akan mengekor abah, emak dan atok ke dusun atok. Kami bagaikan berkelah. Kami membawa tikar, bontrot dan radio. Saya dan Angah sama-sama mengumpul buah kelapa dan nanas. Kami sama-sama memetik buah kopi. Kami sama-sama menolak basikal Jaguar bersangkak yang dituntun abah, yang sarat berisi nanas dan kelapa itu ke jalan besar. Kami sama-sama mengompel kelapa salai. Kami ikut memerun, memancah dan menajak - menyibuk sebenarnya.

Dusun itu banyak merakam tawa dan tangis saya dan Angah. Dusun itu melihat keakraban kami. Kami bebas. Panjat-memanjat, bergumpal, bertumbuk dan kejar-mengejar. Kami bermain lontop dari batang buluh, lastik dari cabang pokok kopi, tembak-tembak dari batang belemban. Tubuh kami bagai sudah alah dengan calar balar duri semak dusun, sudah lali dengan lebam bergasak di atas tanah, sudah mesra dengan luka-luka terjatuh. Dusun itu menjadi saksinya.

[Bersambung...]

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 12/12/2007 06:07:00 PTG. |


36 Ulasan


Rabu, Disember 12, 2007 7:12:00 PTG, Blogger Sastri

kesukaran yang dialami semasa kecil pasti akan membuatkan u lebih tabah dalam menghadapi apa jua dugaan dan cubaan masa sekarang dan akan datang...

lontop tu salah satu permainan yang i pun main... keskeskes... sakit wooo kalau kena pelurunya... :p

 

Rabu, Disember 12, 2007 10:44:00 PTG, Blogger Brader Black

bang, sejujurnya aku jeles bc crita kau ms muda2 dulu..
aku tggu sekuel yg laen..

 

Khamis, Disember 13, 2007 2:02:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

woit... buat buku la...

 

Khamis, Disember 13, 2007 9:11:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

zaman kanak-kanak yg penuh bermakna.

tak macam aku yg asyik main pondok² dan kawen² je.. (",)

 

Khamis, Disember 13, 2007 9:29:00 PG, Blogger Aku Bukan Bidadari

BP, tiara teringin nk rasa tekan2 getah tuh .. uli-uli getah tu nampak putih bersih jer kan?

 

Khamis, Disember 13, 2007 11:05:00 PG, Blogger Lily Abdullah

Sdara BP,
Gambar basikal tua itu serupa benar dengan basikal tua allahyarham abah. Photo itu buat saya pipi saya basah dengan airmata. Terima kasih kerana sudi berkongsi cerita ini. Sungguh sentimental

 

Khamis, Disember 13, 2007 11:20:00 PG, Blogger achik

tiap kali balik kg, merasa la naik basikal yg sama cam dlm gambar tu.. basikal arwah atok.. masa kecik2 x bape sampai, masukkan kaki antara celah palang tu.. heheh.. ;p

 

Khamis, Disember 13, 2007 12:24:00 PTG, Blogger TokNabe

seronok mengimbau zaman kanak2 ni... kalau boleh tak teringin ke kembali ke zaman tu. Tapi kalau kembali ke zaman kanak2 semula kena sunat le lagi sekali.... hehehehe :D

 

Khamis, Disember 13, 2007 12:59:00 PTG, Blogger Along Tapa

kenapakah aku rasa cam nak balik zaman dulu2. ni jam muor pun tak cam yg ko citer kan. bbudak lagi suka main komputer, main senapang berbateri, basikal yang ada enjin, sampai aku pun taktau amenda yang dorg mainkan tuh. aerial tinggi2 pun dah banyak takderk. org byk da pkai astro. kalo kat bandor, yg tggl just bangunan lama yang tggu nak kena sodok ngan bajak jek. akhir kata, muor skrg ni macam menteri besor kita, tua, takderk tenaga dan makin gondol.ngahahahaha.lagipun kalo aku balik muor, biler naik bas, kadang2 aku raas cam ada kat nepal,kadang2 kat indonesia dan yg plg salu mcm kat bangladesh. betul ek? cuma yg membanggakan cuma muor jek yg tak tenggelam dek banjir baru2 ni. jadik pulau muor la ek.

 

Khamis, Disember 13, 2007 1:19:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

Satu perkataan yang membuat saya terliur... ikan kapak... wahhwaawaa.. mana nak cari kat sini tak jumpa.. bali kampung baru jumpa.. masa saya duduk nun jauh dulu, abang saya ganggup poskan ikan kapak berharga puluhan rm dengan kos penghantaran beratus rm... ikan kapak..ikan kapak..

 

Khamis, Disember 13, 2007 1:28:00 PTG, Blogger Mak Su

abg saya dulu kena belajar motong, saya tak payah, sebab saya kan anak pempuan yang manja... hahaha. tapi saya kena tolong pijak2 getah, mesin getah, sidai getah, angkat getah, kumpul sekerap.. huhuhu, bushuk

 

Khamis, Disember 13, 2007 1:30:00 PTG, Blogger 13may

klasik sungguh mesin getah tuh...payah nak jumpa dah sekrg nih...

 

Khamis, Disember 13, 2007 2:19:00 PTG, Blogger DeeN

Huhu .. tak penah menoreh getah, sebab kat kg daku takde pokok getah. Tapi pernah jugak ikut tok daku ke bendang. Syok oo..sebab tu aku tak takut ngan lintah atau pacat. Hak Hak Hak!

PuRP! Kalo ko nak komersilkan kisah retro ini, silalah tulis skrip. Takpun kalo ada lebeh2 masa lepas deting, tulis novel ar.... hehe!

 

Khamis, Disember 13, 2007 3:11:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

hmm..setiap org ada kisah dan zaman silam masing-masing..walaupun pengalaman kanak-kanak kita berbeza tapi kemanisannya tetap sama..

Terkenang-kenang...

 

Khamis, Disember 13, 2007 3:44:00 PTG, Blogger Rush Murad

aku cuba mengimbas kenangan masa kecil.... eeermm.... agak berbeza dgn Tuan punya cerita. Tetapi aku juga membaca Bujal, aku juga bermain polis-polis... kenangan mengusik jiwa bertambah dgn alunan muzik Wheels ni... eerrrkk....

 

Khamis, Disember 13, 2007 4:24:00 PTG, Blogger Pa'chik

lontop tu, kalau budak jahat dia buh bijik yang gatal tuh...

 

Khamis, Disember 13, 2007 4:26:00 PTG, Blogger NBK466

Oh..dari permainan LONTOP tuh wujudnya perkataan LAPTOP tuh yek..he.he.he..

p/s : Belum nampak bayang lagi PUAKAnyer..

 

Khamis, Disember 13, 2007 5:27:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

Sas,
Begitulah. Tetap ada hikmah yang tersembunyi. Lagipun I dah biasa susah. Dalam 1-2 tahun inipun, rasanya U pun dah tengok sendiri macamana I melalui saat-saat jatuh dan bangun nak menaikkan syarikat I ni. :)

Bintat-bintat merah kalau kena tembak jarak dekat dengan lontop tu. Lagi-lagi kalau semasa main tu 'diharamkan' pakai baju. He he he.


Brandal,
Cerita biasa saja bro'. Tak ada menariknya. Sekadar berkongsi pengalaman.


mudin,
Setakat ini aku dah berjaya menyiapkan 3-4 buku. 1 buku manual landskap, yang lain kertas cadangan projek yang dibukukan. Itu tak termasuk buku tesis masa belajar dulu. Kira buku juga kan? He he he.

Tapi yelah, mana tau, kalau ada peluang dan rezeki nanti. :D


cikin,
Budak perempuan selalu main pondok2atau kahwin2, tak mencabarlah! Main panjat2 pokok, mandi parit berbugil, main tembak2, itu baru mencabar! He he he.


Tiara,
Ha'ah. Sebelum digelek dengan mesin penggelek tu, getah itu ditekan-tekan dulu dengan tapak tangan. Lembut semacam.

Yang tak seronoknya masa memusing mesin penggelek, berat! Itu yang berketul2 lengan sampai sekarang tu. He he he.


mama ranggi,
Isk! Dah lama sangat dah. Mana ada lagi raket tu MR. :D


Waterlily,
Gambar basikal tua itu bukan milik saya, saya cuplik di internet. Tapi lebih kurang seperti itulah rupa basikal yang abah dan atok guna untuk mengangkut hasil kebun.

Sama-sama. Saya cuma berkongsi cerita lama. Sekurang-kurangnya kita sama-sama tak lupa sejarah, 'akar' dan 'asal-usul' kita, biar di mana dan siapapun kita hari ini. Semoga kita sama-sama tidak lupa diri.


achik,
Sekurang-kurang ada lagi basikal itu untuk kamu sentuh. Kami punya tinggal besi buruk. Tak merasa nak melepaskan rindu mengayuh basikal tua itu lagi. :)


Tok Nabe,
Ya tok. Zaman kanak-kanaklah yang paling manis dan indah. Semuanya bebas.

Nanti nak buat cerita pasal bersunat pulaklah. He he he.

 

Khamis, Disember 13, 2007 6:07:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

along tapa,
Begitulah. Zaman berubah. Manusia berubah. Cuma sejarah dan kenangannya tetap kekal.

Engko Muor, belah mana ek?

Tapi di belah kampung2, rasanya identiti kemuaran itu masih agak kuat. Kalau di sebelah bandar Maharani itu memanglah, keasliannya dah agak 'tercemar' dengan modenisasi & urbanisasi. Tambah2 pulak bertambah ramai imigran yang 'mencacatkan' keaslian Muor. Apapun jiwa, keakuan dan 'kesombongan' orang Muor tetap kuat.


Sarahjiha,
Ikan kapak [selain ikan layur], juga kegemaran saya. Memang sedap, unik sungguh rasanya. Setiap kali balik Pt Jawa memang saya akan beli banyak2 untuk stok 1-2 bulan di KL. Memang tak ada jual di mana-mana selain Muor rasanya. Lagipun ikan itu ada musimnya di pasaran.


mak su,
Bab yang paling saya tak suka selain digigit nyamuk dan agas di kebun getah, adalah membersihkan tangan dari getah2 yang melekat di kulit dan jari tangan selepas 'mengangkit' susu getah. Leceh sungguh! Tapi sekarang ini ramai pekebun getah dah buat getah beku, senang, tak payah 'mengangkit' lagi.


13may,
Memang susah nak cari sekarang. Kalau nak tengokpun kena pergi ke muzium getahkot.


nur@,
Ya, mungkin tak sama apa yang kita lakukan semasa kecik dulu, tapi mesejnya tetap sama. Jangan lupa asal-usul dari mana kita datang. Tak begitu?

Aku cukup benci, kalau orang kampung yang dulu hidupnya susah tapi bila sekarang dah berjaya, jadi YB atau MB misalnya, mulalah lupa asal-usul. Bukan membela rakyat, malah menindas dan memperbodohkan orang kampung lagi. Itu belum rasuah, bla...bla.. bla...

Untuk menulis, belum terfikir lagi. Aku masih ada 'tugas' yang belum beres. He he he!


meen,
Mana ada zaman lain yang lebih indah dari zaman kanak-kanak. Kan?


rush,
Mungkin kau datang dari keluarga senang. Itu mungkin perbezaannya kot :

Apapun kita tetap ada cerita dan sejarah peribadi tersendiri di zaman kanak-kanak kita. Bila dikenang-kenang semula, itu yang syahdunya.


Pa'chik,
Aku tak ingat nama biji yang aku selalu guna untuk jadikan peluru tu. Tapi ikut kreativiti masing-masinglah. Bagi budak yang berjiwa ganas dan samseng, ada saja idea nak bagi tembakan itu mantap dan tajam. Lagi-lagi kalau tembak dari jarak dekat, badan melenggeng pulak tu, isk! memang sakit sungguh kalu kena!

He he he.


nbk,
Ekau dulu duduk JB, orang bandar, mana ekau tau jang. He he he!

p/s, ha ha ha!

 

Khamis, Disember 13, 2007 8:59:00 PTG, Blogger farazdaq

salam blackpurp;
teringat pulak aku kebon ne Wak Painah..tempat aku 'bajet MACHO' angkut BEKU naik beskal.

 

Khamis, Disember 13, 2007 11:20:00 PTG, Blogger zino

teringat kisah masa kecik2 dulu selalu bantu ayah mesin getah keping tu.. berpeloh2 di buatnya..

 

Jumaat, Disember 14, 2007 8:30:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

Kat rumah arwah atuk aku pun masih ada mesin gelek tu.

 

Jumaat, Disember 14, 2007 9:35:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

Salam BP,
Semua pengalaman anda itu saya alami semasa membar di kampong. Anak sulong saya lahir pada 1980 dan yang lain-lainnya juga, tidak merasai semua ini kerana dibesar dan bersekolah di bandar. Mereka tidak merasa semua kesukaran yang kita alami. Tetapi semua itu mengajar kita untuk lebih tabah dan membina keazaman untuk memajukan diri.

 

Jumaat, Disember 14, 2007 9:36:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

Maaf BP,
Membesar bukan membar.

 

Jumaat, Disember 14, 2007 11:05:00 PG, Blogger arsaili

salam bro..umm ni latar belakang tahun bila ya? ini cam refleksi zaman my bapa but i know you r still young kan..eheheh..saya melalui kehidupan berbeza, cuma sering mendengar cerita dari bapa dan arwah atok. Bapa setiap kali bercerita akan mengalir air mata...jerit perih kehidupan di masa kanak2...

 

Jumaat, Disember 14, 2007 1:11:00 PTG, Blogger DeeN

Ya! Jangan lupa asal usul bila telah berjaya! Dan jangan menidakkan jasa2 insan2 yg pernah susah kerana dan bersama2 kita.

Dan sebenarnya mmg banyak kes insan2 yg tak sedar diri kat muka bumi ini. Muga ALLAH memberi hidayah kepada org2 begitu. Dan mudahan kita semua tak tergolong dlm kumpulan manusia sebegitu!

 

Jumaat, Disember 14, 2007 5:35:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

farazdaq,
Waalaikumsalam,

Wak Painah mana satu ni? Macam kenal jer.

BEKU itu busuk tapi 'hasilnya' wangi. He he he.


Zino,
Lenguh tangan dibuatnya memusing stereng mesin itu. Tapi OKlah, tak payah dah nak ke gimnasium, boleh berketul2 lengan tu kalau setiap hari buat kerja memusing tu. He he he.


azzam,
Pakai lagi ke bro' mesin itu? Kalau tak pakai, baik simpan elok-elok, takut nanti dicuri orang pulak. Mana tau. Sebab berat mesin tu, kalau dijual di kedai barang lusuh pun mahal harganya tu. He he he.


Tuan Zabs,
Waalaikumussalam,

Semasa itu saya masih di sekolah rendah lagi. Kawan-kawan sebaya saya yang tinggal di pekan pun tak melalui pengalaman seperti itu. Dulu rasa susah, tapi bila diingat2semula, ada hikmahnya.

Apapun, benar, seperti yang tuan katakan itu. Pengalaman itulah yang banyak mendidik dan mendewasakan kita, dan yang membuat kita 'lebih kuat' bila menghadapi 'kepayahan' dalam hidup hari ini.


arsaili,
Salam sdra,

Seperti saya katakan di YM tadi, dan di bahagian pertama cerita ini pun saya ada katakan, zaman 80-an. Semasa saya masih bersekolah rendah.

Tak kiralah bagaimana kita bermula sdra, yang penting di mana dan bagaimana kita berakhir :)


nur@,
Moga-moga begitulah.

Lagipun, hidup ini bukanlah lama sangat. Kena beringatlah.

 

Jumaat, Disember 14, 2007 9:12:00 PTG, Blogger posmen

kalo la aku publisher.. nk je aku buku kan cite ko ni.. tp nk jd buku, byk lg tu kena tulis..

haaa cepat2 hehehehe

 

Ahad, Disember 16, 2007 2:28:00 PTG, Blogger KV

lontop tu ape ke benda ek?

 

Ahad, Disember 16, 2007 9:42:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

salam, lama tak mejenguk, tak berkesempatan nak online. seronok baca pengalamn bp menoreh.

 

Isnin, Disember 17, 2007 1:42:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

Posmen,
Aku tunggu kau jadi penerbit, baru aku buat buku, k?

:D


kasutvincci,
Macam senapang. Biasanya dibuat dari batang buluh. Pelurunya menggunakan biji tertentu yang muat2 masuk ke dalam buluh itu. Cara menembaknya, tolak biji itu menggunakan batang kayu. Menggunakan prinsip tekanan, peluru akan menembak ke arah sasaran. Kalau kena badan, sakit wooo.... :D


anielza,
Waalaikumusalam,

Saya tak menoreh. Saya cuma mengutip [bangkit] susunya dan ngebris saja. :D

 

Isnin, Disember 17, 2007 8:49:00 PTG, Blogger aNIe

BP...rasa-rasanya apa yang BP lalui telah kak lady lalui semasa zaman kanak2 dulu...

Teringat lagik kisah mesin getah di rumah arwah atok...di situ lah kak lady telah memesin jari rakan baik kak lady secara tak sengaja ketika bermain2 dibangsal mesin getah tu...selepas tu berhari2 tak ke rumahnya sebab takut kene marah ngan mak dia...heheeh

 

Isnin, Disember 24, 2007 10:28:00 PG, Blogger ManjLara

oh, seronok membaca coretan bp ni. mmg saya tak pernah melalui zaman kanak2 yg sebegini, walaupun kami juga org susah. kesusahan kita berbeza-beza rupanya :)

 

Rabu, Disember 26, 2007 11:16:00 PG, Blogger blackpurple @ jowopinter

kak lady,
Kak lady lebih senior dari saya, mesti lebih banyak pengalaman dan cerita-cerita menarik semasa zaman kanak-kanak kak lady dulu agaknya.

He he he. Bahaya mesin tu. Silap-silap boleh hancur jari tangan kalau tergelek….


Manjlara,
Terima kasih. Sekadar berkongsi cerita, yang entah apa-apa.

Sepayah-payah hidup kami dulupun, ada ramai lagi yang jauh lebih payah lagi hidup mereka. Apapun syukur kerana kepayahan itu yang menjadikan saya, atau kita, ‘kuat’ hari ini :)