Selasa, Mac 09, 2010
Tempat itu terlalu banyak menyimpan cerita, kenangan dan rahsia. Cerita, kenangan dan rahsia saya, dan saya percaya mungkin sebahagian dari kamu juga. Suka + duka + indah + gundah + manis + pahit. Macam-macam.
Di terminal itulah, suatu ketika dahulu, kepulangan dan pemergian saya dihantar dan dijemput. Di tempat letak motorsikalnya itulah, tempat saya selalu menyimpan kapcai saya [dan saya masih ingat lagi, pernah sekali saya tertinggal anak kunci kapcai saya yang masih terlekat kemas walaupun sehari semalam saya tinggalkan kapcai saya di situ]. Di salah sebuah kedai jahitnya itulah tempat saya menempah seluar dan kot berwarna hitam untuk dipakai semasa majlis konvokesyen saya. Di beberapa bangku kerasnya itulah tempat saya [sesekali, kami] pernah duduk-duduk sementara menunggu Ekspress Nasional atau Hasry Ekspress Kuala Lumpur-Muar atau sekali-sekala KL-Batu Pahat, yang akan membawa saya ke Bandar Maharani sampai, sambil berjiwang dan menonton bermacam-macam cerita dan ragam manusia yang lalu-lalang di hadapan saya [sesekali, kami].
Di salah sebuah kedai muziknya, saya pernah beberapa kali membeli kaset dan merakam koleksi lagu-lagu rock kapak. Di anak tangga platformnya, saya biasa duduk-duduk sementara menunggu bas sampai sambil menikmati aroma asap ekzos bas dan bunyi enjin puluhan bas. Di kaunter tiketnya itu jugalah suatu ketika dahulu, di setiap awal cuti semester dan sesi atau di hari-hari terakhir bulan Ramadan, saya berjejal-jejal membeli tiket bas. Di gerai-gerai makannya yang sempit itulah tempat saya duduk makan-makan dan minum-minum, melepas lapar dan dahaga.
Dan bermacam-macam cerita dan kenangan lagilah yang tersimpan di situ. Itu belum lagi cerita-cerita rahsia. Kalau mahu diceritakan semuanya boleh menjadi satu novel agaknya.
Itu cerita dulu, berbelas tahun dahulu. 2-3 tahun yang lepas, khabarnya terminal itu sudah diubahsuai, menjadi lebih terurus dan selesa katanya, berjuta-juta RM jugalah duit rakyat dibelanjakan di situ. Saya tak pasti sebab sudah lama juga saya tidak ke sana. Petang kelmarin, saya terbaca coretan di sebuah akhbar alternatif, khabarnya Hentian Puduraya itu akan dihentikan semua operasinya, untuk diubahsuai sekali lagi, dinaiktaraf dan akan ada juga medan selera mega nanti, khabarnyalah.
Sesekali bila diingat-ingat semula semua cerita dan kenangan yang pernah tercipta dan tersimpan di Hentian Puduraya itu, lucu ada, sedih pun ada. Dan saya pasti, kalian juga. Kan?
TTFN.
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/09/2010 09:27:00 PG. |
13 Ulasan
Selasa, Mac 09, 2010 11:32:00 PG, Rajuna
aku pernah berbuka seorang diri di stesyen bas muar gara-gara putusnya bas kl-pontian. akhir sekali saya hanya mendapat bas kira-kira jemaah sedang bersedia untuk solat isyak. ini buat saya panas dengan janji manis pengusaha bas mayangsari. 'ada kejap lagi' kepalaotakkau. ber-jam aku tunggu. yang pasti aku tak pernah bermalam di jambatan Muar untuk menunggu ular rasaksasa muncul.
ya betul. kalau 'puduraya' ada menulis ceritanya sendiri, berkoyan2 cerita dia agaknya.