Jumaat, Februari 15, 2008
Rakan saya ini sudah kemarau idea. Katanya otaknya sudah buntu - bumpet kata orang Jawa - untuk menulis entri. Patutlah blog lama tidak dikemaskini.

Saya kata, tulis saja apa yang kamu nampak, dengar dan rasa di sekeliling kamu. Apa sahaja yang kamu suka! Inikan ruang yang tercipta untuk kamu berekspresi secara bebas. Samada orang akan suka atau bosan membaca apa yang kamu tulis itu, itu cerita lain. Tapi kalau kamu tulis cerita kamu bangun pagi, masuk tandas, gosok gigi, bla bla bla…, memanglah orang akan muak membacanya. Kamu tulislah cerita yang berjiwa sedikit.

Dan lagi, tulisan kamu itu biarlah beradab. Beradab dari segi bahasanya, dari segi nahunya. Kalau Bahasa Melayu, Bahasa Melayu yang beradab. Kalau Bahasa Inggeris, Bahasa Inggeris yang beradab. Kalaupun mahu berbahasa basahan, biar berpada dan bertempat. Saya rasa kamu faham maksud saya. Belajar-belajarlah merasa cemburu bila membaca blog-blog yang bagus dan mulus bahasanya. Tak kiralah dalam bahasa apa sekalipun.

Satu lagi, menulis biarlah dengan kreativiti kamu sendiri. Kalaupun kamu menggilai sangat-sangat karya Sinaganaga, Tok Rimau, Saharil atau Rudy Bluehikari itu misalnya, tak usahlah kamu meniru lenggok bahasa dan gaya penulisan mereka bulat-bulat. Dan satu lagi, tak mengapalah kalau dikata orang tulisan kamu itu nampak hodoh, setidak-tidaknya karya kamu sendiri, asli. Malulah kalau sampai ‘ditangkap hidup’ me'natasha-hudson'kan karya orang lain.

Itulah yang saya katakan pada rakan saya itu. Hehehe!

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 2/15/2008 11:17:00 PG. | 47 Ulasan
Jumaat, Mac 17, 2006
I
“ Cucu saya bersekolah darjah tiga. Cikgu bagi latihan – disenaraikan nama buah-buah, dan di sebelah kanannya ‘masam’ atau ‘ manis’. Pada buah mempelam, cucu saya pilih ‘manis’, kerana tiap-tiap kali emak dia beli mempelam dia makan rasa manis. Cikgu kata salah. Jawapannya mesti masam. Jadi, apakah kita mengajar anak kita berfikir? Budak-budak ini bagaimana? Dia nak gunakan otak dia, berdasarkan pengalaman dia bahawa buah mempelam yang dia makan itu manis, atau dia nak dengar cakap cikgu, bahawa buah mempelam itu masam? Hal-hal seperti ini, yang berlaku di sekolah, yang berlaku dalam kehidupan ini, menjadikan orang kalau dia nak betul, nak dapat seratus peratus, dia akan tulis ‘masam’. Kalau dia tulis ‘manis’, cikgu beri dia markah ‘zero’.

II
Cikgu suruh ‘bulatkan’. Tapi dia underline. Jawapannya betul, tapi salah pada cikgu, kerana dia tidak ‘bulatkan’. Jadi sekolah sudah terlalu rigid. Kita semua sudah terlalu rigid. Ini A atau B. Tidak ada C atau D. Antara A dan B itu apa? Kita tidak pernah terfikir itu,dan tidak pernah menganggap itu penting.

Itu dua cerita Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid, bekas TNC UM, pasal berfikir. Budaya berfikir dah jarang di peringkat atas apatah lagi di peringkat bawah. Itu jadi masalah juga dalam masyarakat. Orang dah malas nak berfikir, tak menganggap pemikiran itu satu perkara yang bernilai, kecualilah kalau berfikir benda2 yang boleh mendatangkan duit. Semuanya dah berkiblatkan materialistik.

Siswazah mengganggur. Kita kata siswazah tak berfikir, tak kreatif, malas membaca, tak pandai berkomunikasi. Kenapa? Agaknya contoh I dan II Prof. itu sebahagian jawapannya…


BERFIKIR: Kecerdikan, Kemahiran, Bakat ataupun Seni.....?


TTFN

Label: ,

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/17/2006 04:17:00 PTG. | 23 Ulasan
Rabu, Mac 15, 2006
Ini cerita betul. Baru-baru ini, seorang murid darjah satu di satu sekolah rendah di Shah Alam, yang agak pandai berbahasa Inggeris, bercerita tentang cikgu sains & matematiknya yang tak pandai berbahasa Inggeris, malah selalu tersasul-sasul mengajar subjek itu.

Terfikir juga. Macamana potensi murid-murid dapat digilap semaksimumnya kalau ilmu tidak dapat disampaikan dengan berkesan? Menguasai bahasa ilmu itu satu perkara, tapi menguasai ilmu itu sendiri satu perkara lain.

Tak salah '“sambil menyelam minum air”, cuma dikhuatiri nanti kelemasan pula sebab tak pandai menyelam, ataupun kelemasan sebab perut kembung terlebih minum air. Bimbang juga nanti “yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula tercicir bertaburan di tengah jalan…..”

Nak salahkan siapa? Sistem? Cikgu? Murid…? Atau siapa?

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/15/2006 05:24:00 PTG. | 19 Ulasan
Selasa, Mac 14, 2006
Malam tadi, teringin nak makan nasi lemak kukus. Berhenti di sebuah gerai bergerak di sebuah kawasan perumahan baru di Puchong. Seorang anak muda, tentunya beragama Islam, mungkin umur di awal dua puluhan. Rasa bangga juga melihat anak muda ini berniaga. Tak ramai anak muda berminat jadi usahawan.

Melihat pada t-shirt jersi yang dipakainya, rasanya anak muda ini peminat setia Liverpool. Tapi itupun tak salah. Tak ada salahnya menyokong sebuah pasukan bolasepak kegemarannya. Cuma yang sedih dan rasa ‘terusik’ bila melihat tulisan besar ‘Carlsberg’ terpampang sama.

Kejahilan ataupun ‘kesengajaan’?

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/14/2006 10:52:00 PG. | 13 Ulasan