Sabtu, Mei 19, 2007
Kita lahir dikurniakan akal untuk berfikir tapi sejauh mana agaknya kita diberi ruang dan peluang untuk berfikir seterusnya menyuarakan buah fikiran kita?

Sudahlah sistem pendidikan yang ada terlalu berorientasikan peperiksaan tidak banyak membantu dalam mendidik minda generasi muda untuk berfikir secara kreatif dan kritis, kreativiti dalam mengemukakan idea secara kritikal, berdiskusi dan berdebat secara intelektual pula dibatasi oleh akta-akta yang mengongkong.

Sistem dan budaya kita sudah kronik sehingga berbeza pemikiran, memberi pandangan yang melawan arus dan mengkritik secara terbuka itu dianggap membawa konotasi yang negatif, dilabel pro-pembangkang. Menegur pemimpin itu dianggap menderhaka. Budaya ‘mengangguk kepala’ dan mengampu kian menyubur. Dan bukanlah mengejutkan, serasional dan seideal manapun pandangan jika pencetusnya bukan dari puak-puak yang sealiran, pandangan itu akan dianggap sampah. Buah fikiran sudah dibatasi oleh fahaman kepartian dan politik yang sempit. ‘Siapa’ yang bercakap itu lebih penting dari apa yang dicakapkan.

Suara media arus perdana pula senada dan selalunya sumbang. Jarang memberi ruang kepada idea-idea yang kritis dan menegur secara jujur. Pembaca yang waras sudah muak disogokkan cerita-cerita yang kosmetik begitu. Mujur juga ada ruang siber. Blogosfera contoh yang nyata, telah menjadi medium alternatif bagi mereka yang sudah lama rindukan ruang yang selesa untuk bersuara, mencetuskan idea berbeza dan berekspresi secara bebas. Juga medium alternatif bagi pembaca yang inginkan varian dan variasi dalam kupasan isu-isu semasa. [Tapi itupun dicemburui dan yang terbaru khabarnya akan ada nanti blogger yang profesional dan amatur (?) – seperti liga bolasepak pula!]. Terlalu bebalkah minda kita sehingga dikhuatiri tidak mampu berfikir dan membezakan cerita yang benar dan cerita yang palsu ?

Benar, bukan semua yang bernama kebebasan itu indah. Memanglah kebebasan itu harus berbatas dan berlandaskan norma dan etika tertentu. Tapi biarlah batas-batas ciptaan manusia itu logik oleh akal manusia juga, bukan mempersenda fikiran yang waras apatah lagi menyekat kreativiti. Menghalang bersuara mengikut yang hak itu serupalah menyekat manusia yang berakal dari menggunakan akal mereka untuk berfikir. Terlalu bebalkah kita sehingga perlu diajar apa yang boleh dan apa yang tidak boleh difikir dan disuarakan ?


BP : Itu cuma pandangan peribadi, tidak meminta kamu terus bersetuju dan tidak juga menghalang kamu berfikir sebaliknya. Samada kamu mahu ikut bersetuju atau mahu menghentamnya, kamu berhak. Itu pandangan kamu.

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 5/19/2007 11:57:00 PG. |


48 Ulasan


Sabtu, Mei 19, 2007 12:12:00 PTG, Blogger Sastri

serius nada entri kali ini... sangat bersetuju dengan pandangan u... segala-galanya seolah perlu diajar, di'spoon-feed' oleh mereka yang merasakan pandangan mereka itu sahaja yang benar dan betul dan 'consequences' dari tidak memantau pandangan orang lain itu akan mengakibatkan perkara buruk berlaku...

kejadian perletakan jawatan seorang ahli parlimen dari satu jawatan tu telah menjadi peringatan dan pengajaran sehingga ada di kalangan mereka sekarang yang takut untuk bersetuju dengan pandangan/hujah yang betul lagi benar semata-mata takut dengan konotasi 'pembangkang/penderhaka' itu dan lebih senang untuk berdiam diri... rasanya ramai yang mengerti isu yang hangat diperkatakan beberapa hari lepas adalah relevan sebagai contoh...

to be honest, i feel offended and all these is an insult to my intelligence...

 

Sabtu, Mei 19, 2007 1:09:00 PTG, Blogger DeeN

Great entry!

Suka atau tidak, kita tak boleh nak nafikan kebenaran. Kata-kata ko memang banyak benarnya, Purp. Sampai bila kita nak disekat kebebasan bersuara? Tahun ini genaplah 50 tahun Tanahair merdeka. Tapi sedarkah kita yg dalam masa hampir 50 tahun ini, Tanahair belum lagi merdeka sepenuhnya. Suara anak bangsa tersekat. Minda tersentap. Hati meratap.

Sampai bila suasana ini akan berterusan?

 

Sabtu, Mei 19, 2007 1:12:00 PTG, Blogger aNIe

Setuju benar dengan apa yang katakan...masyarakat kita dah dibiasakan dengan budaya...'angguk-angguk...geleng-geleng...tunduk-tunduk...ikut tunjuk'

Jika ade yang melawan rentak ...maka terpaksalah berani menerima akibatnya....

 

Sabtu, Mei 19, 2007 1:47:00 PTG, Blogger JBM8141

hah aku rekemen movie V For Vendetta...

 

Sabtu, Mei 19, 2007 1:52:00 PTG, Blogger silversarina

Mungkin budaya kita menganggap penentangan kepada pemimpin adalah merupakan pengkhianatan kerana telah ditanam sedari dulu agar sentiasa bersifat patriotik dan taat pada negara...tetapi yang merunsingkan adalah setelah 50tahun merdeka makin terlalu sukar untuk memerdekakan minda rakyat agar bebas menyatakan hak masing-masing ...it's like merdeka tidak membawa erti apa-apa...

 

Sabtu, Mei 19, 2007 2:02:00 PTG, Blogger Unknown

secara jujur, cik kema ni little bit stupido al blurrr. hahahah. lantas tak leh nak terasa hati pun dgn apa yang berlaki. hihi ;)

apapun, kebijaksanaan adalah tertakluk kepada tuan empunya diri dan kebebasan adalah tertakluk kepada sesuatu batasan. subjektif.

sesungguhnya cik kema masih menunggu para pendukung idea baru yang bijaksana tampil kehadapan utk menyuarakan pandangan secara terbuka. revolusi takkan berlaku jika tiada barisan aktivisnya :)

 

Sabtu, Mei 19, 2007 2:51:00 PTG, Blogger Pa'chik

Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

 

Sabtu, Mei 19, 2007 2:52:00 PTG, Blogger Pa'chik

wah...
lantas tak leh nak terasa hati pun dgn apa yang berlaki. hihi ;)
gatallah cik kema ni!! hihihi...

dude, kalau seorang lelaki yang berjaya bawak balik serikat milik negara yang disenaraikan di bursa luar buleh kalah kepada sorang che'gu piti yang asek tersenyum kerana memang itu sipat muka dia... haha...
tak hairan la yang lain-lain tu.

Atau kalau kepala lokomotif tu sendiri pening... silaonseben kata.. berhenti berharap dude...
takkan buleh kita nak melompat lebih tinggi, dengan pria terhebat yang suka tidor macam che'gu sa'ari tu, pemuja rahasia artis-artis tempatan dan model mongolia...

nanti la sambung balik.. blur lagi nih...

 

Sabtu, Mei 19, 2007 3:57:00 PTG, Blogger achik

sistem pendidikan kita cam terlalu fokus pada teori.. praktikalnya kurang.. sepatutnya teori dan praktikal kena la seiring kan.. pandai atas kertas je tak cukup..
lg pulak graf peksa tu boleh diubah2 mengikut 'kesesuaian'.. huhuhu..

 

Sabtu, Mei 19, 2007 5:03:00 PTG, Blogger kingbinjai

apa apa pun aku sokong hang

 

Sabtu, Mei 19, 2007 5:32:00 PTG, Blogger MYA MARJA

Sesiapa yang cinta akan dunia, dia akan dapat dunia. Sesiapa yang cinta akan akhirat, dia akan dapat akhirat. Sesiapa yang cinta akan kedua-duanya, dia akan dapat kedua-duanya. Sesiapa yang takut akan makhluk, mungkin dia tidak takut akan Allah. Sesiapa yang takut akan Allah, pasti dia tidak akan takut akan manusia... Begitulah analoginya. Wassalam.

 

Sabtu, Mei 19, 2007 6:07:00 PTG, Blogger Faizah

SUDAH SAMPAI MASANYA UNTUK MALAYSIA BERUBAH!

 

Ahad, Mei 20, 2007 12:14:00 PG, Blogger Iman Mawaddah

Bila manusia takut dengan bayang sendiri dan menjaga kepentingan diri sendiri macam tu la jadinya..semuanya hendak di kawal waima ke lubang cacing sekali pun.

 

Ahad, Mei 20, 2007 12:50:00 PG, Blogger Achik_Sufi

sememangnya akan berlaku begitu apabila dalam diri pemimpin sudah tidak ada lagi ruh islam...kebebasan dianggapkan bukanlah hak semua tetapi hak mereke2 sahaja. mungkin boleh gunakan alternatif lain...

 

Ahad, Mei 20, 2007 4:48:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

salam singgah.

waduh esei berat nih. lupa lak nak timbang berapa kilo.

adakah tanda2 manusia makin hilang maruah? atau hilang akal? tapi bukan gila.

tangkap mereka semua ni!!! menganggu keselamatan negara!!! bukan balai cerita, tapi ISA masuk sana!!!!

 

Ahad, Mei 20, 2007 5:23:00 PG, Blogger banggugar

salam,
hehehehe.. bang dah kembali..

lurus bendul dengan bebal tu membawa penyamaan dari segi maksud tak?..

(",)

 

Ahad, Mei 20, 2007 11:46:00 PG, Blogger zino

agaknya blog kita ni professional ke amatur?..

dalam dunia ni tidak ada kebebasan mutlak.. di mana mana pun perlu ada peraturan mengikut kepercayaan budaya dan tahap intelektual masyarakat masa itu..

supaya kebebasan boleh di nikmati bersama secara univesal tanpa sebarang keraguan dan keterlanjuran..

ini satu pendapat..

 

Ahad, Mei 20, 2007 1:26:00 PTG, Blogger Rakimi

sebenarnya kita semua ni, banyak lagi perlu berlajar tentang hidup.

 

Ahad, Mei 20, 2007 2:01:00 PTG, Blogger ontahsapo

hidup... mati.... sementara hidup ini, jalani dgn baik...

 

Ahad, Mei 20, 2007 7:03:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

Sas,
Hmm… Tidaklah seserius mana kot. Sesetengah orang mungkin menganggapnya terlalu serius mungkin kerana minda kita sudah dibiasakan dengan isu-isu yang ringan-ringan, isu artis kahwin- cerai, gosip-gosip selebriti…:D

Takut untuk bersuara dan memberi pandangan sebab ada ‘tekanan’. Masakan seorang kakitangan berani menegur secara terang-terangan bila memikirkan posisi dan kerjayanya, apatah lagi bila memikirkan ada mulut-mulut tanggungan yang perlu disuap di rumah. Kalau ada ketidakpuasan hati pun disenyapkan begitu sahaja. Lebih-lebih lagi yang bermentaliti ‘asal kantung sendiri penuh’…


nuraddeen,
Sampai bila itu terpulang pada diri kita sendiri agaknya. Kita sudah menjadi sebahagian dari sistem itu.

Kebebasan dan merdeka itu subjektif sifatnya. Bila‘bersuara’ kita ‘disekat-sekat’ tapi dalam berbagai hal yang lain ada kebebasan yang melampau-lampau pula. ‘Kebebasan’ bersuara yang kau maksudkan itu mungkin eksklusif untuk pemikiran-pemikiran dari puak-puak tertentu yang menyokong pemikiran yang dominan dan sehaluan.


Kak Lady,
Budaya itu dah sebati KL. Tak kiralah di peringkat mana sekalipun. Lanskap sosio-politik negara kita yang membatasi kita dari berfikir dan menegur secara rasional.


JBM,
Nanti aku cari DVDnya. :)


loveujordan,
Itulah dia, sedangkan menentang yang batil itu tanggungjawap. Menegur pemimpin – mereka juga bukan ‘maksum’ – pun tanggungjawap. “Pemimpin’ maksud saya dari skop yang luas, tak kiralah samada pemimpin kerajaan, pembangkang, pemimpin masyarakat, organisasi, persatuan dll

Bagi saya, menegur tak semestinya antikerajaan, tidak semestinya tak patriotik. Kalau korup itu sudah di depan mata kenalah ditegur. Korup itu lagilah tidak patriotik.


cik kema,
Rasanya tak perlu ‘menunggu’ untuk menjadi pemimpin. Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang ghairah menjadi leader , bukan follower. Mencetuskan pemikiran yang ideal, revolusi, reformasi, anjakan paradigma atau apa sahaja istilahnya bermula dari dalam diri sendiri. 



Pa’chik,
Ha ha ha. (Cik Kema ter’syasyul’ tu..)

Siapa yang tak gelap mata pa’chik bila ditabur RM...

Dalam entri ini aku lebih suka memakai topeng non-partisan bercerita tentang kebebasan berfikir dan bersuara. Hancur jadinya bila corak berfikir dan bertindak dah terikat dek ‘peraturan’ puak politik yang didokonginya. Baik parti kerajaan atau parti pembangkang. Corak masyarakat kita berfikir terlalu berpihak dan dogmatik. Itu masalahnya.

Lihatlah bagaimana seorang ulama wanita dan imam besar pun boleh berubah cara berfikir dan nada suaranya bila beralih ke gelanggang politik. Lihatlah juga ahli politik yang dulunya bersungguh-sungguh mendokong kerajaan tapi bila melompat ke parti pembangkang, bersungguh-sungguh pula menelanjangkan kebobrokan kerajaan.

Ha ha. Sekurang-kurangnya cikgu Saari itu mengantuk dan tidur sebab banyak berfikir Pa’chik bukan mengantuk dan tidur sebab malas untuk berfikir ..


achik,
Dari segi silibus kursus-kursusnya mungkin….

Dari segi kreativiti berfikir dan mencetuskan idea-idea baru macam hampir tiada kot (ini pendapat saya). Soalan subjektif misalnya, minda penuntut terlalu terikat dengan nota-nota yang dihafal. Penuntut takut-takut untuk bereksperimentasi. Hitam kata pensyarah, hitamlah kata penuntut tanpa berani ‘mencabar’ keintelektualannya, padahal di antara warna hitam dan putih itu wujud beratus-ratus lagi warna.


kingbinjai,
Sokong mana-mana yang betul, tinggalkan mana-mana yang merepek. :D


Mya Marja,
Terkesima dengan analogi saudara. Benar. Bagaimana berliku sekalipun jalannya dan apa sekalipun matlamat akhirnya, jangan tersesat dari pegangan.


faiza,
Selagi kita belum betul-betul ‘bebas’ dan masih selesa (dan terpaksa) berfikir dan bertindak mengikut acuan berfikir yang sediada, mungkin susah juga untuk berubah.


Iman,
Dan segala buah fikiran dan tindakan hanya berfokuskan dunia, kepentingan peribadi dan RM.


Achik Sufi,
Asalkan tidak bertopengkan Islam untuk kepentingan sendiri.

Kebebasan bersuara seperti sudah eksklusif untuk orang-orang tertentu terutama untuk golongan yang 'sehaluan'.


eisraa,
Salam,
Bila masyarakat sudah malas untuk berfikir yang berat-berat pun satu 'penyakit' juga tu :) 

Bukankah ISA itu juga satu ‘institusi jahat’ yang patut dihapuskan?


Bang gugar,
Salam,
Bendul itu walaupun lurus tapi tak bebal. Agaknya. :)



Zino,
Tak kiralah pro atau amatur Zino, kalau dibayar gaji lebih elok rasanya... :D

Benar. Tiada kebebasan yang total di dalam dunia ini baik dari segi apa sekalipun. Harus ada sempadan, asalkan munasabah.

Cuma mungkin ruang ‘kebebasan’ itu semakin sempit. Kita diminta berfikir di luar kotak, menjadi global dan glokal (?) tapi dalam masa yang sama, samada secara sedar atau tidak, ruang untuk berkreativiti dan bersuara itu sudah semakin sempit seperti terkurung dalam kotak yang ‘mereka’ cipta juga.

Dalam negara yang demokrasi, semua punya pandangan masing-masing :)


Kimi,
Ha’ah, proses belajar adalah sepanjang hidup. 


Ontahsapo,
Untuk menjalani hidup ini dengan ‘baik’ itu yang mencabar OS.. 

 

Ahad, Mei 20, 2007 7:14:00 PTG, Blogger Kaklong Syikin

salam,

adakah ini dlm diam kuasa diktator bermaharajalela?

 

Ahad, Mei 20, 2007 9:15:00 PTG, Blogger tegezoot

jelas awak memang pintar!

 

Ahad, Mei 20, 2007 11:22:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

bila kita tegur, maknanya kita sayang negara kita. kan patriotik namanya tu? :)

 

Isnin, Mei 21, 2007 3:47:00 PG, Blogger akirasuri

Salam.

tiba-tiba lapar pula bila baca entri ni. kenapa ya?

entri ini. sungguh. sungguh. menulis kebenaran. realiti 50 tahun tanah Malaya ini. realiti yang menyedihkan.

 

Isnin, Mei 21, 2007 10:20:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

Jika mereka berada di pihak yang benar, tidak ada apa yang perlu mereka takutkan. Tulislah apa pun, kebenaran akan muncul juga.

 

Isnin, Mei 21, 2007 10:48:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

Aku berada dalam golongan yang menjalankan sistem pendidikan. Aku kurang setuju kalau sistem yang ada sekarang kurang mencetuskan kekreatifan dikalangan pelajar.

Sejak dari sistem 3M dan seterusnya dilanjutkan ke sekolah menengah dengan KBSM, sepatutnya sistem ini akan meghasilkan produk pelajar yang lebih kreatif.

Aku setuju bila dikatakan terlalu banyak sekatan dan halangan yang berupa akta dan sebagainya yang menjadikan kreativiti pelajar dibatasi.

Bukan sistem pendidikan yang silap tapi keterbatasan garisan undang undang itu yang menyekat.

Keterbatasan kekreatifan itu menjadikan kita peniru yang baik yang akhirnya melahirkan pengguna teknologi, bukan pencipta teknologi.

Betulkan saya kalau saya silap.

 

Isnin, Mei 21, 2007 3:13:00 PTG, Blogger Taiko

selagi sang pemimpin ada kepentingan diri, selagi itulah sinopsisnya begini. memilih yang ikhlas itu susah, sebab ianya di dalam hati.

 

Isnin, Mei 21, 2007 5:15:00 PTG, Blogger ILA

la haiiii...dah 28 komen kat sini.pasai sejak2 nie sya asyik tertinggal jerkkk..ishhh!!!!

ishh..isue berat gak..emm..nak balik umah dulu ler..nanti mlm sya bukak balik(kal.d izinkan)
Bye!!!

 

Isnin, Mei 21, 2007 5:38:00 PTG, Blogger NBK466

Den stuju sangat dengan ekau... Kita nie dah terdidik dgn budaya YESS SIRR.. dikritik tak leh, mengkirik pun tak buleh.. Padahal kritikan itew utk kebajikan bersama. Tak payah gi parliment, tgk AF pun sekali kena kritik, ramai yg melenting..he.he.he..

 

Isnin, Mei 21, 2007 8:22:00 PTG, Blogger Pegawai Khalwat

Sistem itu kerap menjadi budaya.

Budaya itu tidak pula membentuk sistem.

Blogger pro & amatur?

Aku ingatkan kumpulan teater saja ada pro & amatur.

 

Isnin, Mei 21, 2007 8:43:00 PTG, Blogger Pa'chik

purp, saja ngusik kema.. haha...

ude, kalau seorang lelaki yang berjaya bawak balik serikat milik negara yang disenaraikan di bursa luar buleh kalah kepada sorang che'gu piti yang asek tersenyum kerana memang itu sipat muka dia... haha...
tak hairan la yang lain-lain tu.

Atau kalau kepala lokomotif tu sendiri pening... silaonseben kata.. berhenti berharap dude...
takkan buleh kita nak melompat lebih tinggi, dengan pria terhebat yang suka tidor macam che'gu sa'ari tu, si pembantu yang jadi pemuja rahasia artis-artis tempatan dan model mongolia.

Tambah pulak anak-anak buah dia yang suka kacap terlabik, gila kan duit dan kuasa macam tony gila lucy, asyik nak lantak saja.
Kalau ngan bangsa lain, mula la lembik macam biskut rendam kopi o. Tapi orang kita bila sampai masa, tetap pilih yang tu juga. Kalau aku, kena macam ni, sumpah aku tak akan buat lagi

 

Isnin, Mei 21, 2007 11:35:00 PTG, Blogger ManjLara

hmm.. isu berat nih, tak terkupas sejak zaman purbakala lagi... cuma akal yg diberikan, gunalah dgn sebaik2 mungkin :)

 

Selasa, Mei 22, 2007 3:49:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

selancang mana kata nista
selaut mana rayuan dihiba
tidak kan dapat memaksumkan insan kerdil

selama itulah kita masih di sisiNya
diSana nanti tergugat segala.
keimanan membatas segala.
agar kita dilindungiNya.

 

Selasa, Mei 22, 2007 12:19:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

kaklong,
Salam,

Diam mereka mengukuhkan kuasa (dah harta), diam kita menyimpan resah dan dendam yang tak sudah……


tegezoot,
Gantinama ‘awak’ itu lebih manis ditukar kepada ‘rakyat’ dan ‘pintar’ itu ditukar kepada ‘bukan bebal’…


kamarul,
Begitulah yang sepatutnya. Tapi bagi mereka, menegur itu membawa konotasi yang negatif, tak bersyukur, antikerajaan, pro-pembangkang.


akirasuri,
Salam,

Ooo…maaf kerana entri ini melaparkan kamu... 

Teringat lagu Kupu-kupu - sifu M. Nasir,
Yang benar-tetap benar walau dipertikaikan,
Yang salah tetap salah walau diselindungkan



zabs,
Agaknya mereka takutkan bayang-bayang mereka sendiri. Mereka takut kuasa dominan mereka tergugat.


zwit,
Tahniah! Tapi kalau tak nak sependapat pun itu hak masing-masing. 


mazudi,
Terima kasih Zudi atas pandangan kau. Aku melihat dari perspektif yang berbeza. Pandangan kau juga betul kerana kau memandang dari perspektif lain.

Tiada sistem yang 100% sempurna. Cuma mungkin perlu penambahbaikan di mana-mana yang perlu. Entri itu cuma pandangan peribadi - yang terperangkap dalam ruang berfikir dan bersuara yang sempit dan terbatas. Pandangan non-partisan - sejujurnya bukan dibayangi unsur politik.

‘Kekreatifan’ yang aku maksudkan itu dari konteks berfikir, mencetuskan idea dan bersuara dalam skop yang lebih luas, bukan dari segi akademik sahaja tapi segala aspeks yang memerlukan keintelektualan, tangible dan intangiblenya. Aku tidak mengatakan keseluruhan sisitem pendidikan kita gagal, cuma tidak cukup membantu dari segi mendidik kemahiran berfikir secara kreatif, kritis dan berani. Ini juga yang sering disuarakan oleh ramai cendikiawan malah kerap menjadi topik diskusi para aktivis.

Aku masih teringat seorang dekan fakulti di sebuah universiti tersohor di Malaysia yang bercerita tentang ‘kekeliruan’ seorang murid (kebetulan cucunya). Cikgu di sekolah cucunya itu menyatakan mangga itu masam, sesiapa yang menjawap manis, salah. Titik! Tiada diskusi. Sedangkan cucunya itu pernah merasa mangga yang manis. [Dan teknologi pertanian sememangnya memungkinkan mangga itu boleh mempunyai rasa apa sekalipun]. Ya, cikgu itu tidak salah (kerana manualnya sudah begitu), mangga itu juga tidak bersalah kerana karakter asalnya memang begitu, tapi bukankah cucunya itu tidak sepatutnya dibebani dengan kekeliruan itu? Dia sepatutnya diberi ruang untuk berhujah. Soalnya bukan betul atau salah tapi proses berfikir itu harus ada. Tidakkah ‘sistem’ itu yang patut dikaji kerana tidak memberi ruang murid itu berfikir secara kreatif dan memberi pandangan yang berbeza dari kebiasaan.

Serupa dengan soalan yang pilihan jawapannya cuma YA atau TIDAK. Penuntut ‘dipaksa’ memilih samada hitam atau putih tanpa ‘mencabar’ keintelektualan penuntut itu untuk berfikir mengapa dan bagaimana secara akliah. Sedangkan di antara hitam dan putih itu wujud warna-warna lain di antaranya. Mencari jawapan yang betul itu cuma matlamatnya tapi penuntut sepatutnya dicabar kewibawaannya berfikir secara kreatif dan intelektual sebelum memperolehi jawapan ya atau tidak itu.

Aku juga tertarik dengan pandangan sarkastik Prof Emeritus Khoo Kay Kim. Katanya, sistem pendidikan kita hanya menyediakan guru untuk membantu murid menghadapi peperiksaan, jadi murid hanya menghafal apa yang ada dalam buku (atau nota). Secara sinis beliau juga berani menyatakan mahasiswa sekarang tidak kritis, naif dan tidak intelektual, menyiapkan tugasan pun dengan menciplak tulisan (dan kajian) terdahulu. Dalam soal ini bukan juga salah guru, institusi, murid atau mahasiswa kalau sudah memang begitu sistemnya. Kita menasihati anak-anak dan adik-adik kita, “belajar rajin-rajin biar lulus periksa, dapat nombor satu”. Itu exam-oriented. Sejauh mana nombor satu dan A yang berderet-deret itu dapat ditakrifkan sebagai satu-satunya simbol keintelektualan dan kreativiti berfikir?

Ya, kekangan-kekangan dalam bentuk akta dan peraturan-peraturan harus dilonggarkan semunasabahnya jika ingin melahirkan generasi yang berupaya berfikir secara ilmiah dan kritis bukan semata-mata menyetujui bulat-bulat pandangan pihak yang berkepentingan dan dominan. Bukankah akta-akta itu juga sebahagian dari sistem – dari skop yang luas?

Taiko,
Selalunya pemimpin juga terikat dengan politik anutannya. Itu yang membuat pola berfikir mereka berpihak, berat sebelah dan tak rasional. Duniaaaa....


ila,
Takkan nak berjemput pulak kot datang sini.. :) :D


nbk,
Itulah dia. Kalau kritikan yang membina apa salahnya dengar, bincang dan pertimbangkan. Ini tidak, kritikan / pendapat yang berbeza ditangani (baca: dicantas) dengan mengadakan undang-undang & akta, bukan nak diselesaikan dengan berdiskusi.


pegawai,
Kalau budaya dan sistem yang positif, memang kita alu-alukan sangat.

Tak kiralah pro atau amatur, kalau dibayar gaji lagi seronok !!!


pa'chik
Erkkk.. kitar semula komen ekk..

Apapun komen kau ini salah satu kreativiti dalam berekspresi juga. :D

Orang kita mudah 'lupa'...


Manjlara,
Ya. Akal itu satu kurniaan dan nikmat..


wak katimin,
Komen wak ini satu konklusi yang baik untuk difikir-fikirkan. menuntut kita bermuhasabah diri.

Terima kasih. :)

 

Selasa, Mei 22, 2007 2:23:00 PTG, Blogger izinni

"What i'm doing, it is all for your own good."

Jadi, "anak-anak" mesti dengar cakap "mak bapak" sebab hanya "mak bapak" yang tahu apa yang terbaik untuk "anak-anak". jangan bantah, nanti kena tulah. menderhaka pada "orang tua" namanya. jadilah "anak-anak" yang baik dan mendengar kata "orang tua" ya.

;)

 

Selasa, Mei 22, 2007 4:52:00 PTG, Blogger jinggo

bebal kah mereka yang mengongkong atau mereka yang meletakkan pro
& amatur pada orang....
atau takut ada orang akan jadi lebih bagus dari diri dia.........

 

Selasa, Mei 22, 2007 5:21:00 PTG, Blogger 13may

lorrr...dah dekat 50 tahun merdeka pun jadik camni lagi yea....

hmmmm

 

Selasa, Mei 22, 2007 5:59:00 PTG, Blogger Unknown

Mungkin lepas ni blogger juga diklasikasikan macam Kelas Racun Makhluk Perosak. hahaha..

 

Selasa, Mei 22, 2007 6:04:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

Benar sekali JP, bebal ini kalau dikaitkan dengan analisa "bebalisme" Syed Hussein Alatas akan lebih menarik dan mantap.

Kawan2, yang kita perlu lakukan sekarang sekurang-kurangnya dua:

(1) menghayati sikap kritis dan berhujah secara rasional (ilmu, fakta) di kalangan anggota keluarga, jiran & rakan2 sekuliah & sepejabat supaya jangan muncul gejala "mengata dulang, paku serpih",

(2) mendedahkan, membongkar dan menyisihkan sikap2 anti-ilmu, anti-buku, anti-teori atau anti-debat dalam perkara2 serius melibatkan kepentingan ramai, kepentingan bersama.

Tentunya dalam proses mencapai keputusan dan perdebatan tersebut, ia haruslah dikendalikan dengan semangat ilmu dan etika debat yang berasaskan fakta/rasionaliti.

Jika kita sesama kita gagal berbuat demikian, makin sukarlah kita mengharapkan perubahan dalam masyarakat kita.

Maka, sukar lagi mahu mereformasi sistem pendidikan atau melakukan perubahan pucuk pimpinan negara.

Dalam buku saya itu, yang saya tekankan "menghayati demokrasi dari peringkat bawah", bottom-up democracy -- yakni tema2 seperti ruang awam (public sphere), Massa politik tanpa parti (civil society), "republik buku" dan ... macam2 lagi.

Sekadar untuk dipertimbangkan.

Salam. Fathi faomar@yahoo.com

 

Selasa, Mei 22, 2007 6:27:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

Mazudi, saya senang sekali dengan hujah dan penghujahan Sdr. Teringat saya pada pandangan John Stuart Mill seperti berikut:

“[As] a thinker it is his great duty his first duty to follow his intellect to whatever conclusions it may lead. Truth gains more even by errors of one who, with due study and preparation, thinks for himself, than by the true opinions of those who only hold them because they do not suffer themselves to think.” (dalam buku On Liberty)

... dan juga hujah Immanuel Kant dalam eseinya yang tersohor "What is Enlightenment?" (Apa itu Pencerahan):

"Immaturity is the inability to use one's understanding without guidance from another. This immaturity is self-imposed when its cause lies not in lack of understanding, but in lack of resolve and courage to use it without guidance from another."

"It is so easy to be immature. If I have a book to serve as my understanding, a pastor to serve as my conscience, a physician to determine my diet for me, and so on, I need not exert myself at all. I need not think, if only I can pay: others will readily undertake the irksome work for me."

Mutiara kata mereka ini berguna untuk renungan kita semua. faomar@yahoo.com

 

Rabu, Mei 23, 2007 1:25:00 PG, Blogger Bunga Rampai

Salam BP,

Baca entri. Baca komen. Menarik!
Ada saja ilmu yang dikaut. Terima kasih entri ini :)

 

Rabu, Mei 23, 2007 10:02:00 PG, Blogger Mak Su

Salam kenal virtual dihulurkan... peluang tak ada kerana terlalu banyak guideline yang mengikat sehingga kita semua tak lagi mengenal.

 

Rabu, Mei 23, 2007 1:55:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

izinni,
Menegur yang mungkar itu wajib. Biarpun kita 'anak' tapi kita adalah pewaris masa depan yang ditinggalkan 'mak bapak'.

Kalau 'anak' tidak sederhaka Tanggang atau Sazali, tidak perlulah diperlakukan seperti Hang Nadim..

:)


13may,
'Merdeka' itu kan cuma istilah.... :)


Orochi,
Racun tikus boleh membunuh tikus, dan manusia juga Orochi...... :D


Fathi Aris Omar,
Salam saudara,

Terima kasih kerana sekali lagi mengunjungi blog ini dan memberikan buah fikiran. Pandangan yang menarik, dalam dan segar.

Mutiara kata itu membuat saya berfikir panjang.......

Terima kasih.

[Oh ya, saya sedang membaca buku saudara 'Patah Balek' itu. Perspektif saudara sangat menarik,walau saya mungkin tidak menyetujui isinya 100%]


Bunga rampai,
Salam BR,

Sama-sama. Sesekali teringin juga berdiskusi 'cerita' yang 'agak' berat..Ambil yang baik, tinggalkan yang merepek.:)


Mak su,
Selamat datang Mak Su. :)

Asal jangan sampai kita tidak lagi mengenal diri kita sendiri... :)

 

Rabu, Mei 23, 2007 4:41:00 PTG, Blogger indera kencana

Saya bersetuju dengan pandangan anda. Sesungguhnya akal pemikiran kita sentiasa memerlukan saluran untuk kita melepaskan apa yang terbuku di hati. Ini adalah sunnatullah yang tidak dapat kita sangkal sehingga ke hari kiamat. Namun saluran yang diharuskan mestilah mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syariat.

 

Rabu, Mei 23, 2007 4:45:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

panjang entri ini. dan panjang lagi komen2nya.

tahniah! kau dah berjaya 'menyuntik' mereka!

 

Rabu, Mei 23, 2007 7:21:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

Indera,
Benar. Bersuara tetap berbatas. Sepatutnya surah dan sirah sebagai panduan bukan peraturan dan akta yang sengaja dicipta-cipta manusia.


Cikgu GT,
Itu pun setelah diedit dan 'dicantas' beberapa kali. Kalau tidak lagi panjang :)

Tengok juga bagaimana cara menyuntiknya cikgu, boleh menyegarkan tapi boleh juga menghancurkan.. :)

 

Khamis, Mei 24, 2007 2:14:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

Jinggo,
Tertinggal pula komen kamu :)

Mereka mungkin takut pada bayang-bayang mereka sendiri... :)