Langit kelabu sewaktu kami sampai. Suasana di luar wad itu tidak seperti waktu aku singgah beberapa tahun dulu. Sudah ada satu dua blok bangunan baru. Sudah ada lanskap lembut dan kejur yang agak formal dan harmonis susunaturnya. Pepohon topiari dan renek pagaran nampak kemas pangkasannya.
Di siarkaki berbumbung itu sibuk dengan kaki-kaki manusia. Seorang pemuda sebayaku sedang berjualan epok-epok panas di tepi tiang. Di belakangnya taman herba dan ulam-ulaman mula menyubur.
Wak Nah terbaring lesu sewaktu kami hampiri katilnya. Rambutnya kusut tidak terurus. Tubuh kurusnya berbungkus selimut. Hujung sebelah kakinya yang tinggal tulang bersalut kulit itu terjulur keluar. Matanya memandang kosong ke atas. Di atas meja katilnya sebotol air mineral. Mak duduk di birai katil. Mak urut-urut dada Wak Nah. Wak Nah terbatuk-batuk. Tangannya sesekali menekan perut kemudian melepaskan nafasnya yang berat.
“Abang Basir tak balik tengok wak ke wak ?”. Wak Nah menggeleng lemah kepalanya bila kutanya tentang anak sulungnya itu.
“Abang Sekak….?” Kutanya pula tentang anak keduanya yang menetap di Melaka itu. Wak Nah menggeleng-geleng kepala juga. Niat untuk bertanya tentang Kak Wok dan Alin aku pendamkan begitu saja bila matanya kulihat mula berkaca-kaca.
Sudah dua hari Wak Nah terbaring di wad itu selepas mengadu sakit-sakit perut yang teruk dan muntah tidak henti-henti. Katanya ‘termakan’ lauk basi. Mengikut kata emak, Wak Nah yang beriya-iya meminta anak bongsunya, Alin menghantarnya ke hospital.
“Dekat sepital, sakit-sakit pun ada misi jaga, kalau mati pun tak mati sorang-sorang di rumah,” katanya pada emak dulu.
Kasihan Wak Nah. Dia ibu tunggal, jiran di belakang rumah atok. Hidupnya bagai sebatang kara di rumah usang peninggalan arwah suaminya itu. Anak bongsunya keberatan tinggal bersamanya, malah menyewa pula di kampung bersebelahan. Sudahlah seperti tidak memperdulikannya, kerap disindir-sindir dan ditengking-tengkingnya pula ibu tua itu. Anak-anaknya yang lain tinggal jauh, kalau menjengokkan muka pun cuma setahun sekali.
Hari Raya Puasa pertama yang lepas aku sempat berjumpa dengan Abang Sekak sekeluarga. Itupun tak sempat bersembang panjang. Mereka balik hari. Agaknya anak-anak Abang Sekak tak selesa tinggal di rumah neneknya lama-lama.
“Rumah nenek tivi kecik…”
“Wak bukan harap duit diaorang Long, sesekali balik jengok wak sekejap pun dah cukup...Ini tanya sakit pening wak pun jarang…” Wak Nah mengadu padaku sehari sebelum Hari Raya yang lepas, sewaktu aku singgah memunjung, menghantar ketupat dan mangkuk tipin berisi lodeh, kuah kacang dan ayam semur emak.
Aku masih terbayang susah-payahnya kehidupan Wak Nah dan arwah suaminya semasa kumasih kecil dahulu. Paginya mengambil upah menoreh getah di kebun atok. Petangnya pula mengambil upah memancah semak dan mengeruk parit di kebun orang. Sesekali mengambil upah menyabit, mengopek dan menyalai kelapa. Tapi susah-susah mereka pun anak-anak mereka berjaya juga dibesarkan. Walaupun tidak sampai ke universiti, sekurang-kurangnya semuanya punya kerja yang bagus.
Wak Nah itu pelik perwatakannya, sehingga ada yang menganggap Wak Nah kurang siuman. Kerap bercakap seorang diri dan berjalan pun suka berkaki ayam. Sungguhpun begitu, kuat semangatnya. Dia tidak suka menyelang apatah lagi meminta-minta. Dia pernah menapak berbatu-batu mengepit dua ekor ayam belaannya ke kedai runcit di hujung kampung sebelah. Dijualnya ayam-ayamnya itu kepada tauke kedai. Duit itulah digunakannya untuk membeli beras. Wak Nah juga pernah mengambil upah menganyam atap rumbia dan tikar mengkuang. Tapi itu lama dulu. Sekarang rumah-rumah kampung sudah beratapkan zink, bertikar getah dan berkarpet.
Wad itu semakin sepi tapi mungkin tidak sesepi jiwa Wak Nah. Raut sayu wajahnya itu menyimpan pengharapan dan rindu yang dalam. Mungkin mengharap anak-anak dan cucu-cucu datang bertanya khabar. Kalaupun mungkin tidak bimbangkan rumahnya yang tiris di sana-sini itu, mungkin dia risau kalau-kalau anak-anak keladi di tanah sekangkang kera di belakang dapur rumahnya itu rosak dipijak kambing. Mungkin juga dia bimbang ayamnya tak balik tidur di reban.
Waktu melawat sudah di hujung-hujung. "Wak, orang dah nak balik KL petang ni. Wak jaga diri baik-baik. Kalau ada apa-apa, wak kasi tau emak..."
Saat aku menyalami dan menggenggam tangannya yang kurus itu, airmatanya yang lama tergenang itu mengalir perlahan-lahan di pipinya yang cengkung itu. Airmata dan calar-calar duka yang jelas tergaris di wajahnya itu membuat aku lebih tersentuh.
"Elok-elok bawak kereta Long....". Suara Wak Nah tertahan-tahan, hiba. Dia mengesat-ngesat matanya sambil memandang sayu sewaktu kami melangkahkan kaki perlahan meninggalkan katilnya itu.
Renyai-renyai di luar wad. Bintil-bintil air yang jernih menitis satu-satu dari hujung daun palma Chrystotachys lakka lalu gugur ke rumput yang basah. Rintik gerimis itu bagai memahami.
Pemuda penjual epok-epok itu pula mula mengemas mejanya waktu kami hampiri. Tapi entah kenapa epok-epok berinti sardin yang kukunyah itu terlalu tawar rasanya.
Selamat Hari Ibu buat emak dan semua ibu-ibu.
TTFN
Label: Wak Nah
Jumaat, Mei 11, 2007 11:22:00 PG, achik
aduss sebak membacanya.. tu la kan seorg mak boleh menjaga sepuluh org anak tapi seorg anak nak jaga seorg mak??? huhuhu..
saya plg x suka bila hari raya mula la semua tv gi rumah org tua.. pastu tanya soalan2 'tak sedih ke? anak2 tak dtg? dah berapa lama duk sini? bla bla..' tak sensitif betul.. patutnya ceriakan la org tua tu ni lagi menambah kesedihan ada la..
Sabtu, Mei 12, 2007 2:42:00 PTG, blackpurple @ jowopinter
sas,
Ibu itulah satu-satunya insan yang melahirkan kita. Sungguh tak faham kenapa ada sesetengah anak boleh sampai hati mengabaikan emak ayah sendiri…
achik,
Sepuluh orang anak itulah juga yang kadang-kadang sanggup yang menghantar seorang emak ke rumah orang-orang tua..
Keperihatinan ‘mereka’ itu cuma semasa musim perayaan agaknya…
Taiko,
Tak sempat la nak cari lagu latar yang syahdu-syahdu. Wah..kau peminat Rashid Sibir ekk….
pB,
Jiwa memang mudah cepat terusik kalau ingatkan emak yang jauh di kampung…
pB sempat lagi tengok tivi ekk.
mazudi,
Taklah sepandai mana zudi. Mungkin agak mudah sebab bercerita dari pengalaman sendiri…
Epok-epok itu karipap.
Lan Rambai,
Emak kau masih tinggal sekali dengan kau lagi ke Lan…..?
azzam,
Kalau tak baca cerita ni tak ingat la ekk. Dah berapa lama kau tinggalkan kampung halaman ?
Trimas. Aku mengingatkan diri aku sendiri sebenarnya….:)
zino,
Sebulan setengah belum kira lama lagi zino. Kalau setahun setengah itu baru lama… :D
Dah lama juga tak singgah Gopeng…..…
Cik Kema,
Betul. Jangan jadi macam siTanggang..……
Ainin Naufal,
Cuma kebetulan. Cerita-cerita sedih yang menyentuh tentang ‘ibu’ memang mudah mengundang emosi …..
Nak menulis entri pun terkebil-kebil, inikan pula nak menyiapkan novel….…. :D
Selamat berjumpa mereka……(mungkinkah watak dalam ‘cerita’ itu juga ?)
Ontahsapo,
bersolat jumaat di mana pulak minggu ni OS..?
Pa’chik,
Terima kasih Pakcik Pa’chik. :D
Kena tunggu hari raya nanti la baru dapat jentik... :)
SangPelangi,
Juga bonda, ibunda, mbok…..
Lepas ini mungkin entri hari guru, entri hari bapa…. bla..bla..bla..
Semasa mereka masih ada inilah kalau nak berbakti, nak menumpang kasih dan bermanja pun. Bila mereka dah tiada, menyesal pun tiada gunanya lagi.
.
Sabtu, Mei 12, 2007 3:09:00 PTG, blackpurple @ jowopinter
norasiah,
Hmmm..... doakan sentiasa kesejahteraan ibumu di sana...
Manusia seperti 'mereka' itu, bila ibu sudah tiada nanti baru terasa....sudah hilang baru tercari-cari...
akirasuri,
Trimas, mungkin sebab lahir dari kisah dan pengalaman sebenar. :)
Ooo...maksud komen itu, 'praktikal'kah guna duit emas sekarang. Dari segi matawang ya, tapi dari segi functionalitynya secara keseluruhan termasuk viabilitynya.... ?(isk...macam mengarut jauh sangat pulak ni kan... :D)
kingbinjai,
Kisah yang menyentuh tentang 'ibu' memang mudah mengusik jiwa..:)
iman,
Mudah-mudah kita sama-sama dipelihara dan terpelihara. InsyaAllah...
ila,
Minggu ini tak balik Muor, tapi dah beri dan belikan sesuatu hari itu.. :)
b rampai,
:)
Ramai lagi ibu yang senasib Wak Nah dan Mak melah itu di dunia ini... Kasihan..
Salam kembali.
Ahad, Mei 13, 2007 11:14:00 PTG, izinni
saya tak simpati pada wak nah sebab tanggungjawab wak nah sebagai ibu telah tertunai. habuannya di akhirat sudah menanti. saya simpati pada anak2 dia yang buta dan tuli.
kekadang pelik ...macam2 kisah terpampang kat tv pasal anak2 yang abai orang tua ni. depa2 yang abai mak pak sendiri ni tak pernah tengok langsung ke?
dunia ni bulat ... sekarang depa buat kat mak depa macam tu .. satu hari anak2 buat kat depa balik .. sebab mencontohi sikap mak bapak yang tak hargai orang tua sendiri.
minta dijauhkan perkara tu jadi pada kita ...
wallahua'lam.
Ahad, Mei 13, 2007 11:49:00 PTG, BaYu SenJa
cerita ni walaupun panjang.. sbenarnya tak terasa panjang..
remuknya hati seorang ibu..
betul kata izinni,
kesian giller kat anak2 yang tak dapat mohon maaf kepada ibunya !!
tapi saya kesian juga kat ibu tu.. habuan dia di akhirat memang betul. tapi di dunia nikmat dunia bersama anak-anak dia tak punya.. kesian...
insaAllah, balasan untuknya di akhirat nanti menjadi gantian penderitaannya di dunia :)
Isnin, Mei 14, 2007 11:57:00 PG, DeeN
Kisah yg sering terjadi. Tapi masih ada lagi yg tak mahu ambil pengajaran. Mungkin bila mereka melalui kitaran itu, baru ada riak penyesalan. Dan aku selalu berdoa agar aku tidak menjadi anak yg durhaka!
ko memang anak yang baik long.
kalau jumpa basir ngan sekak tu, ko tolong jentikkan hidung mereka tu. Untuk aku. ye. *sungguh*
Mak, kumengingatimu bukan hanya di hari seistimewa ini, tapi di setiap detik dan saat degup nadiku, kudoakan kesejahteraanmu.
Isnin, Mei 14, 2007 5:10:00 PTG, blackpurple @ jowopinter
.
Abd Latip,
Terima kasih Pak Latip, sudi menjejakkan kaki dan meninggalkan komen di sini. :)
sayuti,
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul...
achik sufi,
Pertama kali dengar orang guna istilah 'stok' untuk seorang ibu... :)
alpha,
Ya betul... tak perlu menunggu hari Ahad minggu kedua setiap tahun untuk mengucapkan dan menunjukkan sayang pada emak.. :)
eiysraa,
Duduk jauh sangat ke..? :)
Wah, reti ngomong Jowo jugak yo.. :D
azzam
Banyak juga stamina kamu ekk.. :D
faizabelle79,
Mana yang baik jadikan teladan, Yang buruk jadikan sempadan.. :)
abu marwan,
Juga selitkan doa untuk kesejahteraan mereka setiap kali selepas solat... :)
Ya Allah, kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihaniku sewaku aku masih kecil dahulu...
izinni,
Allah menguji manusia dengan berbagai cara.
Semoga anak-anaknya itu dibukakan mata hatinya untuk lekas-lekas sedar sebelum terlambat..
Hakim dirani
Ya mengharukan kalau kamu dapat melihat sendiri Wak Nah itu di depan mata..
Semoga akan ada sedikit kebahagiaan datang padanya sebelum dia menutup mata buat selama-lamanya.
Isnin, Mei 14, 2007 5:35:00 PTG, blackpurple @ jowopinter
Bayu Senja,
Dalam mendoakan kesejahteraan ibu tua itu, doakan juga semoga anak-anaknya itu cepat-cepat insaf dan sedar...
Manjlara,
Restu seorang ibu itu penting... Tak berkat hidup kalau mensia-sia dan mengabaikan emak ayah......
Rush Murad,
Tuhan menguji anak-anak Wak Nah itu dengan 'lupa' dan 'alpa'. Semoga suatu hari nanti, anak-anaknya itu kembali 'sedar' dan 'ingat' apa yang dah dilakukan pada emaknya itu..
Isk.. tq la...Menulis novel tu perlukan komitmen masa..Tak larat..! :)
Mummy Rizq,
Lebih terusik lagi kalau berpeluang melihat keadaannya secara live tu... Sampai hati anak-anaknya...
Faizah,
Tq, isk... jangan la, tak munasabah la kalau kau nak bandingkan aku dengan dia...
alex lacey,
Rasanya bukan anak-anak dalam cerita ini saja, mungkin banyak lagi anak-anak yang 'lupa diri' dan tak mengenang budi di luar sana...
nurAddeen,
Ya, elok kalau kita sama-sama muhasabah, beringat-ingat dan berpesan-pesan pada diri sendiri.
Di depan emak ayah mungkin kita anak yang baik-baik dan bersopan, tapi jangan sampai di belakang mereka kita buat benda-benda yang tak elok. Apatah lagi anak-anak perempuan, selagi belum kahwin menjadi tanggungjawap emak-ayah. Setiap yang tak elok yang dilakukan di belakang mereka, merekalah nanti yang akan menanggung dosanya.. (Maaf, 'terbersyarah' pulak... mengingatkan diri sendiri sebenarnya ni..:)
Cikin,
Entahlah. Seperti tak logik kalau difikirkan ada anak yang tak kenang budi pada emak ayah sendiri. Tapi itulah realiti kehidupan. Semoga anak-anaknya akan sedar juga nanti...
13may,
Kalau ada rasa sedih itu, maknanya masih punya simpati dan berperasaan... :)
Nurulhawa,
Semoga kita tidak sebegitu dan semoga juga kita menjadi semalang Wajk Nah itu. Semoga anak-anaknya itu akan 'sedar' suatu hari nanti...
Selasa, Mei 15, 2007 11:48:00 PG, Yang bernama Siti
Salam,
>>>Kerap bercakap seorang diri dan berjalan pun suka berkaki ayam.
Kalau dah tinggal seorang diri begitu lama memang begitulah keadaannya.
Kita perlu bercakap. Dalam fikiran kita sentiasa ada perbualan yang berlangsung. Itu yang bila kita lama tak bercakap dengan orang, kita akan bercakap sorang-sorang. Sebenarnya bercakap dengan orang yang dalam fikiran kita tu. Tak sedar rupanya kita bercakap dengan kuat. Ini berdasarkan pengalaman sayalah.
Salam perkenalan. Selalu nampak nama saudara di banyak blog, baru hari ini singgah ke sini. Pandai saudara menulis. Tulislah novel ke cerpen ke.
Selasa, Mei 15, 2007 6:02:00 PTG, blackpurple @ jowopinter
Zwit,
Apa nak dipelikkan Zwit. Tuhan lagikan orang boleh lupa, inikan pula sesama manusia, walau emak sendiri....
nbk,
Aku tulis cerita ini di awang-awangan kot sebab itu macam tinggi. Bahaso biaso jer jang, mano ada tinggi eh..... :D
Tahniah jang atas kelahiran orang baru ..!
petiais,
Apa yang kita buat pada kedua orang tua kita, itu jugalah yang akan dibuat oleh anak kita nanti.
Ya. Tuhan boleh turunkan pembalasan bila-bila masa semasa masih hidup. Keberkatan pun tiada......
siti,
Salam kembali,
Owh begitu. Dalam pengamatan dan penelitian puan.
Pernah menulis secara aktif zaman penuntut dulu-dulu. Sekarang jarang punya masa untuk menulis yang panjang-panjang. Terima kasih. Dan terima kasih juga singgah di sini dan meninggalkan komen. Singgah-singgahlah lagi .. :)
zabs,
Ha'ah. Semasa mereka masih hidup inilah masa untuk kita nak berbakti dan menunjukkan kasih-sayang.. :)
Mengalir air mata bila membaca entrimu ini... I have a very soft spot for the elderly, especially those who were abandoned by their own flesh and blood... Sebagai anak, kena sentiasa ingat jasa ibu bapa, jangan sesekali mengabaikan keduanya... cukup tak suka kepada mereka yg mengabaikan orang tua nih...