Isnin, November 17, 2008
Petang kelmarin. Hujan renyai-renyai.

Dia singgah di pejabat saya. Sewaktu saya sedang bergulat menyiapkan tugasan saya. Dia masih seperti dulu, cuma sudah agak berisi berbanding kali terakhir saya melihatnya. Kami bersalaman dan berpelukan. Walaupun pejabat kami sama-sama di KL, tetapi sudah begitu lama kami tidak berjumpa, apatah lagi bertukar-tukar cerita.

Dia sahabat baik saya, sejak di tahun pertama kami di universiti lagi. Kami mengambil kursus Sarjana Muda yang sama. Bezanya, cuma kami berlainan kolej kediaman.

Saya mempelawa dia masuk ke bilik saya, duduk mengadap meja kerja saya yang agak serabut dengan kertas kerja, buku-buku dan fail-fail. Kami bercerita, mengunjungi kembali kisah-kisah silam semasa di kampus dahulu. Diselangi gelak-ketawa, mengulangi kemesraan yang dulu. Nadanya berubah bila saya bertanya tentang rumahtangganya. Dia bagai terusik. Gelak ketawanya mengendur.

Sorry, aku langsung tak tahu.... ....,“ kata saya, bila dia mula bercerita.

Dia, yang saya kenal, amat berahsia orangnya, tetapi petang kelmarin dia menjadi seorang yang berterus-terang. Katanya, dia sudah beberapa tahun berpisah dengan isterinya, Y. Saya memang mengenali Y, sejak di kampus lagi. Y junior kami, anak kota, dari keluarga berada. Berbeza dengan dia, anak kampung, orang susah, tiada bezanya dengan saya – sebab itu agaknya kami rapat. Mereka berkawan lama, lapan tahun, sebelum berkahwin. Namun semuanya sudah ketentuan Tuhan, siapalah manusia untuk mendustainya.

“Masa bercinta memanglah, berjanji sanggup hidup susah sama-sama. Realitinya, bila dah kahwin, payah nak cakap. Orang susah macam aku, tak apalah, memang dah biasa hidup susah. Tapi bagi orang yang dah biasa hidup senang, susah.......,“ katanya.

Dia bercerita, di tahun ketiga perkahwinan mereka, seorang lelaki – yang dia kenali, yang sudah punya isteri, sudah punya anak – senyap-senyap hadir di antara mereka. Kebahagiaan mereka terkocak. Rumahtangga jadi berantakan. Perbalahan kemudian menjalar kepada soal-soal lain. Keretakan semakin melarat bila Y keluar dari rumah, meninggalkan dia begitu saja, membawa bersama pembantu rumah dan satu-satunya anak mereka. Mereka tinggal berasingan sebelum akhirnya berpisah secara rasmi.

“Sakit dan sengsaranya masa mula-mula dia tinggalkan aku waktu itu Tuhan saja yang tahu. Hidup macam dah tak ada maknanya lagi. Macam orang dah hilang pedoman. Aku jadi tak terurus, badan kurus kering. Emak aku sampai menangis tengok keadaan aku waktu itu,“ luahnya, tenang tapi keharuan yang berkocak di dalam jiwanya masih dapat saya lihat dari riak muka dan bahasa matanya.

Nasib baiklah, katanya, salah seorang abang Y bersimpati melihat keadaannya waktu itu. Dia diperkenalkan kepada seorang ustaz. Dia mendekatkan diri kepada Tuhan sambil berubat dengan bermacam-macam zikir, dan doa-doa. Alhamdulillah, dengan izin Allah, perlahan-lahan dia pulih semula.

Perasaan saya dihambat keharuan yang sukar saya gambarkan sewaktu dia mula bercerita tentang anaknya. “Aku rasa sunyi sangat setiap kali aku balik rumah. Aku rasa kosong. Kalau boleh aku tak nak balik rumah. Aku teringat-ingat anak aku. Aku terdengar-dengar suara dia, menyanyi, ketawa, menangis. Aku terbayang-bayang dia memanjat-manjat gril, memanggil aku, melambai-lambai tangannya pada aku setiap kali aku balik dari kerja.

“Sampai sekarang pun, bila aku sunyi, aku ternampak-nampak anak aku tengah bermain-main di bawah tangga, tempat favourite dia. Aku terbayang-bayang dia duduk asyik di depan tivi melayan cerita kartun. Aku masih teringat lagi, suatu petang, dia tertidur di atas lantai di sebelah permainannya, kepenatan, menunggu aku balik kerja,” katanya, perlahan dan tertahan-tahan. Saya nampak ada air jernih yang meruncup di matanya.

“Dia seorang isteri yang baik sebenarnya. Tapi dah takdir. Aku tak salahkan dia seratus peratus. Aku pun bukan husband yang baik. Aku ada buat silap juga. Aku tak pandai jaga dia. Aku tak mampu bagi dia kemewahan.......

"Apa pun yang dia dah buat pada aku dulu, aku dah maafkan. Aku doakan dia bahagia. Aku tak nak simpan dendam. Memanglah, kalau nak diingat-ingat balik, memang sangat menyakitkan. Tapi dendam cuma akan membuat hidup aku tak tenteram, jiwa aku terus terseksa," luahnya.

Petang semakin lewat. Sudah hampir sangat di penghujungnya. Masa kami bersama itu berlalu, terasakan begitu pantas dan sekejap. Saya kemudian membawa dia minum di restoran berdekatan. Selepas minum, dia mahu terus pulang. Saya menghantar dia sampai ke pintu keretanya. Dia menyalami tangan saya dan kami berpelukan sekali lagi. Kali ini lebih erat, lebih akrab.

Hujan yang renyai-renyai masih belum mahu berhenti. Bumi semakin basah, semakin gundah.


[Aku rasa dah tiba masa kau mula hidup baru. Moga-moga ia akan buat kau lebih bahagia. Kambus dalam-dalam semua cerita silam yang penuh duka. Buka lembaran baru. Kau tetap ada anak kau, ada Dia, ada keluarga kau, ada kawan-kawan lain.......

Aku tahu kau membaca tulisan aku ini. Terima kasih kerana mengizinkan aku mengutip dan mengadaptasikan cerita hidup kau ke dalam blog ini. ]

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 11/17/2008 08:27:00 PG. |


68 Ulasan


Isnin, November 17, 2008 10:07:00 PG, Blogger MOKCIK AZWA

macam-macam kisah keretakan rumahtangga sekarang ini. Semoga kawan BP tidak terus lemas dengan masalahnya tapi berusaha terus bangkit dari keruntuhan rumahtangga. Cuma, dia tak fight ker untuk dapatkan anaknya?

 

Isnin, November 17, 2008 10:07:00 PG, Blogger Tok Rimau

Aku tak salahkan Y, aku tak salahkan husband orang dan aku tak salah kawan kau. Things happen. Ujian. Pahit sedeh camana pun kena tahan. Dunia hanya pinjaman. :-(
Apa pun, entri ini buat aku nak gi taska amik anak aku, dan peluk erat-erat.

 

Isnin, November 17, 2008 10:11:00 PG, Blogger TokNabe

Gambaran hidup ini penuh pancaroba... setip orang ada bahagian masing-masing. Mungkin bahagian kita bahagia dan mungkin bahagian orang merana. cuma apa yang kita ada sekarang...hargailah, kerana kemungkinan esok lusa sampai giliran kita pulak. Hidup bagaikan RODA, tak gitu BP.

 

Isnin, November 17, 2008 10:40:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

entry ni buatkan aku nak ada baby cepat-cepat... *kesat air mata*

 

Isnin, November 17, 2008 10:47:00 PG, Blogger Nuts@Kacc

Things happen..Semoga kita mengambil iktibar daripadanya in anyway n semoga dia lebih tabah..

 

Isnin, November 17, 2008 10:54:00 PG, Blogger achik

asam garam kehidupan.. :(

 

Isnin, November 17, 2008 10:56:00 PG, Blogger Sya

Terkadang hairan ... kalau wanita mengganggu kehidupan rumahtangga wanita lain adalah perkara biasa.. tapi skrg ni makin ramai lelaki yg mengganggu rumahtangga lelaki lain..

 

Isnin, November 17, 2008 11:29:00 PG, Blogger aNIe

Hmm....manusia ni ada berbagai2 ragam...semoga dia menemui kebahgiaannya kemudian hari nanti...

Walaupun apa yang dilaluinya terlalu perit...tapi...segalanya telah pun berlaku...dan segala yang berlaku adalah dugaan ALLAH

 

Isnin, November 17, 2008 11:37:00 PG, Blogger ckLah @xiiinam

apabila aqad itu sudah berlaku..maka jagalah tali itu...jangan sampai ikatan menjadi kendur....
jangan sesekali mengikut bisikan
bisikan bosan
bisikan kesal
atau bisikan..ingin marasa cinta yang baru...

 

Isnin, November 17, 2008 11:52:00 PG, Blogger Hambali ®

Minta dijauhkan Allah dugaan seropa ini

Tak cukup dengan doa, kita sendiri kenalah usaha menjauhkan "permulaan" untuk dugaan2 seropa ini.

Tapi takdir Allah tadak sapa yang mampu melawan.

 

Isnin, November 17, 2008 12:02:00 PTG, Blogger Lan Rambai

ada komentar yang tak sabar nak amik anak, ada komentar yang tak sabar nak ada anak selepas baca entri ini. Jemputan kahwin ko bila nak sampai kat aku ni???

 

Isnin, November 17, 2008 12:17:00 PTG, Blogger NONIE AZIZ

Semua ni dugaan dari Allah swt...Kita sebagai hamba patut menjadikan ia suatu pengajaran...Setiap pengajaran jadikan ingatan untuk kita jadikan panduan utk kita hadapi kehidupan yang akan datang...Semoga kita semua tidak sombong @ bongkak menghadapi kehidupan kita...Semoga kawan ko menemui kehidupan yang bahagia tidak lagi disakiti...Tersenyum aku bila baca komen Lan Rambai...bila ya?

 

Isnin, November 17, 2008 2:34:00 PTG, Blogger HABIHA69

"Utamakan Sabar" itu...yang sepatutnya! ketika saat jiwa timbul konfliks,confuse dan kacau sebegitu "sabar" adalah kunci kekuatan diri..sabda Nabi Sebaik-baik senjata orang mukmin ialah bersabar dan berdoa (hadith Riwayat Ad-Dailami. Sabda Nabi lagi..Siapa yang diberikan kebaikan (nikmat) oleh Allah diberikannya penderitaan terlebih dahulu (hadith Riwayat Al-Bukhari)..moga-moga cerita Kang JP jadi Pedoman untuk kita semua..

 

Isnin, November 17, 2008 3:00:00 PTG, Blogger Masy

simpati utk sahabat BP. benarlah kata org, klu tak berjodoh - yg di mulut pun terluah semula. ermmm takpelah, berdoalah padaNya moga diberikan yg lebih baik dan ditemukan dgn anaknya..

errr bole jumpe lg ke tak anaknya tu?

 

Isnin, November 17, 2008 4:27:00 PTG, Blogger rudy bluehikari

Yang ini aku faham sampai lapis yang umbi. Maknanya spt katamu; "sudah sampai masanya untuk mengecap bahagia. aku doakan.", kang seng tenan yo.

 

Isnin, November 17, 2008 4:46:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

Azwa,
Kawan saya itu dah ok rasanya sekarang. Dan kalau tak salah saya, dia dengan ex dia itu tak ada masalah tentang penjagaan anak.


Tok Rimau,
Well said Tok! Betul. Ujian datang dalam pelbagai bentuk.

Cuma, itulah, takdir memang tak dapat dihalang tapi ada ketikanya kita masih diberi peluang untuk berusaha.

Cakap pada anak Tok, Pakcik JP kirim salam.


Tok Nabe,
Itulah. Hidup adalah perjalanan yang panjang. Penuh simpang, selekoh, duri, onak, ranjau.


RKM,
InsyaAllah Tuhan mendengar dan dan makbulkan doa kamu nanti.

Sampaikan salam saya buat bro’ Zunar.


Nuts@Kacc,
Setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersirat.


Achik,
Dugaan adalah guru yang mendewasakan kita.


Kak Sya,
Saya tiada jawapan untuk itu Kak Sya.

 

Isnin, November 17, 2008 4:53:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

Kak Anie,
Itulah. Setiap manusia lain dugaan dan ujian yang Tuhan beri.


Cik Lah,
Kata-kata dan nasihat yang baik dari Cik Lah. :)


Hambali,
Betul. Usaha, doa dan tawakal.


Lan,
InsyaAllah Lan, bila sampai masanya nanti. :p


Nonie,
Ya, betul.

InsyaAllah, bila sampai masanya nanti. :)


Ustaz Habiha,
Ya, sabar, walau apa keadaan sekalipun. Saya harap dia membaca ulasan ustaz.


Masy,
Itu semua dah ketentuan-Nya.

Seminggu 2-3 kali juga kalau tak silap saya.


Rudy,
Ya, kita doakan Tuhan mempermudahkan perjalanan hidupnya. Dah dugaan hidupnya begitu.

Yok ngeteh! :)

 

Isnin, November 17, 2008 5:02:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

Hebatnya dugaan. Kalau aku, ntah kuat ntah tidak nak terima dugaan sehebat itu.

 

Selasa, November 18, 2008 9:47:00 PG, Blogger Rush Murad

Sudah tersurat perjalanan hidup dia macam tu... alhamdulillah, dia masih cekal, masa berkesempatan bertaubat dan bermuhasabah diri..... semoga sahaja teman itu terus cekal dan diberi semula kebahagiaannya...

 

Selasa, November 18, 2008 9:52:00 PG, Blogger asuhara sue

tuhan sudah anugerahkan kehebatan pada kawan kamu itu kang, sbb bejaya melalui cabaranNya...suruh dia terus menjadi manusia hebat ya kang.

 

Selasa, November 18, 2008 10:06:00 PG, Blogger muor76

ko suke tengok wayang? ko suke bace novel?
ade mase cite sedih. kite nangis.. ade mase citer lucu kite ketawa.. dan akhir cite kite leh wat kesimpulan.. dan kite akan cakap ...kalau begitu kalau begini...menunjukan ketidakpuasan hati terhadap cite tersebut... setiap cite lagi bermakne kalo kite pikir dan cube berade dalam nyer.. bukan takat melihat,menonton atau membace... tapi kite tokleh nak ubah cite tu sebab penulis novel atau penulis script yg nak cite tu begitu.. dan kalo kite nak cite tersebut mengikut citarase kite.. kite kene ler karang sendiri...

 

Selasa, November 18, 2008 10:37:00 PG, Blogger Unknown

Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

 

Selasa, November 18, 2008 10:41:00 PG, Blogger Yunus Badawi

Citer ko menambah rasa kesyukuranku kpd apa yg Dia telah kurniakan kpdku. Adakalanya aku malu menerima pemberianNya yg tak terkira sedangkan aku hanya seorg insan kerdil yg hina.
Semoga Allah tak memberi ujian yg terlalu berat yg tak larat aku tanggung.

 

Selasa, November 18, 2008 10:55:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

salam..suatu kisah teladan yang baik untuk kita semua. Di akhir2 ini kisah sebegini semakin ketara dan semacam wabak dalam masyarakat malaysia. Semoga kita dilindungi dari perkara sebegini..di harap kawan saudara tabah menghadapi ujian daripadaNYA, semoga ada rahmat mengiringi kehidupannya yang mendatang..

 

Selasa, November 18, 2008 11:54:00 PG, Blogger ubilepih

Bro salam buat kawan lu tu...wa pun bab cinta dua darjat ni jenuh gak megalami pahit rabak2 tu walau tak sehebat dia...sebab wa anak orang miskin gak..he..he..sekapal lah kita...tapi bab anak bro..ini wa tak leh tahan emo..setua wa pun bole tangkap leleh air mata bro...anyway kita kena sabar sgt2..wa respek sikap yg kawan lu amik tu..pemaaf jgn dendam...tak baik

 

Selasa, November 18, 2008 1:16:00 PTG, Blogger silversarina

salam,

sebab itulah digalakkan berkahwin dengan pasangan yang sekufu atau yang sama tarafnya , apapun sekali gagal tak bermakna gagal selamanya , cuba lagi, Allah Maha Penyayang.

 

Selasa, November 18, 2008 1:34:00 PTG, Blogger Rajuna

aku juga pernah berkawan dengan anak orang kenamaan, berpangkat dan berharta. mungkin atas dasar itu juga hubungan itu menyebabkan mak bapak aku kurang selesa. Mujur tak sampai jinjang pelamin(ceh). kalau tak, aku tak dapat bayangkan.dah. lepas tu aku dah serik.

kepada abang berkenaan. datanglah berjumpa bekas isteri sekali lagi. atau buat janji temu. jangan lupa curahkan air teh o limau panas tepat ke muka dia. jangan lupa sertakan makian sebagai penyeri. hadiah satu sepakan di perut sebagai kenang-kenangan.

maaf kang. aku memang tak boleh dengar orang susah dihina. aku jadi panas. jadi baran!

 

Selasa, November 18, 2008 3:08:00 PTG, Blogger Mak Su

teruskan semangat utk hidup, buat kawanmu

 

Selasa, November 18, 2008 3:10:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

Sayu Am baca kisah tu, kenyataan banyak lagi kisah2 sebegitu yang terjadi diluar sana

Am sendiri sebenarnya tak tahu nak komen apa tapi yang Am berani kata ialah Am selalu kata pada isteri Am, Am tak janjikan kemewahan pada dia, Am janjikan kebahgian dan sebagai teman sepanjang masa

 

Selasa, November 18, 2008 4:53:00 PTG, Blogger hanny

er.. selama nih ingatkan kalau bercerai, anak ikut si emak mesti si bapa tak kisah sebab boleh duduk senang tengok tv tanpa gangguan atau baca suratkhabar tanpa ada bunyi anak menangis...rupanya si bapa pun rasa sunyi ya!.

 

Selasa, November 18, 2008 6:32:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

kasihan. masa tidak menjamin yg kita ni serasi atau tidak bukan? hidup ini penuh dgn risiko. sangat penuh dgn risiko. mujur sahabat kamu tabah orgnya..semoga dia bertemu yang lebih baik dari bekas isterinya. :)

 

Selasa, November 18, 2008 10:23:00 PTG, Blogger A t i Q a h

Teringat masa Emi (adik saya) tanya Mak. "Kenapa ada orang tu bercerai?" Mak kata, "sebab orang tu tak tanya Allah dulu." Tapi semua tu dugaan dan ujian dari Dia kan. Moga dia jumpa seseorang yang lebih baik. :)

 

Selasa, November 18, 2008 11:25:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

Tuhan jadikan sesuatu perkara tu..ada sebab dan hikmah disebaliknya..moga sahabat BP tabah mengharungi hidup..insyaAllah mendapat yang lebih baik. Amin

 

Selasa, November 18, 2008 11:43:00 PTG, Blogger Mdm.Zend

kawan mu menitipkan suatu ilmu...

 

Rabu, November 19, 2008 1:41:00 PG, Blogger kawaii_desu

may he finds his strength to move on

 

Rabu, November 19, 2008 9:02:00 PG, Blogger zwitterion

aku menangis ketika membaca entry ini dan sentiasa mengharapkan yg baik2 sahaja untuk menghadapi masa depan

 

Rabu, November 19, 2008 9:05:00 PG, Blogger BuRuuj

ya..hidup ini suatu ujian. kekayaan...kemiskinan...kecantikan dan ape jua bentuk nikmat dan kurniaan adalah satu ujian. cerita masyarakat suatu realiti untuk kita jadikan iktibar. walauapepun yg berlaku, jika kita letak 'al-Khaliq' di antara sesuatu kekusutan. Dia pasti akan menyelesaikannya...

 

Rabu, November 19, 2008 9:56:00 PG, Blogger bipeds earthdweller

setiap manusie memileh jalan hidupnye sendiri.
entah baik, entah buruk.
ape yang kite inginkan belum tentu bagus untuk kite.

 

Rabu, November 19, 2008 10:56:00 PG, Blogger addyaholix

kawan kau tabah. aku yakin dia kuat untuk hadapi semua. sebab dia mampu teruskan hidup sampai ke tahap ini. aku tahu dia mampu. aku tak tahu kalau aku mampu setabah dia. cuma anggap ini dugaan daripada-Nya. sebab tuhan duga hamba yang dia sayang.

buat kawan kau(kalau dia baca ini), teruskan hidup. tunjukkan kau mampu bangun walau dihempap "batu" yang maha dahsyat!

 

Rabu, November 19, 2008 12:16:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

Buang yang keruh ambil yang jernih.

 

Rabu, November 19, 2008 12:26:00 PTG, Blogger Kak Long

perkahwinan macam perjudian.

apa pun tentu ada yang Allah dah aturkan untuk masa depan sahabat seorang itu. Hanya DIA yang tahu.

 

Rabu, November 19, 2008 12:26:00 PTG, Blogger Unknown

ish, sedih la pulak eh... sekejap je dia ilang semua... aduhai... ~nangis~

 

Rabu, November 19, 2008 1:40:00 PTG, Blogger cujern

saya semakin takut nak kawen.... adoiyai....

 

Khamis, November 20, 2008 12:59:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

Catatan ini membuat kita teringat pada anak kita...
Kita cuma ada dia sorang.. takut kalau bapak dia amik dia dari kita..
Adeh..rasa nak nangis...

 

Khamis, November 20, 2008 1:03:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

Catatan ini membuat kita teringat pada anak kita...
Kita cuma ada dia sorang.. takut kalau bapak dia amik dia dari kita..
Adeh..rasa nak nangis...

 

Khamis, November 20, 2008 10:11:00 PTG, Blogger zino

cerita cerita ini menjadi iktibar kepada kita.. menjadi pengajaran dan pedoman kepada kita semua.. kadang kala menjadi peringatan kepada yg sedang merancang utk membina mahligai..

walau apa pun cerita yg pernah kita dengar dan kisah yg pernah kita baca tidak bermakna kita perlu mempunyai satu kesimpulan.. perkahwinan akan selalunya berakhir sedemikian..sehingga kita masih tertangguh utk menuju ke arah itu.. atau kita takut utk membuat sesuatu keputusan..

fikir2kan lah...

 

Jumaat, November 21, 2008 10:33:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

Salam BP,
Semoga yang terbaik diperoleh kawan anda itu. Mungkin itu yang terbaik untuk dia.

 

Sabtu, November 22, 2008 10:19:00 PG, Blogger SATIRA + KACAU

Sdr JP: Saya datang membaca dan memaklumkan masih tetap aktif menulis di blog. Ha. Ha.

 

Ahad, November 23, 2008 9:16:00 PTG, Blogger Unknown

aku dah lalu semua tu.. memang pedih.. tapi tak guna dipikir.. baik cipta cerita baru..

 

Isnin, November 24, 2008 11:41:00 PG, Blogger Titicaca

setiap orang ada ujian masing2.mmg sedih bila dgr cite org yg kita kenal ada masalah macam ni..

 

Isnin, November 24, 2008 12:51:00 PTG, Blogger Pa'chik

nak wat cemana dude... permainan bini dan laki orang sekarang ni cukup hip... rasa cam urban sangat kalau jadik teman tapi mesra antara bini dan laki orang... huhuhu... trend baru ni dude... tambah yang sepejabat...

 

Isnin, November 24, 2008 1:14:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

ini lah dinamakan takdir....Allah nak menguji anak adam....setiap kejadian ada hikmah nya..redha dgn apa yg terjadi

 

Isnin, November 24, 2008 6:53:00 PTG, Blogger cakapaje

Salam JP,

Ini ada satu cabaran baru ye. 29Nov ini, ramai bloggers akan berjumpa di The Curve, Damansara. Kalau free dan berada di KL, join lah sekali ye.

 

Selasa, November 25, 2008 12:52:00 PG, Blogger adelina

menitik air mata saya membaca entry ini

seolah terimbas di depan mata saya kisah pahit ini 18 bulan lalu

kita diuji kerana disayangiNYA

 

Selasa, November 25, 2008 12:23:00 PTG, Blogger tasekM

ya. melayari rumah tangga bukanlah semudah yang kita sangka tika bercinta.

.

 

Selasa, November 25, 2008 10:55:00 PTG, Blogger DeeN

Mulianya.
Tp selalunya setiap yang berlaku, ada hikmahnya. Cuma belum tahu apa di sebaliknya.

 

Rabu, November 26, 2008 10:12:00 PTG, Blogger Petiais

mungkin aku perlu berubah haluan juga

 

Khamis, November 27, 2008 10:50:00 PG, Blogger KAMATO

cerita begini jadi iktibar untuk kita

 

Jumaat, November 28, 2008 2:23:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

Cikin,
Itulah. Tapi nama pun dugaan. Seteruk mana pun, kena hadapi. Kan?


Rush,
Ya. Kita sama-sama ambil iktibar dari ceritanya. Kata orang, pengalaman pahit adalah guru yang terbaik.


Asuhara,
Mudah-mudahan dia membaca ulasan kamu.


Muor,
"Setiap cite lagi bermakne kalo kite pikir dan cube berade dalam nyer". Betul sangat kata-kata kau Muor.


ann,
:)


En YB,
Macam-macam ujian Tuhan turunkan kepada kita En YB. Ujian kawan saya itu lain, kita mungkin lain pula. Yang penting sabar dan redha, kerana pasti ada tersembunyi hikmah di sebaliknya.


Arsaili,
Waalaikumusalam sdr.

Ameen. Semoga kita semua sama-sama dilindungi Tuhan dari ujian seperti itu.

 

Jumaat, November 28, 2008 2:46:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

Ubilepih,
InsyaAllah, nanti aku sampaikan salam kau.

Dunia pasca-modenisme sekarang memandang harta bro', walau tak semua. Padahal harta itulah daki dunia.


Kak Sarina,
Waalaikumusalam.

Ya, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.


Rajuna,
Sabar Rajuna. Sabar. Jangan ikut emosi ya. Emosi itu panas membara, nanti membakar diri sendiri.

[Aku sebenarnya pun macam kau, panas baran juga :)]


Mak Su,
Semoga Tuhan memberikan yang terbaik dalam hidupnya,untuk hari ini dan untuk yang akan datang.


Am,
Semoga kehidupan Am, isteri dan sekeluarga dirahmati dan dilindungi Allah hingga ke akhir hayat. Ameen.


Hanny,
Manusia. Rambut sama hitam [walaupun sekarang dah bermacam-macam warna rambut ada] tapi hati tetap lain-lain. :)


Kadok,
Ya, hidup sentiasa berisiko. Hari ini kita memiliki, esok belum tentu lagi. Tapi pokok pangkalnya pada iman dan ketahanan kita pada godaan yang datang.

[Aku cuba untuk mengingatkan diri sendiri juga sebenarnya]

 

Jumaat, November 28, 2008 3:01:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

Tiqah,
Ya, keberkatan dan rahmat Tuhan. Tapi semua yang berlaku tentu ada hikmahnya. Mungkin Tuhan ingin menganugerahkan yang lebih baik untuk dia.


Meen,
Semoga Tuhan memberikan yang terbaik untuknya.

Ameen.


Mdm Zend,
Pengalaman pahit orang lain boleh mengajar kita tentang hidup juga. Macam Robin S. Sharma kata, kesakitan adalah guru yang agung.


Kawaii,
Moga-moga. InsyaAllah.


Zwit,
Mungkin ada sesuatu yang buat kau tersentuh.

Semoga kita semua dilindungi Allah dari ujian sebegitu.


Buruuj,
Ya, seteruk mana dugaan, seserabut mana dan serumit mana masalah yang kita hadapi, kalau kita kembali kepada-Nya, insyaAllah.

[Aku mengingatkan diri sendiri juga]


Bipeds,
Manusia memilih jalan hidup, tapi harus ada pedomannya. Bila tiada pedoman, mudah tergelincir, silap-silap tersesat.

 

Jumaat, November 28, 2008 3:09:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

Addyaholix,
Semoga dia membaca ulasan kau dan ulasan-ulasan sahabat-sahabat yang lain.


Azzam,
Dan semoga yang dah jernih akan tetap kekal jernih.


Kak Long,
Ya. Hanya Dia yang tahu. Sudah takdirnya tertulis begitu.


Wai,
Dugaan dan ujian Tuhan. Kadang-kadang tanpa kita duga bila saat datangnya.


Flip,
Tapi kalau tak kahwin pun dugaan dan ujian tetap ada. Cuma lain bentuknya. Kan?


Serindit,
Semoga Tuhan melindungi kamu, mempermudahkan urusan kamu. Ameen.


Zino,
Ulasan Zino sangat bermakna. Sehingga membuat saya berfikir. Bukan sekali, tapi berkali-kali.

Saya rasa saya seperti faham apa yang cuba Zino sampaikan. Terima kasih kerana nasihat itu.

 

Jumaat, November 28, 2008 3:32:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

Tuan Zabs,
Waalaikumusalam tuan.

Mungkin sudah ditakdirkan begitu perjalanan hidup dia. Diuji Tuhan dahulu sebelum ditemukan kebahagiaan yang dicari-cari.


Sdr Satira,
Ya, terima kasih.

Terima kasih juga kerana sudi berjumpa di Kuantan tempohari, dan cenderahati 2 buah buku itu juga. Saya menghargainya :)


King,
Cerita kebejatan masyarakat hari ini King.


Penoreh,
Tahniah atas semangat kau. Semoga Tuhan terus memberikan kau yang terbaik dalam kehidupan kau yang seterusnya.


Titicaca,
Kita sama-sama ambil iktibarnya.


Pa'chik,
Aku tak reti nak ulas komen kau Pa'chik. Tapi betullah, itu trend yang mendurjanakan kehidupan manusia dan masyarakat.

Semoga kita sama-sama dilindungi dari mala petaka semacam itu.


Nunn,
Betul. Tapi itulah, sebagai manusia, kadang-kadang bab sabar dan redha itulah yang tersangat sakit untuk kita lakukan.

 

Jumaat, November 28, 2008 3:36:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

cakapaje,
Waalaikumusalam.

Saya ada berhubung dengan Dr Tok Asid via sms tentang perjumpaan itu. Khabarnya ramai nama-nama dan tokoh-tokoh besar yang hadir. Terasa malu pula saya nak ikut serta.


Adelina,
Semoga kamu sentiasa terus tabah dan diberi kekuatan oleh Allah.

Tuhan ingin memberikan yang terbaik untuk kamu.


Tasik,
Itulah. Banyak dugaan dan ujiannya.


Deen,
Ubat selalunya memang pahit. Di sebalik kepahitan itulah tersembunyi hikmah. Kan?


Petiais,
Semoga haluan kamu itu menuju destinasi yang lebih baik.....


Kamato,
Sama-samalah kita ambil iktibarnya. InsyaAllah.

 

Sabtu, November 29, 2008 10:30:00 PG, Blogger ubilepih

salam!!!
Lama tak hapdet niii!!! lu cuti masuk Jawi sekali lagi ke?ahak..ahak..ahak..

 

Ahad, November 30, 2008 4:37:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

May Allah bless us all..amin

 

Isnin, Disember 01, 2008 5:36:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

Ubilepih,
Salam.

Ha ha ha!


Shirah,
Ameen.