Rabu, Ogos 27, 2008
I

Adik-adik saya. Itu gambar lama. Tahun berapa entah. Tak ingat.

Mie. Dia aktif orangnya. Pernah terpilih mewakili negara ke sukan SEA. Kacak macam abangnya juga. Hahaha! Dulu-dulu, di minggu-minggu awal saya berjauhan dari keluarga, mengikuti matrikulasi di KL, Mie tak henti-henti menangis, sampai demam-demam. Dipegang-pegang dan dicium-ciumnya baju saya sepanjang masa. Baju saya jugalah jadi selimut tidur malamnya.

Di USM. Mie sangat rajin menghantar sms kepada saya. Bertanya khabarlah kononnya. Tapi setiap kali mesejnya lebih-kurang sama. Kalau saya tak baca pun saya dah tahu apa yang ditulisnya. “Assalamualaikum. Abang XXX, Mie tengah pokai, nak pakai duit sikit. Duit studio, presentasi, minyak motor, bla bla bla. Sekian. Terima kasih.”

Ifa lain pula. Dia sangat pemalu orangnya. Pun macam abangnya juga. Hahaha! Semasa enam tahun, Ifa tak nak ke Tadika. Tak nak sungguh! Dia meronta-ronta, menangis-nangis. Entah apa yang ditakutkan di Tadika itu entah! Setiap kali emak hantar, Ifa akan ikut emak balik rumah semula. Sekali, emak hilang sabar. Emak celup kepala Ifa ke dalam tempayan. Tercungap-cungap Ifa dibuatnya. Kasihan Ifa.

Saya harap jangan-lah Mie dan Ifa terjumpa blog ini.

He he he!


II

Kelmarin saya menerima sepucuk surat berdaftar. Saya ingatkan surat saman. Rupanya dari Presiden Kelab Peminat Novel ALAF 21, Abang Long. Dia mengirimkan novel Hijab Sang Pencinta karya Ramlee Awang Murshid [RAM]. Terkejut juga saya kerana saya tak pernah memesannya dan saya bukan ahli kelab itu. Saya terus menelefonnya. Itu percuma, katanya. Terima kasih banyak-banyak Abang Long. Saya sangat menghargainya.

Sejujurnya, saya belum pernah membaca novel-novel terbitan Alaf 21 dan karya RAM sendiri. Bila sudah ada yang sudi memberi, saya juga akan sudi menerima dan membacanya. Terima kasih sekali lagi Abang Long.



III

Cik Tempe telah bermurah hati memberi saya anugerah ini. Terima kasih Cik Tempe.

Oh ya! Anugerah ini juga untuk semua sobat yang singgah di blog ini. Ambil-lah. Jangan malu-malu pulak.



TTFN

Label: ,

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 8/27/2008 11:27:00 PTG. | 46 Ulasan
Isnin, April 07, 2008

KLIBF 2008.

Saya seperti kenal dan tidak. Tapi seperti sudah biasa saya lihat wajahnya.

“Jowopinter” Saya memperkenalkan diri saya kepadanya. Kalau saya sebut nama lain, Qusnan Munazarif misalnya, tentulah dia tak akan kenal saya. Dia, sdr Helmy Samad. Kami bersalaman.

Sdr Helmy langsung memperkenalkan saya kepada ayahnya, yang sedang duduk-duduk, santai dan tenang. Bertuah sungguh saya, bertemu empat mata dengan ayahnya, Sasterawan Negara kegemaran saya - yang mempunyai nama bapa sama seperti saya itu.

“Susahkah jadi blogger ni?” Antara soalan Pak Samad pada saya.

“Saya cuma blogger picisan…,“ saya menjawap, malu-malu. Siapalah saya pun.

Kami bercakap-cakap, pendek tapi mesra. Pak Samad mencoretkan sesuatu di dua buku karyanya yang saya beli. Pendek catatannya tapi bererti.

Khir Toyo pun dah ikut you buat blog sekarang,” kata Sdr Helmy.

Dan selebihnya menjadi sejarah. Hehehe!

Image Hosted by ImageShack.us

Saya jejaka yang sangat pemalu, kena tutup mukalah. Kebetulan saya tidak memakai topeng hari itu. Hahaha!

Sebenarnya saya juga ternampak 2-3 orang novelis / blogger yang saya kenal, tetapi saya mengendap dari jauh sajalah. Saya kan pemalu. Ada juga yang saya tegur, tapi sebab malu saya terus cabut lari. Hehehe!

Image Hosted by ImageShack.us

Kali ini tidak banyak sangat saya membeli buku. Cuma 10 buah sahaja:

1. 68 Soneta Pohon Ginko [SN A. Samad Said] – Ini karya terbaru beliau.
2. Edisi Santai - Cinta Fansuri [SN A. Samad Said]
3. Over The Top [Zig Ziglar]
4. The Nightmare of Disbelief [Harun Yahya].
5. Dunia Sophie: Sebuah Novel Sejarah Falsafah [Josteein Gaarder]
6. Jatuhnya Sang Imam [Nawal el Saadawi]
7. Misteri Solat Subuh [Dr Raghib Aa-Sirjani]
8. Assalamualaikum: Islam Itu Agama Perlawanan [Eko Prasetyo].
9. Di Benua Buta [Mana Sikana]
10. AWEKSKL – Himpunan cerita paripari untuk bidadari kota. [Stormkitchen].

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 4/07/2008 11:27:00 PG. | 47 Ulasan
Jumaat, Mac 21, 2008
Image Hosted by ImageShack.us

Semalam saya berkesempatan singgah di kedai buku Mutiara Ilmu, yang banyak mengedarkan buku-buku dari Indonesia itu. [Terima kasih kepada sdra Jiwarasa yang memberitahu saya lokasinya].

Saya sempat bersembang sekejap dengan sdra M. Aktifanus Jawahir, pemiliknya, sambil dijamu dodol - dari Indonesia katanya. Banyak buku yang menarik minat saya. Karya-karya Hamka, Pramoedya, Goenawan Mohamad, Mukhtar Lubis dan beberapa karyawan besar Indonesia lagi. Cuma buku karya Remy Sylado yang saya cari itu sudah habis. Saya sempat membeli tiga buah buku.

Robohnya Surau Kami [A.A. Navis]. “Kenapa engkau biarkan dirimu melarat, hingga anak cucumu teraniaya semua. Sedang harta-bendamu kau biarkan orang lain yang mengambilnya untuk anak-cucu mereka. Dan engkau lebih suka berkelahi antara kau sendiri, saling menipu, saling memeras. Aku beri kau negeri yang kaya raya, tapi kau malas. Kau lebih suka beribadat saja, karena beribadat tidak mengeluarkan peluh, tidak membanting tulang. Sedang aku menyuruh engkau beramal di samping beribadat. Bagaimana engkau bisa beramal kalau engkau miskin. Engkau kira aku ini suka pujian, mabuk disembah saja, hingga kerjamu lain tidak memuji-muji dan menyembahku saja. Tidak....“ Itu adalah dialog Tuhan yang saya kutip dari buku itu.

Tuhan Izinkan Aku Menjadi Pelacur [Muhidin M Dahlan]. Katanya, baru sampai dan cuma itu satu-satunya naskhah yang ada di sini. Kisah seorang muslimah yang taat. Tubuhnya dihijapi oleh jubah dan jilbab besar. Hampir semua waktunya dihabiskan untuk solat, baca Al-Quran, dan berzikir. Dia memilih hidup yang sufistik. Cita-citanya hanya satu: menjadi muslimah yang beragama secara kaffah. Tapi di tengah jalan dia diterpa kekecewaan…. Terselit dialog-dialog ’berani’ seperti “Aku hanya ingin Tuhan melihatku. Lihat aku Tuhan, kan kutuntaskan pemberontakanku pada-Mu!”

Kedua-dua buku itu agak nipis tetapi sarat dengan mesej spiritual dan ketuhanan. Kritis dalam menyingkap kepalsuan dan kebejatan moral manusia, juga sisi gelap insan yang selama ini dianggap ‘mulia.’ Temanya lari dari kebiasaan.

Buku ketiga itu adalah buku lama. Bunga Rampai – Sastra Jawa Mutakhir [susunan Prof Dr J.J. Ras, seorang berbangsa Belanda tetapi mahir berbahasa Jawa, dan pernah mengajar bahasa Jawa di UM]. Buku ini berbahasa Jawa. Sudah lusuh kulitnya dan sudah kuning warna helaiannya. Beruntung saya memiliki buku seklasik itu. Jangan menilai buku dari kulitnya, bukan begitu? Isi kandungannya akan saya kongsikan di dalam blog saya yang satu lagi, MONGGO MAMPIR. Insya-Allah.

Leka membelek-belek buku, sehingga tidak sedar sudah melewati satu jam saya di dalam kedai buku itu, hampir saya terlupa ada seseorang yang menunggu saya di dalam kereta.

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/21/2008 11:27:00 PG. | 41 Ulasan
Rabu, Februari 27, 2008
KEMASKINI:
Alhamdulillah.


Kek Chocolate Indulgence dari Resepi Rahsia. Lazat tak terkata!

Makan-makan di Amarin Heavenly Thai, Mid Valley. Pla Yam Mamoung [Ikan Kerapu + Kerabu Mangga] dan Goong Ob Nuey [Udang + Sayur Sizzling bermentega]


Tomyam Goong Maprow Onn [Tom Yam Udang + Cendawan + Kelapa muda]

Hadiah dari Puteri. Sepatu ala-Beatle jenama Unta.

Hadiah dari diri sendiri, dari jiwa untuk jiwa. 7 buah buku / novel; Tutankhamun, The Treasure of The Golden King [Kate Santon], Cahaya Pencerahan – Petunjuk al-Qur’an dan Hadis… [Dr ‘Aidh al-Qarni], New Malaysian – Essays 1 [Brian Yap, Aminuddin Mahmud, Burhan Baki, Saharil Hasrin Sanin, Amir Muhammad & Sonia Randhawa], Murderous Women [John Dunning], Imam [SN Abdullah Hussain], Saga [Abdul Talib Mohd Hassan] dan Tuhan Manusia [Faisal Tehrani]

Terima kasih kepada Puteri atas tajaan kek, makan-makan dan sepatu. Terima kasih kepada rakan-rakan blogger, rakan-rakan di Forum Cari dan semua rakan-rakan yang mengucap selamat via tingkap ulasan, benang dan sms.

Oh ya! Terima kasih juga kepada Pn. Manjlara yang sudi ’menghadiahkan’ novel sulungnya, Persis Sebutir Pasir ke rumah saya tempohari.

Mengingati detik kelahiran jangan sampai lupa mengingati detik kematian.....

TTFN

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

ENTRI ASAL

Ada seorang budak. Dia biasa-biasa saja, dan agak pemalu budaknya. Tapi dia sangat nakal. Suka buli anak ayam atok dan anak ayam jiran, suka dera sepupunya yang datang dari bandar sampai patah kaki sepupunya itu, suka buli dan ejek anak jiran sebab berambut kerinting halus-halus, suka curi duit syiling di kocek seluar abahnya yang tergantung, suka curi duit syiling atoknya di dalam tin Milo di dalam gerobok, suka bergaduh dengan adik-adiknya, suka mandi bogel di dalam parit, pendek kata macam-macam lagilah. Kalau nak cerita pasal kenakalan budak itu memang tak habis.

Setakat libasan tali pinggang abahnya, biasalah. Itu belum lagi dihambat keliling kebun dengan raket kayu oleh abahnya, dibaling kayu api atau dipiat telinganya sampai nak putus oleh emaknya. Isk! Nakal sungguh budak itu!

Tapi itu dululah. Semasa dia budak-budak. Sekarang dia tak nakal lagi. Tapi tetap masih pemalu, sopan dan berhemah sungguh orangnya. Oh ya! Semakin kacak juga. Hehehe!

Hari ini dia menyambut Hari Jadinya yang ke dua puluh 7 [itu belum dicampur beberapa tahun lagi. Hehehe!]


Soalan menguji minda: Siapakah budak itu?

TTFN

Label: ,

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 2/27/2008 01:20:00 PG. | 75 Ulasan
Jumaat, Mei 04, 2007
I
Khamis. Pesta Buku Antarabangsa KL 2007, PWTC.


Tidak seperti tahun lepas, kali ini kutidak berteman. (Puteri kraton itu pulang bercuti nun di kepulauan sana). Kali ini juga kutidak kelemasan berasak-asak seperti tahun lepas, mungkin kerana lokasinya menyelesakan lagipun semalam bukanlah cuti umum.

Aku menyusuri gerai demi gerai mencari buku-buku terbitan terdahulu. Karya-karya kemelayuan dan nusantara berlatarkan era dahulu-kala dan juga tulisan-tulisan berisi tapi sinis tentang kepincangan masyarakat dan bangsa.

Aku sentiasa tersentuh dengan karya-karya Almarhum Hamka yang digolong sebagai ilmu Yuntafa’u Bih itu. Memang sudah ada beberapa karyanya dalam koleksiku. Di situ aku menemui dua lagi karyanya yang belum kumiliki, Peribadi dan Merantau ke Deli. (aku juga sebenarnya sedang membaca karyanya Angkatan Baru dan akan membaca Terusir yang kubeli minggu lalu). Karya-karyanya sentiasa islamik, spiritual. Juga rintih manusia yang menginsafkan.

Kujuga berjaya mengesan tiga lagi karya Pramoedya Ananta Toer iaitu Gulat di Jakarta, Rumah Kaca yang ditulis semasa beliau di dalam tahanan di Pulau Baru juga Perburuan, yang juga ditulisnya semasa dalam tahanan kerana menentang penjajahan Belanda. Berkisar tentang perjuangan, pemberontakan juga emosi yang diolah dengan bahasa yang halus dan puitis bersira makna yang keras.

Aku sangat mengkagumi karya-karya Sasterawan Negara terutamanya A Samad Said dan Usman Awang. Aku tersentuh dengan karya-karya mereka yang tajam maknanya, indah bahasanya, tinggi seni sasteranya dan hidup ceritanya. Di Dawama, aku sempat membeli edisi khas SN Keris Mas iaitu Koleksi Terpilih Keris Mas, Darah dan Air Mata juga karya Usman Awang, Ini Saya Punya Kerja.

Ketika membelek koleksi-koleksi lama di satu gerai, aku menjumpai karya penulis Singapura tak asing lagi, Suratman Markasan, Subuh Hilang Senja, tentang ketidakpuasan sebahagian masyarakat di Singapura, antaranya dalam soal budaya, agama dan politik. Di gerai yang lain pula aku membeli novel terbaru Dr Talib Samat, Tenang Dalam Gelora, mengisahkan pergolakan peneroka Felda Tenang, Segamat di Zaman Konfrontasi.

Di Creative Enterprise, ada kartunis Ujang di situ. Aku sempat membelek-belek juga tapi akhirnya cuma membeli karya terdahulu Azizi Hj Abdullah, Ayahanda. Di satu gerai lain pula, aku terpujuk untuk memiliki novel kewartawanan Islam, Suu Phea, karya terbaru Abu Hassan Morad yang pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana 2002 itu. Ini buku pertamanya kumiliki.

Semasa menyelongkar buku-buku di rak pameran penerbitan dari Indonesia, kuterpandang buku Pahlawan dan Cerita Lainnya oleh Karim Raslan. Berbanding dua bukunya yang lain, Ceritalah: Malaysia in Transition dan Journeys Through South East Asia: Ceritalah 2 yang pernah kubaca, buku ini merupakan terjemahan ke bahasa Indonesia tentang masyarakat Malaysia moden yang sarat dengan rasa ironi dan humor yang sinis. Di situ, aku mencari-cari juga kalau-kalau ada karya-karya dari Remy Sylado itu, tapi tidak terjumpa.

Mulanya buku Lat itu tidak termasuk dalam senarai pencarianku. Tapi aku memang menggemari kartun Lat sejak dari dulu lagi. Lakarannya dalam Kampung Boy bersahaja, jujur, penuh nostalgia dan mengusik jiwa. Aku suka menyimpan koleksi-koleksinya itu. Kali ini aku membeli Town Boy pula.

Memahami idea yang bertentangan juga adalah minatku. Bagiku, membacanya itu tidak semestinya mentaksubinya. Memahaminya bukan bererti menganutinya. Di satu gerai Gerakbudaya yang kukira unik itu (sekurang-kurangnya bagiku kerana banyak buku berbentuk revolusi, ekstrim dan pemikiran yang liberal), aku terpanggil untuk memiliki karya Fathi Aris Omar, Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi juga buku yang menghimpunkan artikel Syed Husin Ali, Merdeka Rakyat & Keadilan. Kedua buku ini kukira agak kritis tapi menyegarkan.

Di gerai Institut Terjemahan Negara, kebetulan sedang dilancarkan novel Jerman, Siddhartha oleh Prof DiRaja Ungku A.Aziz. Memang teruja dengan karya hebat penulis Jerman, Hermann Hesse, pemenang Hadiah Nobel Sastera itu. Telah diterjemahkan ke 52 bahasa dan pernah difilemkan. Tentang kisah indah seorang anak muda yang mencari dirinya.

Sebelum melangkah keluar dari ruang pameran itu, mataku terpaku pada buku Johor, Dahulu dan Sekarang di rak Persatuan Muzium Negara. Mana mungkin sejarah silam negeri kelahiranku itu, dapat kulupakan begitu sahaja.

Dari PWTC kuterus ke Bukit Jelutong. Sepetang yang pendek, letih tapi puas !

II

Mei ini masaku agak longgar sedikit. Mungkin sempat kucuri-curi sedikit masaku untuk membaca juga Kalashnikov karya sekumpulan lelaki urban yang suka bersembang di kedai kopi (ha ha) yang dipos ke rumahku oleh Sinaganaga itu, Alunan Hidup karya rakan blogger kita, Ainin Naufal dan Haruman Kencana karya Zaharah Nawawi, yang pernah memenangi S.E.A Write Award 1996 itu.

Teringin juga untuk mengulas buku-buku itu, tapi sayangnya aku bukanlah sekreatif Jiwarasa.


TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 5/04/2007 03:27:00 PTG. | 44 Ulasan