Jumaat, Oktober 19, 2007
Lewat petang Hari Raya pertama. Hujan lebat baru teduh. Cuaca redup dan lembap. Tanah basah. Jalan becak, lopak-lopak dan jalur-jalur menakung air di sana sini. Kami sekeluarga singgah menziarah Wak Nah, seorang ibu tua yang tinggal bersendirian, berdekatan rumah kami. Sewaktu kami sampai, Wak Nah sedang duduk bersila, diam termenung di pintu rumahnya itu. Katanya, melihat-lihat orang-orang dan kenderaan yang lalu-lalang. Tapi kami faham, jauh di sudut hatinya dia sedang menunggu dan mengharap dalam senyap anak-anak dan cucunya muncul di halaman rumahnya itu.

Sehari sebelum itu, seperti tahun-tahun sebelumnya, tradisi punjung-memunjung mangkuk tingkat sesama saudara dan jiran. Emak tidak pernah lupa menghantar juadah untuk Wak Nah. Waktu kami sampai di rumah Wak Nah, dia sedang duduk bersila di pintu rumahnya itu. Bertemankan seekor ibu kucing dan dua ekor anak kucing yang masih kecil di sebelahnya.

"Tak payahlah susah-susah hantar rumah wak. Siapa yang nak makan nanti banyak-banyak di dapur tu...”, kata Wak Nah. Suaranya perlahan bernada sayu.

Di atas lantai dapur rumah Wak Nah yang beralas tikar mengkuang lusuh dan carik di bucunya itu, sebuah tudung saji plastik yang robek di sana-sini. Tersusun juadah yang dihantar jiran-jiran. Ada bekas terisi ketupat, piring terisi ayam masak merah, rendang daging, kuah kacang dan lodeh, juga mangkuk tingkat yang masih tertutup rapat. Semuanya nampak seperti belum tersentuh.

Biarpun tinggal bersendirian begitu Wak Nah masih menyediakan juadah untuk Hari Raya. Nasi himpit, lodeh dan ayam masak semur. Katanya, untuk menjamu anak-anak dan cucu-cucunya yang akan balik beraya. Dia juga menghantar juadahnya ke rumah kami. Seminggu sebelum itu - diceritakan oleh makcik kami, bibik Jah - Wak Nah telah menggadaikan satu-satunya rantai leher pusaka peninggalan arwah suaminya. Rantainya itu kebetulan pula sudah terputus kerana tersangkut pada hujung tukul besi semasa sedang memaku papan dinding rumahnya yang tertanggal beberapa hari sebelum itu. Agaknya duit itulah yang digunakan Wak Nah untuk belanja persiapan Hari Rayanya.

Petang itu Wak Nah menjamu kami dengan kerepek pisang, kerepek ubi dan dua tiga jenis biskut. Wak Nah diam bersila di satu pojok, memandang anak-anak buahku yang riuh dengan keletah mereka itu dengan pandangan yang sayu. Mungkin dia teringatkan cucu-cucunya. Sewaktu kumenyalami dan mencium tangannya memohon kemaafan, airmata Wak Nah menitis dan mengalir perlahan di pipinya. Pipinya tambah basah sewaktu adik-adikku menyalami tangannya. Linangan air matanya itu sudah cukup untuk menggambarkan kepiluan hatinya dan menceritakan remuk redam jiwanya kala itu. Ah! Suasana itu benar-benar mengundang rasa sebak yang amat di hatiku. Air mata siapa yang tidak akan tertumpah melihat kehibaan ibu tua itu.

Aidilfitri adalah hari kemenangan, hari untuk melahirkan rasa kesyukuran. Tapi bagi ibu terbuang seperti Wak Nah, Aidilfitri bagai tidak bermakna apa-apa agaknya. Keceriaan beraya bagai telah luput ditelan kedutan-kedutan duka di wajahnya itu. Gema takbir di malam raya cuma menggamit rasa sayu yang payah untuk diungkapkan dengan kata-kata. Sedang ibu-ibu lain bertemankan anak-anak dan cucu-cucu, Wak Nah bertemankan sepi dan airmata. Di saat anak-anaknya mungkin sedang keriangan, ibu tua itu ditinggal sepi keseorangan.

Hanya lewat petang Hari Raya pertama itu seorang anak perempuannya pulang ke kampung, tanpa semua cucu-cucunya ikut serta. Itupun cuma sekejap, tidak sempatpun untuk bermalam. Anak-anaknya yang lain langsung tiada khabar berita. Hairan juga kami. Kehidupan masing-masing senang. Masing-masing punya kereta. Menetappun bukanlah jauh sangat. Yang paling jauhpun di Melaka, itupun belum boleh dikira jauh lagi. Jalan Muar - Melaka sekarang cukup selesa, cuma lebih-kurang sejam sahaja perjalanan. Mustahil tidak punya kesempatan untuk menjengah ibu sendiri. Mengikut kata emak, kali terakhir dua anak lelaki Wak Nah termasuk yang sulung pulang ke kampung menjenguk ibu mereka adalah pada Hari Raya tahun lepas!

Hari Raya ketiga. Kami melalui jalan itu lagi. Kami melintasi lagi hadapan rumah papan usang itu. Daun pintu hadapannya nampak terkuak. Dan kelibat Wak Nah, masih lagi berseorangan, masih setia bersila di pinggir pintu rumahnya itu.

"Semua beraya dengan mentua dulu agaknya. Nanti-nanti baliklah tu agaknya" kata Wak Nah sewaktu emak bertanya tentang anak-anaknya. Tapi kami tahu, kata-kata Wak Nah itu hanya untuk memujuk rajuk hatinya sendiri.

Penghujung petang Hari Raya kelima. Sewaktu kumelalui jalan itu untuk kembali ke Kuala Lumpur, aku melintasi lagi hadapan rumah Wak Nah itu. Dari kejauhan, dalam samar-samar, kulihat kelibat ibu tua itu masih setia bersila di pintu itu. Keseorangan. Menghitung detik-detik sepi dan rindu.

Jalan yang kulalui itu masih basah, air yang tergenang di lopak-lopak dan jalur-jalur itu mula mengering. Jalan itu lebih beruntung, sekurang-kurang sentiasa berteman dan bila datang mentari, pasti basah itu mengering. Tapi bagi Wak Nah, entah sampai bila dia akan terus dihimpit sepi, entah bila pula air matanya akan berhenti tergenang dan berhenti dari mengalir lesu di jalur-jalur pipinya itu. Mungkin pipi Wak Nah akan terus dibasahi airmata. Di tepi pintu itu.

TTFN

[Kisah Wak Nah ini pernah kuceritakan dalam Cerita Sepiring Lauk Basi beberapa bulan yang lepas]

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 10/19/2007 05:07:00 PTG. |


48 Ulasan


Jumaat, Oktober 19, 2007 6:48:00 PTG, Blogger achik

alahai.. kenapalah buleh sampai hati macam tu sekali yea.. err tiap2 kali nak raya punya la banyak cite yg sedih2 yang ada unsur2 'menginsafkan' pun x terasa ke.. isk isk..

 

Jumaat, Oktober 19, 2007 7:12:00 PTG, Blogger Unknown

Salam,
Semalam saya terbahak2 ketawa membaca cerita minyak panas. Hari ini mata saya bergenang membaca cerita Wak Nah. Saya percaya orang2 Jawa ini prihatin, jadi saya harap tanpa anak2, jiran2 Wak Nah akan sentiasa mengawasi beliau.

 

Jumaat, Oktober 19, 2007 8:15:00 PTG, Blogger Iza'Izz

Cerita sayu di Aidilfitri..... anak2 itu akan tua juga suatu hari nanti (kalau sempat lahhh....) mereka akan paham bagaimana perasaan ibu mereka waktu itu.. tapi entah lah....

 

Jumaat, Oktober 19, 2007 8:53:00 PTG, Blogger Pa'chik

kalau jumpa basir ngan sekak tu, ko tolong jentikkan hidung mereka tu. Untuk aku. ye.

itu komen aku yang dulu.. dan masih lagi relevan..
tolong ya..

ini jawapan ko dulu;
Pa’chik,
Terima kasih Pakcik Pa’chik. :D
Kena tunggu hari raya nanti la baru dapat jentik... :)

 

Jumaat, Oktober 19, 2007 9:23:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

Argh!
anak-anak yang lupa diri.
dari mana dia datang.
cis! durhaka! menci!

mereka lupa.
dunia dan kehidupan ini saling berkait.
sekarang mereka buat pada bunda mereka.
kelak, terimalah kalau anak-anak mereka buat hal yang sama pada mereka.
dan jangan salahkan dan mengutuk-ngutuk anak-anak sendiri nanti.
kata durhaka dan tak sedar diri.
sedangkan semua tu akibat perbuatan sendiri.
Balasan tunai di dunia lagi...

Selamat Hari Raya.
Mudah-mudahan Wak Nah walau remuk rendam hatinya di dunia, insya-Allah berbahagia dan bergembira di sana nanti, amin..

 

Jumaat, Oktober 19, 2007 10:33:00 PTG, Blogger khairyn

err susah sangat ke nak jaga mak bapak? Bukan ramai pun. Satu je mak, satu je bapak. kalau salah seorang dah meninggal dunia, tinggal sorang jer. Betul tak paham. Sungguh!

Arwah nenek dulu pun garang gak tapi tengok mak layan, relax je. kalau merajuk pun ngan mak takkan la sampai sanggup biarkan orang tua tu macam tu. Yang busuk tu la besarkan dia dulu, rumah yang banyak nyamuk tu la yang lindungkan dia dari panas hujan. kalau tak tahan busuk, belikan sabun wangi, kalau tak nak duduk rumah banyak nyamuk, buatkan rumah baru. Susah ke?

Apa salah wak nah dgn anak2 dia tu? Ntah. Bab mak bapak ni memang sangat emosional bagiku. Dah la mak pak jauh aduhai!

 

Jumaat, Oktober 19, 2007 10:40:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

aduhai, bila la agaknyer anak² wak nah ni nk sedar? agaknyer tunggu diorang tu sama umo dgn wak nah dan bila semua anak² diorang tak datang menjenguk kot..

sayangilah ibubapa kita!

 

Sabtu, Oktober 20, 2007 1:20:00 PG, Blogger tokasid

Salam Wak pinter:

Sayu hati membaca kisah Wak Nah. Berat mata membaca berat lagi pilu hati Wak Nah.

Sampai hati anak2 perbuatkan Wak Nah begitu. Dah lah kali terakhir menjengah Wak Nah adalah Hari Raya tahun lalu!!Apa pun masaalah anak2 dgn Wak Nah, Wak Nah tetap ibu mereka. Malah Wak Nah seorang saja ibu mereka yg mengandungkan dan melahirkan mereka.

Tak kan mereka tidak tahu hadith Nabi s.a.w. yang menyuruh anak2 mentaati ibu tiga kali ganda sebelum ayah? Takkan mereka sejahil itu? Takkan mereka tak tahu keredhaan ALLAH kepada mereka amat bergantung kepada keredhaan ibu mereka?

Yang lebih memilukan kerana mereka bukan tinggal terlalu jauh dari Wak Nah. Dgn jalan baru dari Melaka-Bandar Muor hanya 30 minit sahaja.

Raya Wak Nah umpama inmate rumah kebajikan orang-orang tua sahaja tahun ini.

 

Sabtu, Oktober 20, 2007 11:44:00 PG, Blogger Sastri

Mengalir air mata ini mengenangkan Wak Nah... Mengapakah anak-anaknya sanggup memperlakukan dirinya sebegitu rupa... Takkan tiada seorang pun dari mereka ingat akan ibu tua di kampung tu... Saat kita bergembira, insan seperti Wak Nah, aduh... Anak-anak jenis apakah mereka itu? Ibu tua yang seorang tu pun tak mahu dijenguk...Sedangkan adalah tanggungjawab anak-anak untuk menjaga kedua orang tua, lebih-lebih lagi dalam keadaan mereka yang uzur... Jangan kelak bila sudah tiada, sesalan baru menjelma... Masa itu, tiada gunanya lagi...

 

Sabtu, Oktober 20, 2007 12:21:00 PTG, Blogger Unknown

sedih la BP....teringat kat kg, dekat rumah pun ada sorg, anak sorg tp tak amik tau psl mak bapak, mak dia dh meninggal thn lepas, tgl bapak jer. Mak kepada my fren la yang mengambil dorg yg dulu kat mana dok ntah, bat kan pondok untuk mak bapak dia stay yg kini, bapak jer yg tinggal..
syukur la, ahli keluarga sendiri blm lagikk yg ada cam tuh...

 

Sabtu, Oktober 20, 2007 5:28:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

achik,
Semoga akan tiba masanya nanti, sebelum terlambat, anak-anak Wak Nah itu itu sedar. Diberi petunjuk. Insaf. Bertaubat.


zura,
Waalaikumusalam.

Syukur. Setakat ini, Wak Nah tidak pernah sunyi dan terabai dari simpati jiran-jiran dan orang kampung yang perihatin. Tapi apa sekalipun, kasih-sayang dan perhatian dari anak-anaknya itu yang lebih dia perlukan saat-saat menghadapi hari tuanya.


iza,
Harap-harap anak-anaknya sempat sedar dan berubah. Besar dosanya nanti kalau tidak sempat memohon ampun sebelum ibunya pergi dijemput Tuhan.


Pa'chik,
Minta maaf banyak-banyaklah pa'chik. 'Kiriman jentik' itu tak dapat disampaikan sebab si Basir dan si Sekak itu tidak balik beraya di kampung. Jadi, tak dapatlah jumpa dan jentik hidung diaorang. Kena tunggu Hari Raya Aidiladha ataupun Hari Raya Aidilfitri tahun depanlah pulak nampaknya.


Akira,
Amin...Moga-moga.

Itulah. Entah di mana silapnya anak-anak -bukan anak-anak Wak Nah saja, bahkan anak-anak lain yang mengabaikan orang tua mereka - boleh menjadi sekejam itu. Semoga anak-anaknya itu diberi petunjuk dan cepat-cepat sedar, insaf dan mohon ampun pada ibu mereka.


Khairyn,
Entahlah. Entah di mana agaknya salah silapnya.

Kalau sudah betul-betul sibuk, dan tak punya kesempatan sekalipun, takkanlah sekejap pun tak boleh menjengok ibu sendiri. Hari Raya pula. Sekurang-kurangnya telefonlah bertanya khabar.

Memang hairan kan. Bagaimana boleh sampai hati mereka memperlakukan emak sendiri sampai begitu sekali...


Cikin,
Berat ujian yang dihadapi Wak Nah.

Moga-moga anaknya itu sempat sedar dan berubah sebelum terlambat.


Tokasid,
Waalaikumussalam doc,

Kami berjiran dengan Wak Nah. Liku-liku hidupnya saya ikuti sejak saya kecil lagi. Memang sedih terutama selepas suaminya meninggal dunia. Sudahlah tua, sakit-sakit, sebatang kara pula.

Pokok pangkalnya pada hati dan iman juga doc. Sejahat-jahat manusia sekalipun, saya rasa kalau masih ada iman di dadanya, tidak akan tergamak membiarkan ibubapa sendiri terabai, sebatang kara begitu.

Jangan sampai nanti, ibu tidak mengaku mempunyai anak. Amat besar nanti kutukan dan hukuman dari Tuhan.

[saya berkata secara am, bukan ditujukan kepada sesiapa, bahkan mengingatkan diri sendiri]


Sas,
InsyaAllah, nanti bila ada kesempatan, u akan menemui dan dapat melihat sendiri penderitaan yang ditanggung Wak Nah itu. Kasihan sungguh keadaannya.

Moga-moga anak-anaknya itu akan cepat-cepat sedar dan insaf sebelum terlambat.


anielza,
Sama-samalah kita ambil iktibar dari kisah Wak Nah ini. Kita pun punya ibubapa dan suatu hari nanti kita juga akan menjadi ibubapa dan akan tua.

 

Sabtu, Oktober 20, 2007 11:06:00 PTG, Blogger kingbinjai

dude, SLaukewaktu tu apa?

 

Ahad, Oktober 21, 2007 3:44:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

salam singgah.
sama soalan saya dengan encik kingbinjai. bahasa jawa eh?
mudah2an kita sebagai anak, tidak tergolong dalam golongan yang tak best itu. aminn ya RABB al'lamiin. uhuk uhuk uhuk uhuk uhuk uhuk uhuk uhuk uhuk uhuk uhuk uhuk uhuk uhuk

 

Ahad, Oktober 21, 2007 10:05:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama

kenapa selalu time2 raye mesti ade cerita sedey? huhu...
selamat hari raya my fren!

 

Isnin, Oktober 22, 2007 1:23:00 PG, Blogger zino

salam aidil fitri..
kesian wak nah.. dimana keluarga nya? kenapa tak ada sorang pun yg menjengok..??

 

Isnin, Oktober 22, 2007 9:46:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

begitulah bila sudah di lupakan. kasihan juga simpati.

mudah2an kita tidak memperlakukan ibubapa kita sebegitu. mudah2an juga kita di kurniakan Allah keinsafan & kasih sayang yang melimpahruah.

mudah2an juga anak2 wak Nah mendapat kesedaran sebelum terlambat.

waras yo :)

 

Isnin, Oktober 22, 2007 10:42:00 PG, Blogger sitinurulhawa

anak..anak.. apalah dikejar sangat harta dunia ni, bukan boleh bawa mati pun. kasih ibulah membawa ke syurga.

 

Isnin, Oktober 22, 2007 11:18:00 PG, Blogger KAMATO

Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin

 

Isnin, Oktober 22, 2007 11:50:00 PG, Blogger DeeN

oh, si Basir ngan Sekak tuh ker. Hmm.. mungkin mertua diorang kaya raya kot. Nanti suruh la diorang tengok drama Rashid Sibir tuh. Kat tivi berbayar tuh hari-hari dok ulang citer unsur2 pengajaran begitu. Diorang musti tak tengok tuh.

 

Isnin, Oktober 22, 2007 11:53:00 PG, Blogger muor76

bebudak cam nih nak kene tampor laju laju... perangai yg pengor dan kenyor cam nih ler yg boleh membuatkan aku menyirap sirap bile dengor.. badigol betul.. patut kene hagol kepale sengsorang kat dinding..
rase cam nak getol jerk anak yg tak ingat kat mak bapak..
sipot sedot tol.. cam siott jerk
diorang tak pikir ker.. kalo dorang buat maka bapak camtu tak mustahil satu hari dorang kene..
memintak ler dorang sedor dan taubat nasuhah.. sekolah tinggi bertingkat-tingkat.. akal setingkat..

 

Isnin, Oktober 22, 2007 12:19:00 PTG, Blogger NJ@Goboklama

besar manalah kesalahan ibu bapa diperlakukan sebegitu, besar lagi kesalahan anak2 yg melukai hati ibu bapa mrk... Qisst sayu mmbaca cerita BP trkenangkn ibu jika anak2 mmperlakukannya begitu.... InsyaAllah tidak......

 

Isnin, Oktober 22, 2007 12:24:00 PTG, Blogger arsaili

moga kita tidak menjadi anak yg derhaka...sementara mereka masih ada, sayangi la mereka seperti mereka membesarkan kita....

 

Isnin, Oktober 22, 2007 1:39:00 PTG, Blogger NBK466

Cite2 cam nie yg bisa mengundang air mata den dihari raya begini. Moga2 terbuka hati anak2 beliau pulang beraya sementara belum terlewat...sementara hayat beliau masih ada..

 

Isnin, Oktober 22, 2007 2:35:00 PTG, Blogger Orked

saya berdoa, diri tidak senasib Wak Nah..moga anak2 sy tidak begitu.

 

Isnin, Oktober 22, 2007 3:07:00 PTG, Blogger Pegawai Khalwat

Kalau yang perempuan tak balik raya pertama tu, aku taklah heran sangat sebab mungkin mengikut suami.

Tapi yang jantan ni!

 

Isnin, Oktober 22, 2007 4:38:00 PTG, Blogger Rush Murad

Apalah dosa atau salah Wak Nah sehingga anak-anak berperangai sebegitu?? tak der perasaan ke anak2 dia? aku habis fikir ler kalau anak2 buat orangtua dia macam ni.... mungkin juga Wak Nah lebih bahagia tinggal sendirian daripada tinggal dengan anak2 dan menantu2 yg belum tentu dapat bahagiakan dia, silap haribulan depa buat Wak Nah macam orang gaji, dera etc.... ek?

 

Isnin, Oktober 22, 2007 11:17:00 PTG, Blogger Butaseni@Wan Raja

aduh brader,sedih gila aku.aku takkan biarkan mak aku sedih mcm tu.silap aku baca kat ofis tadi,meleleh air mata aku.kantoi dgn boss aku huhuhu

 

Selasa, Oktober 23, 2007 10:04:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

Kirim salam mbah tu. Cakap kat dia phuying boleh jadi cucu angkat dia. Sekurang-kurangnya boleh belajar masak semur.

Salam Idul Fitr.

 

Selasa, Oktober 23, 2007 10:53:00 PG, Blogger blackpurple @ jowopinter

kingbinjai
Tersasullah king. Tahniah kerana kau nampak. Dan terima kasih kerana menegur ‘ketersasulan’ itu. Sudahpun diperbetulkan. :D


eisraa,
Salam kembali,

Maaflah, jejari ‘tersasul’. Banyak sangat makan ketupat dan rempeyek agaknya. :D

Mudah-mudahan begitulah. Amin.


kamarul,
Supaya kita tidak lekas lupa. Dalam kita gembira, ada insan yang sedang bersedih.

Salam lebaran juga untuk kau sekeluarga.


zino,
Salam aidilfitri kembali,

Soalan itu cuma anak-anak wak Nah yang dapat menjawap agaknya.


ayu mkay,
Begitulah. Semoga anak-anaknya cepat-cepat sedar dan insaf. Nanti kalau sudah terlambat, menyesal pun dah tak ada ertinya lagi.

Alhamdulillah, waras. :D


sitinurulhawa,
Itulah dia. Hidup tak akan berkat kalau tak mendapat restu seorang ibu.


kamato,
Salam aidilfitri juga. Maaf zahir & batin.


nur@,
Kalau mentua Perdana Menteri sekalipun, ibu kandung tetap ibu kandung.

Diaorang tak tengok drama Melayu kot….Mungkin diaorang cuma tengok telenovela Sepanyol atau drama Korea….


muor76,
Selamat Hari Raya Muor…. Kenapa tak singgah rumah hari itu..? He he he.

Itulah dia. Rasa macam nak jotos kepala sorang-sorang. Kalaulah Hari Raya hari itu aku dapat berjumpa dengan anaknya yang paling bongsu itu [muda lima tahun dari aku], nak juga aku ‘bahasa’kan cuku-cukup. Dahlah tak pernah balik kampung, Hari Raya setahun sekalipun tak boleh nak balik jumpa emak sendiri juga, memang melampaulah. Bukan tinggal di luar negarapun.

Hairan ekk, apa punya jenis spesis anak kalau macam itu.


Qistina,
Agaknya mereka lupa, kalau tak ada ibu meraka, mereka pun tak akan ada di dunia ini…….

Semoga Tuhan memberi petunjuk kepada anak-anaknya untuk sedar dan berubah sebelum terlewat.

 

Selasa, Oktober 23, 2007 11:50:00 PG, Blogger blackpurple @ jowopinter

arsaili,
Amin.
Betul. Sementara emak abah masih adalah inilah masa untuk kita berbakti. Nanti bila dah tiada nak menyesal pun dah tak ada gunanya lagi…


NBK,
Harap-harapnya begitulah jang. Sekurang-kurangnya terubat juga penantian wak Nah itu.

[Setakat hari ini - sewaktu jawapan komen ini ditulis - anak-anaknya yang lain itu masih belum nampak lagi bayangnya]


Jie,
Sama-sama kita mendoa dan mengharapkan yang baik-baik untuk emak ayah kita, semoga nanti anak-anak akan mendoakan yang baik-baik juga untuk kita... InsyaAllah…
Pegawai,
Yang lebih hairan, kampung bini jauh di pantai timur boleh pula balik setiap tahun! Balik kampung suami di utara boleh pula sampai seminggu! Emak sendiri seolah-olah macam tak wujud….


Rush,
Entahlah Rush. Tapi apalah sangat silap seorang ibu kepada anak berbanding pengorbanan seorang yang ibu membesarkan anak sejak dari kecil dulu.

Ha’ah. Mungkin juga. Sebab semasa anak bongsunya itu tinggal bersama dulupun, selalu diherdik, disindir-sindir. Duduk serumah tapi masak asing-asing. Isk!


lind,
Harap-harap kita tidak begitu....


Butaseni,
Semoga kita diberi petunjuk untuk terus menyayangi dan mengasihi emak abah kita. Begitu juga anak-anak kita nanti.

Itulah. Berat mata kita memandang, berat lagi jiwa wak Nah itu menanggungnya......


Phu Ying,
InsyaAllah. Ayam masak semur wak Nah memang sedap. Lagi-lagi ayam kampung. Kicap, bumbu dan rempahnya cukup segala...

Salam Idul Fitri juga.

 

Selasa, Oktober 23, 2007 1:22:00 PTG, Blogger zabs

Salam BP,
Terlewat membaca enti ini. Sungguh terharu saya membaca cerita Wak Nah ini, walaupun pernah membaca tentang beliau dalam entri anda yang terdahulu. Ingatkan dalam drama sahaja, ada perkara2 begini berlaku, tetapi hakikatnya, memang benar2 ada berlaku. Semoga Allah membukakan hati anak2 Wak Nah supaya berubah, dan tidak terlambat untuk memohon keampunan dari Ibu mereka. Dan marilah juga, kita berdoa supaya kita dan anak2 kita, dijauhkan dari sifat-sifat yang tidak baik ini. InsyaAllah.

 

Selasa, Oktober 23, 2007 1:29:00 PTG, Blogger Unknown

wak bp, tersayu pulak baca entry kali nih...apa kata next time kita panggil kwn2 reramai wat gathering kat umah wak nah ni..gembirakan hati dia..

kesian kan org tua y d tinggalkan anak isk.. :(

 

Selasa, Oktober 23, 2007 1:58:00 PTG, Blogger tulip

sedihnya baca..
kenapa la ada lg anak2 yg macm tu eh..
saya ni kalau bole setiap hr ni nak balik umah mak. tak nak raya umah lain.. sib baik dah kawin, kena la berkorban sikit. hehe..

 

Selasa, Oktober 23, 2007 5:03:00 PTG, Blogger Mak Su

kesian dia.. awakler kunjungi dia selalu ek, setiap kali balik kampung.. sebagai jiran

 

Selasa, Oktober 23, 2007 5:55:00 PTG, Blogger ManjLara

saya dah agak, ini tentu wak nah yg sama dlm kisah sepiring lauk basi tu..

sedih, apa agaknya kesilapan wak nah pada anak-anaknya, atau pada org tuanya dulu mungkin?

apa pun, segala yg dihikayatkan ini tentu ada hikmahnya. mujurlah wak nah tinggal berjiran dgn keluarga awak, dan tentunya dengan jiran yg semuanya baik2 dan perihatin belaka.

 

Selasa, Oktober 23, 2007 6:29:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

Tuan Zabs,
Waalaikumussalam tuan,

Amin. Begitulah harapan kita, semoga anak-anaknya itu diberi petunjuk agar sedar kesilapan masing-masing sebelum terlewat. Semoga kita juga sama-sama ditetapkan iman dan tidak cepat lupa, dan tidak sampai mengabaikan emak dan ayah sendiri. Begitu juga generasi kita nanti.

'Syurga terletak di bawah kaki ibu'. Berat dosanya mengabaikan apatah lagi kalau sampai menderhakai ibu sendiri.


Amora,
Itulah dia kan. Kasihan, begitu juga nasib ibu-ibu tua lain yang senasib wak Nah yang tinggal di rumah-rumah orang tua itu.


Tulip,
Alhamdulillah, bertuah emak kamu.....

Tapi hairan, bagaimana boleh ada anak sendiri yang tergamak mengabaikan emak ayah sendiri ...?!


mak su,
Alhamdulillah, Jiran-jiran wak Nah ramai yang ambil berat dan simpati. Tapi manakan sama kasih-sayang dari anak sendiri.. Kan?


manjlara,
Saya harap ini adalah cerita terakhir tentang kedukaan wak Nah. Akan datang cerita tentang kegembiraan dia pula.

Apapun salah dan dosa wak Nah itu [kalau ada], kita mengharapkan semoga Tuhan memberi petunjuk kepada anak-anaknya supaya nanti sedar dan berubah. Kita doakanlah yang baik-baik sahaja.

 

Rabu, Oktober 24, 2007 7:54:00 PG, Blogger Mummy Rizq

kesian wak nah.. kenapa lah sampai hati anak anak dia wat dia cam tu kan. tu lah generasi sekarang ni dah tak tau nak mengenang jasa ibu bapa. tapi bukan semua la... betul tak?

 

Rabu, Oktober 24, 2007 8:47:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

Tengok Wak Nah teringat nenek aku kat kampung. Kesian sorang-sorang. Sedih gua, bro!

 

Rabu, Oktober 24, 2007 9:18:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

sadis...

 

Rabu, Oktober 24, 2007 9:35:00 PG, Anonymous Tanpa Nama

dah jadi trend sekarang agaknya anak-anak melupakan orang tua kat kampung. semoga itu tidak terjadi kepada saya dan kita semua.

 

Rabu, Oktober 24, 2007 10:00:00 PG, Blogger zwitterion

dah la tak melawat pun mak yg sorang tu pada hari2 biasa, kot2 la hari raya teringat...

 

Rabu, Oktober 24, 2007 10:29:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

mummy rizq,
Betul, bukan semua anak-anak begitu. Semoga anak-anak wak Nah itu akan sedar kesilapan masing-masing nanti. Sebelum terlewat.


azzam supardi,
Kasihan kalau ibu tua dibiarkan seorang, sebatang kara seperti wak Nah itu kan......


mudin,
Dan zalim...!


Dr. nbb,
Mungkin tak semua anak-anak moden begitu. Segelintar mungkin. Semoga kita sama-sama sentiasa beringat dan mengambil iktibar.


zwit,
Itulah. Entah! Hairan dan pelik kalau difikir-fikirkan.

 

Jumaat, Oktober 26, 2007 11:09:00 PG, Blogger JBM8141

Allah, teringat aku isu terbaru dalam mastika bulan ni...

 

Jumaat, Oktober 26, 2007 12:39:00 PTG, Blogger blackpurple @ jowopinter

JBM,
Pasal orang tua yang terabai juga ke?

 

Ahad, November 04, 2007 2:31:00 PG, Blogger nor~

hmm..sampainya lar hati anak2 dia buat emak diorg camni..

 

Ahad, Disember 30, 2007 2:43:00 PG, Blogger fajar

entri ini betul2 menyentuh jiwa rasa saya yang terdalam. terima kasih kerana berkongsi. mengingatkan saya untuk lebih menghargai.

salam

 

Ahad, Disember 30, 2007 2:43:00 PG, Blogger fajar

entri ini betul2 menyentuh jiwa rasa saya yang terdalam. terima kasih kerana berkongsi. mengingatkan saya untuk lebih menghargai.

salam