Kali ini entry aku agak panjang dan berlainan sedikit. Aku memang dah lama berhajat untuk membuat satu tribute buat Arwah atuk. Atuk sebelah abah. Alhamdulillah, hari ini baru berkesempatan.
Tahun ini genaplah sepuluh tahun atuk meninggal dunia. Dulu sebelum melanjutkan pelajaran aku tinggal bersama atuk, jadi aku memang cukup rapat dengan atuk. Aku tak pasti berapa umur sebenar atuk semasa dia meninggal dunia sebab tarikh lahirnya tak dinyatakan dengan jelas dalam surat beranak Tanah Melayu. Atuk dilahirkan di Kebumen, Jawa Barat dan berhijrah ke Tanah Melayu dengan beberapa orang kawan sekampungnya semasa berumur dalam dua puluhan, agaknya sekitar 1920-30an dulu. Sesampainya di sini, Atuk dan kawan-kawannya meneroka hutan dan membuka perkampungan baru di satu daerah di Muor.
Semasa meninggal, atuk meninggalkan banyak juga tanah kebun. Rumah peninggalan atuk pun agak unik. Rumah melayu tradisional yang dibuat tak menggunakan sebatang pun paku, malah semua kayu, tiang dan papan rumah pun di potong sendiri tak menggunakan sebarang mesin. Rumah itu kemudiannya diwariskan kepada emak dan abah aku. Walaupun dah ada pengubahsuaian di sana sini tapi rumah induk tetap kekal hingga ke hari ini.
Macam orang-orang Jawa yang lain, atuk memang seorang yang rajin dan kuat berkerja. Setiap hari, pagi sampai petang dikebunlah tempatnya. Atuk juga seorang yang berpegang kuat pada agama. Setiap pagi, petang dan malam dia akan mengaji AlQuran dan membaca kitab-kitab jawanya. Selain menjadi imam kampung, atuk juga menjadi pakar rujuk. Semasa aku budak-budak dulu, pernah juga aku terdengar atuk bercerita pasal Wali Songo, Sunan Kalijaga, Sheikh Abd Kadir Jailani dan macam-macam lagi…. Masa itu manalah aku faham….. Selain dari itu atuk banyak juga pantang larangnya. Dia berpegang pada Primbon Jawa rasanya. Semuanya nak mengikut adat jawa.
Atuk juga cukup istimewa di kalangan anak-anak, menantu-menantu, cucu-cucu, cicit-cicitnya. (satu dua cucu atuk iaitu sepupu aku, semasa itu pun dah ada yang bercucu..!, aku masih budak-budak lagi…) Di rumah pun atuk mendapat layanan yang istimewa. Atuk ada port sendiri di ruang tamu. Siap ada meja dan kerusi malas sekali. Tidur pulak di ranjang besi antik. Sarapan paginya pun emak hantar. Nak makan apapun emak akan sediakan. Makan pun kena tunggu atuk ada. Selagi atuk belum balik dari kebun ataupun tak siap solat kami semua tak boleh makan. Begitulah istimewanya atuk.
Semasa budak-budak, aku tak nafikan aku memang cukup nakal. Pernah melawan cakap atuk, pernah mencuri syiling yang atuk simpan di dalam tin di dalam gerobok, tapi aku cukup sayangkan atuk dan aku tau atuk sayangkan aku. Semasa aku di darjah enam, atuk masukkan semua syiling simpanannya di dalam tin yang rupanya berjumlah ratusan ringgit itu ke dalam akaun aku. Atuk juga yang membelikan aku basikal untuk ke sekolah. Aku berbangga bila atuk bercerita pada orang semasa aku berjaya masuk ke matrikulasi si salah satu U dulu. Walaupun aku tak sealim dia, jauh sangat, sekurang-kurangnya aku sampai juga ke darjah khas sek. agama kerajaan Johor.
Banyak kenangan pahit dan manis bersama atuk. Semasa dia meninggal dulu aku memang rasa kehilangan dia sangat-sangat. Masih teringat-ingat lagi antara pesan atuk; bila dah habis belajar nanti jadilah DO (aku tak dapat penuhi sebab aku tak minat kerja kerajaan), bila beli kereta belilah yang warna putih (pun tak dapat aku penuhi, kereta pertama aku merah hati, sekarang ungu..!), kalau kahwin pulak carilah orang di sebelah selatan, dan banyak lagi pesannya. Tapi atuk tak sempat melihat aku berjaya, tak sempat melihat aku berkereta, tak sempat melihat aku berumahtangga .
Di saat-saat akhir jasadnya masih ada, aku bersyukur kerana sempat sama-sama menguruskan jenazahnya, memandikannya sampailah meletakkan jenazahnya di liang lahat. Entah dari mana datangnya kekuatan aku masa itu sebab aku masih terlalu muda masa itu. Mereka memilih aku walaupun ada ramai lagi pakcik-pakcik dan sepupu-sepupu aku yang lebih senior. Agaknya sebab aku rapat dengan atuk. Kalau adapun yang membuat aku terkilan, mungkin kerana aku tak sempat melihat atuk di saat-saat akhir hayatnya sebab aku dahpun berada di KL. Kali terakhir aku melihat dia lebihkurang 2-3 minggu sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia meminta aku mencukurkan rambutnya hingga botak. Waktu itu atuk dahpun terlantar lemah tapi dia masih boleh bangun dan masih boleh bercakap walaupun dengan suara yang tersekat-sekat. Sebelum balik aku sempat mencium tangannya. Atuk masih mampu tersenyum tapi matanya nampak berkaca. Senyuman terakhir atuk yang aku lihat.
Atuk dah lama tiada tapi kenangan bersama atuk tetap segar diingatan. Aku berbangga menjadi cucu atuk. Al Fatihah.
TTFN
Label: Aku, Atok, Retrospektif