Jumaat, Oktober 24, 2008
I
Beberapa malam ini.

Saya tidur bersarungkan kain pelikat peninggalan arwah atok. Selain kenangan manis dan indah bersama atok, kain pelikat itulah satu-satunya peninggalan arwah atok untuk saya, yang saya bawa ke kota penuh dusta ini.

Saya mengharap sangat atok bertandang ke dalam mimpi saya, malam kelmarin, malam tadi dan malam-malam akan datang. Menemani saya, membacakan saya kitab-kitab klasik jawanya, bercerita susah-payahnya dia memugar hutan membuka kampung dahulu, membuatkan saya raket badminton dari papan, menemani saya memberi makan ayam di tepi tingkap, atau meminta saya mencukur rambutnya sampai botak, seperti dulu-dulu.

Dan beberapa malam ini juga, dua tiga kali saya terjaga dari tidur, teringatkan atok. Malam terasa kosong, sunyi, hambar.

Saya rindukan atok, sangat-sangat.

Semoga roh almarhum atok sentiasa dicucuri rahmat-Nya di alam sana.



II
Saya sudah membaca ulasan kamu di cerita bukan bukan-bukan saya, saya tahu kamu berfikir yang bukan-bukan. Saya sengaja menulis yang bukan-bukan, untuk bercerita yang bukan bukan-bukan. Agaknya, saya sengaja menjentik fikiran kamu supaya berfikir yang bukan-bukan. Ah! Bukan-bukan sungguh saya, kan?

Dua cerita yang terakhir itu tentang keterujaan saya dalam memilih kerjaya dan masa-depan saya. Saya sudah letih dengan kepenatan. Dan saya tak ingin terus kepenatan. Pun begitu, saya masih beristikharah. Saya belum berhenti mencari petunjuk dari Tuhan, sehingga saya menemui jawapan yang terbaik dari-Nya.

Kalau pun ada maksud lain yang tersirat di dalam cerita-cerita saya itu, agaknya, mungkin cuma saya dan Dia yang tahu.


III
Al-Fatehah buat Allahyarham Samad Lefthanded. Tiada lagi kidungmu.


TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 10/24/2008 12:27:00 PTG. | 29 Ulasan
Jumaat, April 20, 2007
Nostalgia. Almarhum atok sedang bertemankan cangkul dan ayam jagonya.

Selain masa berjaga atok diisi dengan mengaji Al-Quran dan bersunyi-sunyian menelaah kitab-kitab agama berbahasa Jawa klasik, bermesra dengan tanah yang dipugarnya berpuluh tahun dulu itu juga adalah dunianya yang paling karib.

Titik keringat dan hanyunan tajak, cangkul dan parangnya itulah yang menghijaukan kebun itu dengan pokok buah-buahan juga deretan pokok nanas, ubi kayu, keladi, keledek, ‘wiwi’ dan pelbagai lagi.

“Kok kembang seng ditanduri. Kan apik nandur lombok rawit, pisang, katis…. Keneng dipangan.,.”** kata atok bila emak mencuri-curi menghias halaman tepi rumah atok dengan pokok puding dan bunga siantan. Emak akan diam, tersipu-sipu malu.

Itu dulu-dulu, semasa atok masih ada. Hari ini, atok tidak sempat melihat cucunya ini juga rupanya mewarisi bakat emak yang sentiasa mesra dengan kehijauan dan warna-warni flora itu. Bezanya, kalau dulu-dulu emak menyusunatur pokok bunga seringkas dan seselesanya, kini aku tidak boleh begitu. Harus berjiwa, berkonsep, bertema dan seceria rekabentuk dan lakaran perspektifnya. Harus bernyawa, berfungsi dan harmoni lembut dan kejurnya.

Kalaulah hari ini atok masih ada lagi, aku akan pimpin tangan atok menyusuri taman-taman dan seni rupabumi yang telah kami reka dan bina di sekitar Putrajaya, KL, Cyberjaya dan merata tempat lagi itu. Aku juga ingin ceritakan pada atok, pokok puding yang emak tanam itu kami panggil Codieum variegatum dan bunga siantan itu pula Ixora sunkist. “Patang taun arek ngapal kuwi tok…” ***. Aku terbayang-bayang wajah redup atok tersenyum bangga.


** “Bunga juga yang ditanamnya. Kan bagus kalau tanam pokok cili, pisang, betik... Boleh dimakan..”

*** “Empat tahun nak menghafalnya tu tok…”


TTFN

Label: ,

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 4/20/2007 10:57:00 PG. | 46 Ulasan
Isnin, Mac 26, 2007
Dulu dulu. Atok kepingin ke pasar lambak. Kalau ingin pergi sendiri memang tidak akan terpergilah dia. Kampung itu sungguh tidak cekap sistem pengangkutan awamnya. Bas awam belum ada lagi. Teksi jangan mimpilah. Tapi atok manalah faham. Bas berwarna kuning dan biru yang lalu itupun kalau boleh mahu ditahannya juga. Mana mahunya berhenti. Kereta ‘perebet sapu’ pun tidak boleh diharap sangat. Lalunya tidak menentu. Kalau bernasib baik adalah, itupun terpaksa bersendat-sendat.

Sudahnya atok akan mengajak cucunya ini juga. Jalan benteng berhabuk berlekuk-lekuk itulah satu-satunya jalan yang menghalalkan aku ‘merempit’ C70 kelabu abah itu tanpa perlu berlesen dan bertopi keledar. Atok kalau membonceng motorsikal, tangannya akan memegang erat besi di belakang tempat duduk itu. Badan kudut atok akan mengeras tegak. Bila aku membuat corner baring olok-olok pun badan atok masih mengeras tegak. Sungguh ‘gonjol’ aku waktu itu. Motorsikal itu bergetar kasar bila dipandu pada kelajuan tidak munasabah. Bila sesekali terlanggar lubang badan atok akan terlambung-lambung tapi tangannya masih memegang erat besi itu dan badannya masih tetap mengeras tegak juga.

Di pasar lambak itu atok akan berjalan dari pangkal ke hujung dan patah balik dari hujung ke pangkal, yang dibelinya mungkin cuma daun rokok, tembakau, cengkih atau minyak Geliga. Mungkin pasar lambak itu tempat hiburan bagi atok. Saban hari menghayun tajak dan parang pun agaknya boleh stress juga.

“Atok, kalaulah hari ini atok masih ada lagi, atok tak perlu membonceng dan memegang erat besi di belakang tempat duduk motorsikal antik abah itu lagi tok. Atok tak perlu mengeras dan menegakkan badan lagi. Badan atok tak akan terlambung-lambung lagi. Atok boleh duduk senyap-senyap, diam-diam bersandar di sebelah. Tapi sayangnya atok tidak sempat…”

Semoga roh almarhum atok sentiasa dicucuri rahmat.
.
Motorsikal antik itu elok lagi. Sejak abah meletakkan jawatannya sebagai seorang penoreh, besi di belakang tempat duduk itu sudah ditanggalkan. Nampak lebih sporty. Rimnya berkilat boleh menyuluh gigi. Sorry, not for sale !

Sekarang jalan benteng sudah bertar. Habuk-habuk dan lekuk-lekuknya sudah jadi sejarah.


TTFN

Label: ,

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/26/2007 06:27:00 PTG. | 56 Ulasan
Khamis, April 13, 2006

Kali ini entry aku agak panjang dan berlainan sedikit. Aku memang dah lama berhajat untuk membuat satu tribute buat Arwah atuk. Atuk sebelah abah. Alhamdulillah, hari ini baru berkesempatan.

Tahun ini genaplah sepuluh tahun atuk meninggal dunia. Dulu sebelum melanjutkan pelajaran aku tinggal bersama atuk, jadi aku memang cukup rapat dengan atuk. Aku tak pasti berapa umur sebenar atuk semasa dia meninggal dunia sebab tarikh lahirnya tak dinyatakan dengan jelas dalam surat beranak Tanah Melayu. Atuk dilahirkan di Kebumen, Jawa Barat dan berhijrah ke Tanah Melayu dengan beberapa orang kawan sekampungnya semasa berumur dalam dua puluhan, agaknya sekitar 1920-30an dulu. Sesampainya di sini, Atuk dan kawan-kawannya meneroka hutan dan membuka perkampungan baru di satu daerah di Muor.

Semasa meninggal, atuk meninggalkan banyak juga tanah kebun. Rumah peninggalan atuk pun agak unik. Rumah melayu tradisional yang dibuat tak menggunakan sebatang pun paku, malah semua kayu, tiang dan papan rumah pun di potong sendiri tak menggunakan sebarang mesin. Rumah itu kemudiannya diwariskan kepada emak dan abah aku. Walaupun dah ada pengubahsuaian di sana sini tapi rumah induk tetap kekal hingga ke hari ini.

Macam orang-orang Jawa yang lain, atuk memang seorang yang rajin dan kuat berkerja. Setiap hari, pagi sampai petang dikebunlah tempatnya. Atuk juga seorang yang berpegang kuat pada agama. Setiap pagi, petang dan malam dia akan mengaji AlQuran dan membaca kitab-kitab jawanya. Selain menjadi imam kampung, atuk juga menjadi pakar rujuk. Semasa aku budak-budak dulu, pernah juga aku terdengar atuk bercerita pasal Wali Songo, Sunan Kalijaga, Sheikh Abd Kadir Jailani dan macam-macam lagi…. Masa itu manalah aku faham….. Selain dari itu atuk banyak juga pantang larangnya. Dia berpegang pada Primbon Jawa rasanya. Semuanya nak mengikut adat jawa.

Atuk juga cukup istimewa di kalangan anak-anak, menantu-menantu, cucu-cucu, cicit-cicitnya. (satu dua cucu atuk iaitu sepupu aku, semasa itu pun dah ada yang bercucu..!, aku masih budak-budak lagi…) Di rumah pun atuk mendapat layanan yang istimewa. Atuk ada port sendiri di ruang tamu. Siap ada meja dan kerusi malas sekali. Tidur pulak di ranjang besi antik. Sarapan paginya pun emak hantar. Nak makan apapun emak akan sediakan. Makan pun kena tunggu atuk ada. Selagi atuk belum balik dari kebun ataupun tak siap solat kami semua tak boleh makan. Begitulah istimewanya atuk.

Semasa budak-budak, aku tak nafikan aku memang cukup nakal. Pernah melawan cakap atuk, pernah mencuri syiling yang atuk simpan di dalam tin di dalam gerobok, tapi aku cukup sayangkan atuk dan aku tau atuk sayangkan aku. Semasa aku di darjah enam, atuk masukkan semua syiling simpanannya di dalam tin yang rupanya berjumlah ratusan ringgit itu ke dalam akaun aku. Atuk juga yang membelikan aku basikal untuk ke sekolah. Aku berbangga bila atuk bercerita pada orang semasa aku berjaya masuk ke matrikulasi si salah satu U dulu. Walaupun aku tak sealim dia, jauh sangat, sekurang-kurangnya aku sampai juga ke darjah khas sek. agama kerajaan Johor.

Banyak kenangan pahit dan manis bersama atuk. Semasa dia meninggal dulu aku memang rasa kehilangan dia sangat-sangat. Masih teringat-ingat lagi antara pesan atuk; bila dah habis belajar nanti jadilah DO (aku tak dapat penuhi sebab aku tak minat kerja kerajaan), bila beli kereta belilah yang warna putih (pun tak dapat aku penuhi, kereta pertama aku merah hati, sekarang ungu..!), kalau kahwin pulak carilah orang di sebelah selatan, dan banyak lagi pesannya. Tapi atuk tak sempat melihat aku berjaya, tak sempat melihat aku berkereta, tak sempat melihat aku berumahtangga .

Di saat-saat akhir jasadnya masih ada, aku bersyukur kerana sempat sama-sama menguruskan jenazahnya, memandikannya sampailah meletakkan jenazahnya di liang lahat. Entah dari mana datangnya kekuatan aku masa itu sebab aku masih terlalu muda masa itu. Mereka memilih aku walaupun ada ramai lagi pakcik-pakcik dan sepupu-sepupu aku yang lebih senior. Agaknya sebab aku rapat dengan atuk. Kalau adapun yang membuat aku terkilan, mungkin kerana aku tak sempat melihat atuk di saat-saat akhir hayatnya sebab aku dahpun berada di KL. Kali terakhir aku melihat dia lebihkurang 2-3 minggu sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia meminta aku mencukurkan rambutnya hingga botak. Waktu itu atuk dahpun terlantar lemah tapi dia masih boleh bangun dan masih boleh bercakap walaupun dengan suara yang tersekat-sekat. Sebelum balik aku sempat mencium tangannya. Atuk masih mampu tersenyum tapi matanya nampak berkaca. Senyuman terakhir atuk yang aku lihat.

Atuk dah lama tiada tapi kenangan bersama atuk tetap segar diingatan. Aku berbangga menjadi cucu atuk. Al Fatihah.


TTFN

Label: , ,

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 4/13/2006 06:00:00 PTG. | 36 Ulasan