Ahad, Mac 29, 2009

“Isk! Terperanjat betul I!”

“Kenapa?”

“Ingatkan jari siapa tadi, rupanya jari I...”

“Eleh! Sudahlah!”

Orang kata, tengok jari pun boleh bikin orang jatuh cinta. Itu orang katalah. Bukan saya kata.

Hahaha!



TTFN

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/29/2009 04:27:00 PTG. | 37 Ulasan
Sabtu, Mac 21, 2009
Minggu lepas. Sepanjang saya menyempurnakan tugasan saya di Hujung Madini, saya menumpang di rumah sahabat baik saya. Djalut Bagaskara namanya.

Episod I
Sahabat saya ini tak suka menggosok baju kemeja. Malas dan leceh katanya. Tapi masih mahu nampak smart dan bergaya.

Hari itu dia mencapai seterika. Tapi sekejap betul dia menggosok kemejanya. Kagum juga saya dengan kepantasannya menggosok baju itu.

"Aku gosok sebelah depan jer. Sebelah belakang tak payah, orang selalu tengok depan jer, lagipun nanti bila duduk dalam kereta, sebelah belakang renyuk juga..."

Bijak juga idea sahabat saya ini kan? Hehehe!


Episod II
Saya menemani Djalut Bagaskara mencari seluar jeans Levi’s.

Mula-mula kami ke gedung Levi’s di JB City Square. Semua potongan sudah dicuba. Tapi tak jumpa saiz. Dia semacam sudah berputus asa dan mahu membeli jeans jenama lain pula.

"Kau kena beli Levi’s jugak. Kalau kau pakai jeans lain samalah macam kau tak pakai seluar langsung." Saya memperdaya sahabat saya itu.

"Hahaha." Sahabat saya itu gelak. Entah betul-betul, entah dibuat-buat.

"Aku kalau pakai jeans lain, gatal-gatal punggung aku, tapi pakai Levi’s ke, Guess ke, ok pulak." Hahaha. Saya cuba memperdaya dia lagi. Saya bergurau saja sebenarnya.

Kemudian kami ke Aeon Tebrau City pula. Ke gedung Levi’s juga. Gedung sudah hampir mahu tutup. Kali ini ada saiz tapi macam kelakar-lah pula. Maklumlah dari segi tinggi dan saiz kaki, dia memang lebih kurang sama saja dengan saya. Cuma ada anatomi tubuhnya yang sangat begitu ketara menonjolnya. Kalau tengok dari belakang tak perasan sangat, tapi kalau tengok dari depan atau tepi memang jelas. Hehehe.

"Cuma dua pilihan saja yang kau ada. Samada kau sedut dulu lemak kat perut kau tu atau kau suruh kilang Levis’s buatkan saiz khas untuk kau."

"Hahaha."

Bijak kan idea saya ini? Hehehe!


Nota: Djalut Bagaskata itu itu bukan nama sebenar. Kalau saya taruh nama sebenar, takut nanti bila dia google-kan nama dia, terjumpa pula blog ini. Habislah saya kalau dia tahu. Hehehe.

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/21/2009 07:27:00 PTG. | 40 Ulasan
Isnin, Mac 16, 2009
Hari itu, secara waras saya mencelah-celah dalam keserabutan manusia di dalam kota Mid Valley itu. Sesudah menjamu selera di Pulau Pinang Kenit, haluan saya adalah ke gedung buku MPH.

Dia mengagumi ilmu Egyptology [Mesirologi?]. Dan di situ, kebetulan pula, di jejeran para paling hadapan, di satu pojoknya, saya menemui sebuah buku, atau mungkin lebih sempurna kalau saya sebut ensaiklopedia, Ancient Egypt, yang semacam terbiar. Isinya segala-galanya tentang Mesir. Sejarahnya, ketamadunannya, kemisteriannya, dan entah apa-apa lagi. Memang menarik juga. Kalau saya yang jarang terpikat dengan 'Mesirologi' itu pun bagai dipaku-paku mata saya menyoroti setiap helaiannya, apatah lagi dia yang memang agak mentaksubi bidang itu.

Kulit luar ensaiklopedia itu mengelupas sedikit di satu sudut di bahagian atasnya. Tapi tidak mencacatkan langsung keperibadian buku itu saya rasa, apatah lagi meluakkan ilmu di dalamnya. Tapi seingat-ingat saya, dia amat mementingkan kesempurnaan sesebuah buku, bukan sahaja isinya tetapi kulitnya juga. Saya tahu itu. Sebab bukan sehari saya kenal dia.

Saya mendekati kaunter pusat perkhidmatan pelanggan. Seorang gadis yang agak manis juga melayan saya. Gadis itu melayan saya begitu baik dan mesra sekali. Bagus kemahiran perhubungan awamnya. Tak sia-sialah MPH mengambil dia sebagai pekerja. Kerana pengelupasan kulit buku yang tak seberapa itu, dan tiada lagi buku serupa itu ditemui ketika itu, di para yang sepatutnya itu, saya ditawarkan diskaun 10% untuk buku itu. Ok-lah kalau macam itu. Cuma satu saja agaknya yang buat saya berkecil hati sedikit. Segan pula untuk saya ceritakan di sini. Hehehe. Begini, adakah patut dia panggil saya ‘pakcik’. Sampai hati sungguh. Kalau rasa malu sangat nak panggil ‘abang’ [hahaha!] panggil sajalah ‘encik’ atau ‘saudara’. Hehehe!

Sejak hari itu saya sedar dan insaf, saya dah tua rupanya. Hahaha!

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/16/2009 12:27:00 PTG. | 48 Ulasan
Isnin, Mac 09, 2009
Saya menyempurnakan beberapa hari; hari minggu dan hari cuti saya dengan menziarahi bumi tempat saya dilahirkan, menelusuri jalan-jalan lama sehinggalah sampai ke daerah paling selatan. Namun tidak semua gambar-gambar mampu saya paparkan di sini. Hanya 7+2 gambar.

Ini sekolah rendah saya dahulu. Ditubuhkan pada 1943 kalau tak silap saya. Sayu menggigit jiwa dan perasaan saya sewaktu berdiri dan menatap bangunan sekolah ini. Saya tak punya kata-kata yang tepat untuk menjelaskan kenapa.

Memang kurang sempurna kalau kepulangan saya ke Parit Jawa tanpa menjamu masakan kesukaan saya. Kali ini di kedai asam pedas Mak Pon berhampiran jeti nelayan Parit Jawa. Apa lagi kalau bukan asam pedas ikan mayung! Makanan saya ditaja sepenuhnya oleh seorang tauke nurseri di Parit Jawa, hehehe. Saya tak mahu mengulas apa-apa. Kalau ingin tahu kelazatannya, sila datang dan cuba merasainya sendiri ya....

Inilah gerai apam balik Muor yang saya ceritakan hari itu. Lihatlah pelanggan-pelanggan yang berpusu-pusu, setia dan sabar menunggu itu. Sebahagian besarnya datang dari luar daerah Muar termasuk dari Selangor dan Kuala Lumpur.

Antara bangunan klasik dan berjiwa di Bandar Maharani yang menjadi kesukaan saya. Saya sudah lama jatuh hati dengan seni bina dan seni reka bangunan ini. Bangunan ibu pejabat polis trafik daerah Muar.

Restoran Super Bariani Gam ini terletak di Taman Bukit Pasir, Batu Pahat. Saya dijamu oleh seorang kontraktor dan tuan punya sebuah nurseri di Batu Pahat. Pertama kali di dalam hayat, saya menyentuh beriani kambing. Pergh! Saya tidak segan-segan meminta nasi tambah!


Restoran ini saya panggil 'Restoran Kepala Lori' kerana dekorasi kepala lori terpakai di hadapan kedainya. Menarik. Terletak di pinggir jalan lama Batu Pahat - Yong Peng. Saya cuma berhenti sekejap, menatap, mengagumi kekreatifannya lalu mengabadikan gambarnya.

Hari hampir senja. Saya singgah sekejap di Ayer Hitam. Pusat seramik yang sudah lama terkenal di Johor. Saya melayan langkah kaki saya dari pangkal sampai ke hujung kemudian semula ke pangkal jejeran gerai-gerainya. Saya membeli 3 paket kerepek untuk saya kunyah sambil meneruskan pemanduan saya.

Saya menyinggahi gerai Jo Gulai Sembilang di Gelang Patah. Pilihan masakan asam pedas yang enak dan berjiwa. Gerai agak sarat dengan pencinta asam pedas sewaktu saya sampai. Selain asam pedas ikan sembilangnya, juga terkenal dengan asam pedas ikan merahnya.


Saya sempat singgah sekejap di Pameran & Festival Landskap di Hutan Bandar di Mutiara Rini, Skudai. Saya bergegas meninggalkan tapak itu bila titis-titis gerimis mula menimpa bumi. Antara yang membuat saya terpesona adalah Laman Melayu Johor dan Rumah Limasnya.


TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/09/2009 04:27:00 PTG. | 54 Ulasan
Isnin, Mac 02, 2009
27hb Feb – 1hb Mac 2009. Tiga hari yang berjiwa. Saya pulang ke ibukota. Atau berada sekejap di ibukota secara tepatnya.
Dah tua-tua pun nak tiup-tiup lilin bagai. Hahaha! Kek Coklat Chip Walnut dari Resepi Rahsia. [Tiga lilin. 3 lilin x 9 tahun = 27 tahun. Jangan percaya. Hahaha!] Terima kasih kepada Puteri Kraton atas sumbangan kek. Makan tengahari rasmi di Rumah Makanan Sunda, KLCC. [No pork, no lard, halal] Tapi saya agak terkilan sedikit sebab lodeh kesukaan saya sudah kehabisan.

Menziarahi Dino Trek di Petrosains. Ada seekor dinosaur tengah gelak sampai tergolek-golek bila saya datang. Entah apa yang kelakar sangat entah. Tapi memang comel sungguh.

Oh ya. Saya juga berkesempatan bertegur sapa dengan Pak A. Samad Said, idola saya di Kinokuniya, KLCC sewaktu beliau sedang asyik memilih buku.

Malam [27+1]hb Februari 2009. Konsert Alam Muzik M Nasir. Istana Budaya, KL. Konsert yang saya tunggu-tunggu sekian lama. Sememangnya saya jarang ketinggalan menyaksikan konsert-konsert Sifu sebelum ini. Apa lagi yang mampu saya katakan. Saya tak punya kata-kata untuk menghuraikan segalanya. Konsert yang penuh berjiwa. Hebat dan mengasyikkan. Biarpun saya kunjungi Istana Budaya malam itu dalam situasi yang agak kurang selesa pada mulanya bila diduga dengan mukus cair yang semacam enggan berhenti mengalir dari rongga hidung saya dan batuk-batuk nakal yang sesekali menyengat, tapi melihat kelibat Sifu segalanya itu bagai terusir jauh. Ya, saya cukup puas. Persembahan yang nyata mewarnai cakrawala pemikiran saya, membius jiwa saya. Saya tenggelam dalam getar-getar keasyikan. Dan malam itu terasakan begitu cepat berlalu. Terima kasih Sifu. Terima kasih Puteri Kraton yang sudi menghadiahkan pas masuk X27 yang eksklusif itu. Saya sayang kamu Sifu. Kamu menjadikan tarikh 27hb Februari 2009 saya penuh jiwa. Sarat dengan makna. Sesungguhnya.

Cuba teka siapa jejaka ini? Clue-nya, beliau seorang jejaka yang sangat pemalu. Hahaha!
Buah tangan dari Konsert Alam Muzik M Nasir. Kemeja -T hitam, kole dan pad tetikus. Yang eksklusif dan berjiwa. Jika kamu peminat tegar Sifu, saya amat memahami jika kamu merasa cemburu melihat buah tangan ini.

TTFN

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/02/2009 12:27:00 PTG. | 42 Ulasan