Jumaat, Julai 11, 2008
Apa agaknya yang kamu rasa bila kamu ditakdirkan bersolat jemaah, solat Jumaat misalnya, di sebelah makhluk Tuhan, katakanlah seorang mamat Bangla, yang mempunyai aroma tubuh seolah-olah sudah tujuh hari tak mandi?

Dan aroma itu semakin menyucuk-nyucuk keras di rongga hidung kamu setiap kali dia mengepak-ngepakkan lengannya?

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 7/11/2008 03:07:00 PTG. | 63 Ulasan
Sabtu, September 08, 2007
Muar. Hari jumaat itu.

Masjid itu bersebelahan dengan sekolah rendahku dahulu. Sudah lama juga rasanya aku tidak menjejakkan kakiku di kawasan masjid itu. Masjid yang lama itu sudah tiada lagi. Menjelang Pilihan Raya Umum yang lepas, kerajaan telah menganugerahkan kampung itu dengan masjid baru – di tapak masjid lama. Sebenarnya, aku rindukan masjid yang lama itu. Mungkin kerana masjid yang dibina semasa era penjajah itu lebih neo-klasikal binaannya dan kejohoran sentuhannya. Mungkin juga kerana banyak kenangan lampau yang tersembunyi di masjid itu.

Di situlah tempat kami menyorok sewaktu ponteng kelas Bahasa Arab sewaktu bersekolah agama dahulu. Kolah di tepinya itu jugalah tempatnya Mael Keding yang konon-kononnya ingin membasuh muka itu mencuri-curi meneguk air semasa bulan puasa. Periginya tempat kami duduk-duduk di tangganya sambil menjuntai-juntai dan merendamkan kaki. Tiang bangsal tempat menyimpan keranda di belakangnya itu pula tempat kami menyendengkan basikal kami.

Hari ini, di tepi sebelah kanan masjid itu sudah berpagar dawai. Perigi, kolah dan bangsal itu sudah tiada lagi. Ada sepohon dua dan deretan renek-renek hiasan tertanam di hadapannya, tapi sayang lesu tidak berjaga. Rumpai pula menyubur separas dada di sudut belakang bilik air. Masjid itu walaupun nampak baru tapi bagai sudah hilang jiwanya di mataku.

Ruang di dalam masjid itu agak rendah lelangitnya, tidak bertiang dan lantainya beralaskan permaidani biru. Mimbarnya berukir cantik. Jemaah tidak ramai, sekadar cukup untuk menyempurnakan solat jumaat. Di sudut belakang adalah ruang yang bertabir untuk jemaah wanita. [Masjid itu juga dikunjungi jemaah wanita yang sudah agak berusia untuk sama-sama bersolat jumaat]. Di hadapan mimbar, di saf-saf paling hadapan, bersila jemaah-jemaah yang pernah dan biasa kulihat wajah-wajah mereka lebih sepuluh tahun dahulu. Yang dulu berambut hitam, sekarang sudah memutih dan jarang-jarang. Yang dulu bersongkok, sekarang sudah berkopiah, sudah berserban. Yang dulu berbaju Melayu Teluk Belanga atau Cekak Musang, sekarang sudah berjubah. Mataku merayau-rayau, tercari-cari kalau-kalau ada wajah-wajah jemaah sebayaku yang pernah dan biasa kulihat suatu ketika dahulu. Tetapi tiada. Langsung tiada. Yang ada hanyalah wajah-wajah remaja dan kanak-kanak yang semuanya sangat asing di mataku.

Sepuluh tahun lagi, jika aku diizinkan Allah untuk singgah di masjid itu lagi, mungkin segalanya akan berubah lagi, tidak akan serupa lagi seperti hari ini. Begitupun, entah untuk berapa puluh tahun lagi, aku tetap akan merindukan kenangan yang tersimpan di masjid yang lama itu.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Sebelum Ramadhan sampai, saya ingin menjemput kawan-kawan semua menjamu selera di SINI. Sila-sila. Layan diri. Jangan malu-malu.


TTFN

Label: ,

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 9/08/2007 04:27:00 PTG. | 41 Ulasan
Jumaat, Februari 02, 2007
Sebelum azan, di luar.
Pisang-pisang percuma di kaki pintu itu tidak tersia begitu sahaja. Tangan-tangan jemaah silih berganti menyiat satu demi satu dari sikatnya. Abang itu di sebelah. Bersalam. Dia senyum. Aku membalas senyum. Tiada kata yang diucap.

Sebelum azan, di dalam.
Jemaah belum ramai. Aku bersila di ruang tengah. Betul-betul di bawah kipas. Sedang tazkirah tentang ideologi Wahabi dari penceramah jemputan.

Dan kelibat abang itu lagi. Dia masuk dari pintu sisi kiri dan berhenti. Sekeping kertas berwarna merah dari kocek kemejanya dimasukkan ke dalam celah sempit peti kayu empat segi bujur beroda empat di tepi tiang. Dia beredar ke sebelah kanan mimbar di sebelah rak kitab. Selepas bertahyatul masjid dia bersalaman dengan jemaah di kiri dan kanannya. Dia kemudian mengambil Al Quran disebelahnya. Dan bersila tunduk, nampak khusyuk.

Selepas salam kedua, di dalam dan di luar.
Pisang-pisang itu hampir tidak bersisa lagi. Jemaah keluar berpusu-pusu menyarung kasut dan selipar sedang mulut imam masih lagi terkumat kamit membaca doa. Bahu-bahu jemaah yang masih bersila menadah tangan bersenggol-senggolan dengan lutut-lutut jemaah yang tidak sabar-sabar mahu keluar.

Di persimpangan pintu masuk itu, kenderaan berasak-asak, yang berjalan kaki berbondong-bondong bersesak-sesak. Matahari membahang di atas kepala.

Honk…honk…! “Hoi…. Tak reti-reti nak ke tepi ke ? $#@&*% *&%$#..!” Pemandu kereta buatan tempatan itu menjongolkan kepala. Ah.…abang yang tadi itu rupanya..! Kemudian dia menekan minyak, memecut sombong meninggalkan asap dan deruman dari ekzos keretanya yang bergarispusat seperti bazooka itu.

Pemuda berkopiah itu masih tergamam. Mungkin mencari-cari apa silapnya.


TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 2/02/2007 02:59:00 PTG. | 43 Ulasan
Jumaat, November 17, 2006
Hari ini khutbah jumaat mengingatkan jemaah kepada isu Interfaith Commission (IFC) yang dulunya disebut Inter Religious Council (IRC) yang hangat diperkatakan pada akhir tahun lepas.

IFC, sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama (baca: Agama Islam) akibat desakan penganut agama lain. Ia berfungsi mirip sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama yang bersabit.

Khutbah tadi juga mengingatkan umat islam IFC membolehkan mereka meminda beberapa ajaran asas Islam yang boleh merosakkan akidah umat Islam dan nyata lebih berpihak kepada orang bukan Islam.

Tapi yang musykilnya penubuhannya disokong oleh Sisters in Islam...!

Antara tuntutan orang-orang bukan Islam melalui IFC ini adalah;

  1. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.
  2. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.
  3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.
  4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.
  5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.
  6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.
  7. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.
  8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.
  9. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.
  10. Bibel dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.
  11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.
  12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.
  13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.
  14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.
Khutbah tadi mengingatkan orang Islam perlu berwaspada dan jangan terpedaya dengan dakyah bahawa tindakan mereka ini hanya satu dialog antara agama. Ini agenda mereka untuk merosakkan akidah seterusnya menghancurkan Islam.


BP : Cuma menyampaikan pesan tuan khatib ...




TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 11/17/2006 03:06:00 PTG. | 39 Ulasan
Jumaat, Mei 26, 2006
Sebelum

4 sekawan. Di tempat letak kereta Jln Bandar 3. Di depan kedai dobi, disebelahnya kedai roti.

Jam, "kita nak jumaat kat mana ni?"
Aku, " jangan kat Wangsa Melawati dah la... situ 'parking' leceh sikit..."
Isq, "masjid Klang Gate la.. situ cepat habis.."
Hal, "kat Sri Rampai pun best..ada bihun sup power.."
Jam, "macam-macam la korang ni... nak sembahyang ke nak apa?....dah la menumpang... !"

Akhirnya destinasi yang biasa. Masjid yang selalu aku dan Jam pergi.


Selepas

Dah beberapa jumaat aku perhatikan makcik ini. Bukan orang tempatan rasanya. Hari ini makcik itu masih setia di situ. Berhampiran gate masjid sebelah tepi, bersebelahan longkang besar. Bersila macam biasa, macam 2 - 3 minggu yang sudah-sudah. Posisi juga sama. Masih lagi memegang kole plastik warna yang sama, nampak didalamnya beberapa note seringgit dan syiling.

Cuma yang tak sama anak kecil yang diribanya. Hari ini lain. Macam magic. Boleh bertukar-tukar pulak anak makcik ini.

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 5/26/2006 02:38:00 PTG. | 42 Ulasan
Jumaat, Mac 31, 2006

Hari ini bersolat jumaat di masjid yang sama. Kalau nak bercerita gelagat jemaah semasa khatib sedang membaca khutbah memang banyak. Yang paling banyak adegan tidur sambil duduk. Alhamdulillah, nampaknya hari ini dah tak ada lagi dering polifonik lagu ‘Aduh Saliha’ dari handphone mamat itu. Hari ini nak cerita pasal kotak bergerak pulak, semasa khatib membacakan khutbah, kan ada satu kotak beroda bergerak dari satu saf ke satu saf. Sesetengah masjid menggunakan kanak-kanak berjalan dari seorang ke seorang jemaah. Walau apapun caranya, itu bagi memudahkan jemaah membuat pelaburan untuk hari akhirat. Perasan juga, di mana-mana masjid pun, kotak-kotak ini selalunya lebih laju berjalan dari berhenti. Bukan nak menganggap jemaah kedekut untuk bersedekah atau menderma, mungkin mereka bersedekah dengan cara lain. Membawa pisang ke masjid pun sedekah juga namanya. Lagipun bersedekah bukan untuk menunjuk-nunjuk, amaun tak penting asalkan ikhlas. Bila tangan kanan menghulur lebih afdal kalau tangan kiri langsung tak tau. [Walaupun ada juga sesetengahnya yang suka bukan sahaja tangan kiri tau, tapi kaki kiri dan kaki kanan juga…!]

Kekadang mencongak-congak juga, kalaulah seorang jemaah menderma sepuluh sen seorang, kalau setiap masjid melakukan yang sama, dalam satu hari jumaat entah berapa ratus ribu dapat dikumpul. Banyak yang boleh dibuat dengan duit derma sebanyak itu. Bukan setakat boleh membaiki tandas masjid yang tersumbat, membaiki kipas angin yang rosak tapi membina masjid baru pun boleh. Jauh dari itu, boleh disumbangkan kepada yang kurang bernasib baik. Mungkin akan berkurangan orang-orang kita dipaparkan dalam ‘Bersamamu’ itu lagi… berkurangan anak-anak yang tidak bersekolah kerana emak bapak tidak mampu…… berkurangan keluarga miskin tinggal di bangsal tinggal….. Itu kalaulah…..


TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/31/2006 02:40:00 PTG. | 47 Ulasan
Jumaat, Mac 24, 2006

1. Cerita Pagi Jumaat

Pagi tadi keluar rumah agak awal sebab terpaksa ke Jbtn Imigresen, Pusat Bandar Damansara. Seorang pekerja asing Indonesia nak balik kampong. Kalau ikut cerita pekerja2 lain, dia dah meracau dan bercakap seorang diri malam2. Sebelum apa2 yang buruk terjadi lebih baik hantar dia balik kampung. Mungkin dia rindukan kampung halaman di Lombok.

Ini bukan nak bercerita sebab dia meracau malam2 ataupun jenis hantu yang sampuk dia. Ini nak bercerita pasal Jbtn Imigresen. Kalau nak diikutkan fobia dah nak berurusan dengan Jbtn Imigresen sebab pengalaman2 yang lepas. Tapi disebabkan dah jadi majikan terpaksalah uruskan jugak. Tak sangka dah berubah betul perkhidmatan jabatan ini sekarang. Orang putih kata ‘excellent, superb, efficient…’. Tak ada lagi karenah biokrasi yang menyakitkan hati, tak ada lagi marah2 di kaunter….semuanya tertib, santun dan penuh senyuman….

BP: Nak kena ucap syabas pada Pak Lah tak?

2. Cerita Tengahari Jumaat

Hari ini bersolat jumaat di satu masjid di Hulu Klang. Bukan nak bercerita pasal selebriti2, Datuk Jins, Norman Hakim, Fahrin Ahmad atau Faisal Hussien yang sama2 bersolat di situ, bukan jugak pasal seorang makcik entah dari negara mana bersama anaknya minta sedekah di pintu pagar masjid, bukan juga pasal seorang adik yang mengadu hilang kasut, bukan juga anak2 muda yang bersembang di bawah pokok semasa khatib membaca khutbah.

Ini pasal handphone seorang mamat yang berbunyi semasa tengah solat. Lagu dering polifonik yang sedap juga. Marah agaknya jemaah lain sebab dah hilang khusyuk. Tapi tak apalah. Kita fikirkanlah yang positif. Tak baik buruk sangka. Agaknya dia tak sengaja, mungkin dia terlupa nak off handphone, ataupun terlupa nak letak silent mode….Takkanlah dia sengaja pulak nak perdengarkan nada dering polifoniknya…. atau nak bagitau jemaah lain dia baru beli handphone baru yang canggih…….

BP: Ish…Ish…Ish….!

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/24/2006 04:26:00 PTG. | 30 Ulasan