Isnin, Mac 03, 2008
Tadi saya meninjau-ninjau bilik gerakan PARTI PUNDAK. Saya lihat ramai rakan-rakan blogger termasuk sifu Tok Rimau, sifu Naga, sifu Mat Jan, Ah Tok dan beberapa nama lagi tersenarai sebagai calon.



Saya dengan ini secara rasmi dan tanpa segan silunya memperkenalkan diri saya sebagai calon PARTI PUNDAK bagi kawasan P093 Sungai Besar. [Saya calon payung terjun sebenarnya]. Oh ya! Saya adalah calon yang ultra Melayu-Jawa, Islamik dan berintegriti.

Taburan 7 janji-janji manis saya:

1. Beriltizam mengangkasakan bangsa Melayu-Jawa di segenap bidang secara sama-rata. Tiada kronisme dan nepotisme.

2. Sejajar dengan status negeri termaju, lebih banyak pusat-pusat hiburan, gedung membeli-belah mewah dan lebuhraya – dengan tol pada kadar yang terendah berbanding negara lain - akan dibina.

3. Usaha menglobalkan industri tempe. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan taraf ekonomi penduduk kampung.

4. Subsidi kepada kaum lelaki berumur 40 tahun ke atas untuk melakukan rawatan pencerahan kulit dan anti-penuaan [tak perlu lagi ke negeri kanggaru].

5. Pengecualian cukai dan melegalisasikan perniagaan rumah urut.

6. Atas rasa keprihatinan yang tinggi kepada kaum India, cuti Deepavali dan Thaipusam ditambah menjadi dua hari. Perayaan Ponggal juga akan dijadikan cuti umum.

7. Merealisasikan hasrat membantu melahirkan lebih ramai tokoh usahawan Bumiputera yang berjaya - seperti Datuk Zakaria Deros itu, misalnya.

Realistik dan mengujakan bukan? Undi anda tidak akan menjadi sia-sia jika memilih saya. Percayalah. Yakinlah.

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 3/03/2008 01:27:00 PTG. | 43 Ulasan
Khamis, Februari 21, 2008
Pagi tadi saya terserempak dengan Abang Mat. Abang Mat bercerita sambil marah-marah saja nadanya.

Abang Mat itu cuma kerani biasa. Agak sengkek orangnya. Nasib baiklah tinggal dengan emak. Tak payah bayar sewa rumah. Abang Mat itu motorsikalpun tak ada, kereta memang tak mimpilah. Bas nombor 46 itu sajalah tunggangannya setiap pagi dan petang untuk ke pejabat. Sejak dari budak-budak dulu lagi Abang Mat cukup setia dengan bas nombor 46 itu. Entah sebab apa, Abang Mat saja yang tahu. Padahal bukan tiada bas lain yang lalu di kampung itu. Kata Abang Mat, bas itu cantik, ada penghawa dingin dan tempat duduknya empuk. Abang Mat juga paling suka drebarnya. Katanya, drebarnya bagus, pandai menghias bas dan cekap pandu bas. Walaupun selalu merapu dan merepek yang bukan-bukan tetapi cara pemanduan drebar bas itu Abang Mat puji, lancar dan laju.

Tapi itu dululah. Semasa Wak Mahat jadi drebarnya. Sehari dua ini Abang Mat sedang timbang-timbang untuk bertukar naik bas lain. Abang Mat sudah hilang sabar dengan bas nombor 46 itu. Sejak Wak Mahat pencen dan Wak Dol jadi drebar baru, tengok kelibat bas itupun Abang Mat jadi menyampah dan merebak angin satu badan. Geram dan berbulu sungguh Abang Mat.

Kata Abang Mat, bas nombor 46 itu memanglah nampak semakin cantik sebab bercat baru tapi nampak cantik dari luar sajalah, di dalamnya berbau hancing. Orang pernah ternampak Wak Dol kencing di dalam bas. Tak senonoh betul! Kerusi bas itupun sudah banyak yang bejat dan tanggal. Penghawa dingin rosak, dinding dan lantai pun bocor sana sini. Abang Mat kata, Wak Dol pandu bas itupun entah apa-apa. Sudahlah pandu lembab macam kura-kura, adakah patut sambil memandupun boleh terlelap, kalau bas itu terbabas atau berlanggar kan nahas namanya. Sia-sia saja nanti mati percuma, kata Abang Mat.

Satu lagi yang buat Abang Mat paling berbulu bila suatu hari dia ternampak Wak Dol menggatal dengan seorang amoi. Menjolok mata betul! Mana tidaknya, siap bergesel-gesel tangan lagi. Bukan Abang Mat sahaja yang nampak, penumpang lainpun nampak. Tak sangka. Padahal Wak Dol itu nampak macam alim orangnya.

O, begitu ceritanya. Barulah saya faham kenapa Abang Mat marah-marah sampai macam itu sekali.

TTFN

Label: ,

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 2/21/2008 02:07:00 PTG. | 51 Ulasan
Isnin, Februari 18, 2008
Nenek saya berjiran dengan Wak Rahmat. Di kampung nenek saya itu siapa yang tidak kenal Wak Rahmat. Wak Rahmat itulah tempatnya bagi beberapa orang penduduk kampung yang terdesak mengadu. Mencari anak kambing yang hilang, mengubat anak kecil yang menangis tak henti-henti di tengah malam, atau mencari penawar suami yang gatal misalnya. Selalu-selalunya Wak Rahmat akan bakar kemenyan, sampai berasap-asap, kemudian baca ayat-ayat berbunyi seperti bahasa Arab, hembus kiri dan hembus kanan. Kemudian Wak Rahmat hulur sebotol air mineral 1 liter. Dan beberapa keping Ringgit Malaysia kemudian bertukar tangan.

Nama Wak Rahmat sudah tersohor sampai ke luar daerah. Orang-orang luar menganggap Wak Rahmat itu sangat hebat dan sakti orangnya. Hairan juga. Hebat dan sakti apanya. Badannya pun bukan gagah sangat, kudut saja.

Rumah papan Wak Rahmat itu jarang sepi dari dikunjungi orang. Ada sahaja yang datang. Bermacam-macam jenis orang. Dari yang buta kayu sampailah yang belajar di universiti luar negeri. Dari yang bermotorsikal cabuk sampailah yang berkereta lampu mata belalang. Dari yang entah siapa-siapa sampailah yang macam biasa dilihat di kaca televisyen dan di muka depan suratkhabar.

Nenek saya itu tak payah pergi ke Parlimen, Angkasapuri atau Seri Pentas untuk melihat muka selebriti dari dekat. Boleh dikatakan setiap hujung minggu ada sahaja politikus, penyanyi, pelakon dan aspiran yang datang ke rumah Wak Rahmat. Ada yang minta diasapkan wajahnyalah. Ada yang minta diasapkan cincin berbatu akeknyalah. Ada yang minta diasapkan gambarnyalah. Ada yang minta diasapkan mikrofonnyalah. Ada yang minta diasapkan borang Anugerah Bintang Popular Berita Hairanlah. Pendek kata, macam-macam benda hairan minta diasapkan.

Tapi, dalam satu dua minggu ini luar biasa ramainya tetamu yang datang ke rumah Wak Rahmat. Sampai jalan kampung yang sempit itu jadi sesak. Kereta berjejal-jejal, bersusun-susun sampai melimpah ke laman rumah nenek. Wak Rahmat tak menang tangan, kaki dan mulut dibuatnya. Dari sebelum waktu Subuh lagi sudah ada yang menunggu di depan tangga. Tidak putus-putus yang datang sampai jauh malam. Ada yang datang dari sejauh Perlis! Yang datang, kata nenek saya lagi, bukan kecil-kecil anak. Tapi semua Melayulah. Tan Sri itulah, Tan Sri inilah. Datuk itulah, Datuk inilah. YB itulah, YB inilah. Malah kelibat menteri yang dah tak larat nak berjalan pun ada. Kata nenek saya lagi, rata-rata membawa keris. Itu kata nenek sayalah. Kalau nenek saya tipu, tipu jugalah saya.

Hehehe!

TTFN

Label: ,

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 2/18/2008 12:07:00 PTG. | 52 Ulasan
Isnin, Februari 11, 2008
Cuti Tahun Baru Cina yang lepas saya balik ke kampung saya. Sebenarnya bukan saya tak mahu bercuti ke luar negara. Boleh, kalau saya mahu. Bukan guna duit saya pun. Tapi jemulah asyik bercuti di luar negara. Cuti kali ini ingin pula bermesra dengan orang kampung pula. Lagipun pilihanraya sudah semakin dekat. Sejak pilihanraya umum yang lepas saya belum berkesempatan menjenguk sekeliling kampung lagi. Jadi, inilah masanya.

Melalui jalan sempit menuju ke kampung halaman saya itu, saya perhatikan sudah banyak bendera-bendera berlambangkan bulan mengambang berceracak di sana sini. Di tiang-tiang elektrik, di simpang-simpang jalan, di atas bumbung rumah, malah di atas pokok juga. Saya cuma tersengih. Sesekali saya mencebil apa yang saya lihat itu. Apalah sangat setakat bendera dari parti sengkek itu. Seksa juga melalui jalan kampung saya itu. Sudahlah sempit, cuma berturap tanah merah, berlubang-lubang dan berkerikil di sini sana pula. Tapi saya tak boleh merungut banyak. Kan saya YB di kawasan itu. Hahaha!

Saya sempat singgah sekejap di warung Monggo Mampir di simpang empat berhampiran rumah orang tua saya itu. Saya meminta pemandu merangkap pembantu saya itu memarkir kereta Mercedes E55 AMG berwarna perak berkilat saya itu betul-betul di depan warung itu. Sengaja saya minta dia letak di situ supaya semua orang di warung itu boleh nampak. Warung itu biasa-biasa saja tetapi di situlah tempat tumpuan warga kampung saya bersosial selepas menoreh atau menyawit. Sebuah meja penuh dikelilingi wak-wak yang sedang leka menonton dua wak bermain dam haji. Dua tiga meja yang lain pula diduduki wak-wak yang sedang ngeteh sambil borak-borak. Wajah-wajah mereka, wajah-wajah yang sama, yang biasa saya lihat di warung itu sejak saya masih budak-budak dahulu.

Saya memberi salam. Sebahagian dari mereka menyambut saya dan kami bersalaman. Sebahagian kecil pula tercengang-cengang seperti tidak mengenali saya. Mata mereka memandang saya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki dengan pandangan takjub. Entah apa kesaktian saya agaknya. Barangkali masing-masing kagum melihat perubahan diri saya, atau mungkin juga terpesona melihat susuk tubuh saya, maksud saya setelah bergelar YB.

Sepanjang tiga hari saya di kampung, di mana-mana - di surau, di warung dan di tangga-tangga rumah - orang-orang kampung heboh bercerita tentang saya. Pembantu saya yang menguping perbualan mereka menyampaikan berita itu kepada saya. Siapa sangka anak kampung yang dahulunya cuma seorang kerani cabuk boleh semewah sekarang. Itulah. Tak sia-sialah saya berkawan baik dengan ketua bahagian parti keris dahulu. Tak punya kelulusan tinggi pun tak apa, asal pandai mengampu, bolehlah jadi YB. Sekelip mata boleh kaya-raya.

Orang kampung juga saya dengar kagum melihat saya yang semakin kacak dan nampak semakin muda. Mereka terpesona melihat wajah saya yang semakin tegang dan semakin cerah. Dulu muka Jawa saya gelap, comot dan kusam seperti pekerja kontrek, sekarang sudah secerah wajah Paul Moss. Dalam kemalu-maluan itu, terasa bangga dan riak juga di hati saya. Kembang sekejap beberapa millimeter lubang hidung saya dipuji begitu.

“Saya cuma makan tempe setiap pagi, tengahari dan malam. Orang putih panggil saya temperian. Tempe banyak protin. Boleh menegang dan memutihkan muka, boleh menegangkan buah dada, boleh juga menguatkan tenaga batin.” Beriya-iya saya bercerita. Saya memang tidak kedekut berkongsi ilmu. Terlopong mereka mendengar penjelasan saya. Saya yakin mereka percaya. Saya kan YB. Ada title doktor falsafah pula. Ada yang menyesal tak sudah kerana selama ini malu dan rasa tiada kelas memakan tempe, kalau tidak mereka juga sudah tentu secerah dan sekacak saya. Tapi ada juga yang macam tidak percaya. Ah! Peduli apa saya.

Sekejap tadi komunikator Nokia E90 saya berdering lagi. Pembantu saya itu menyampaikan maklumat terkini. Katanya, dari tinjauannya, orang-orang kampung di warung-warung, Mat-Mat Rempit di tepi-tepi jalan, dan kutu berahak di tembok-tembok simpang jalan yang ditanya, masih menaruh sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan saya. Mereka nampaknya masih menyokong saya. Oklah kalau macam itu…….. Hahaha! Saya ketawa besar. Tidak sia-sialah saya pandai berkata-kata, berlagak islamik dan bersih. Mudah orang-orang kampung mempercayai kata-kata saya. Sebenarnya saya sendiri pun tak faham apa yang saya katakan. Saya reka-reka dan pakai sebut sahaja. Maklumlah, saya bukannya banyak ilmu pun. Saya malas membaca, saya lebih suka tidur.

Hendaknya orang-orang kampung tidak tahu rahsia dari mana datangnya kekayaan saya ini, seperti mahligai empat tingkat saya ini, tujuh-lapan buah buah kereta mewah dan kereta sukan saya itu, juga berjuta saham yang menggunakan nama proksi saya itu. Juga rahsia saya membeli ijazah kedoktoran di sebuah universiti tipu itu [Oh ya! Saya dulu satu universiti dengan penyanyi pakar motivasi itu]. Begitu juga rahsia wajah saya tersuntik Vitamin C secara tidak sengaja semasa di negara kanggaru dulu. Biarlah rahsia, sampai bila-bila.

Oh ya! Tadi juga saya sempat meminta pembantu saya itu meuar-uarkan berita kepada orang kampung, yang surau senget itu akan diganti baru dan jalan sempit itu akan dinaiktaraf sekiranya mereka terus menyokong saya. Saya juga sudah meminta dia menguruskan pemberian sehelai kain batik, sehelai kain pelikat dan sekampit baja NPK 15:15:15 kepada setiap orang kampung.

“Saaaaaayangggggg, apa lagi yang di buat di luar tu..… saya sejuk ni….”

Oklah. Saya berhenti di sini dahulu. Bini muda saya di dalam bilik sudah memanggil tu.

TTFN

Label: ,

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 2/11/2008 11:27:00 PG. | 52 Ulasan
Jumaat, November 16, 2007
Pagi itu, penduduk kampung Parit Kodari beramai-ramai berkumpul di hadapan surau lama, di hujung kampung itu. Ada yang sudah sampai di situ sejak seusai solat jemaah subuh lagi.

“Aku pantang dicabar!” pekik Wak Dol. Marah sungguh dia sebaik sahaja menantu kesayangannya, si KoJol itu membisikkan perkhabaran tentang penduduk kampung yang berkumpul ramai-ramai itu.

“Aku nak tidur, nak bergurau senda dengan bini pun tak senang!” dengusnya lagi, sambil menggulung kain pelikatnya. Sebagai ketua kampung dan ketua parti Sarkas di kampung itu, kredibilitinya tercabar.

Di hadapan surau itu, semakin ramai orang kampung yang berkumpul. Berbondong-bondong. Pendek kata, yang sihat datang berkaki, yang tempang datang bertongkat. Dengarnya ramai yang bercuti tidak ke kebun pagi itu. Antaranya, Wak Mat Sabut dan Wak Kolid Brahim cuti menoreh, Wak Kasan Ali pula bercuti dari mengambil upah memancah dan mengeruk parit, cikgu Salleh Ayob mengambil cuti tanpa gaji, malah apek Lim dan anaknya si Guan itupun bercuti menjaja ikan dengan motor buruknya hari itu. Semata-mata ingin ikut sama berkumpul ramai-ramai di depan surau itu.

“Kami juga jangan dicabar, kami sudah lama bersabar!” laung penduduk kampung itu, hampir serentak. Mereka yang selama ini berdiam diri benar-benar memaksudkannya kali ini. Selama ini mereka nampak seperti bodoh, diam dan membisu. Rupa-rupanya bodoh, diam dan membisu mereka bak gunung berapi. Sengaja disimpan senyap, menunggu saat untuk memuntahkan lahar semangat perjuangan demi menuntut keadilan dan pembaharuan. Mereka inginkan perubahan. Ingin ‘membersihkan’ segala ‘kekotoran’ yang telah bergumpal lama dalam kepimpinan kampung itu. Ingin memperbetulkan mana-mana yang bejat.

Mereka tidak rela terus dipergula-gula dan diperbodohkan oleh kepimpinan Wak Dol. Mereka ingatkan ketua kampung yang dulu, Wak Dir itu teruk, Wak Dol lebih baik sebab orangnya dikatakan islamik, rupa-rupanya Wak Dol lagi teruk. Lebih bobrok! Lebih korup! Rumah Wak Dol semakin besar bertingkat-tingkat, belum yang di luar daerah lagi! Tanah kebunnya semakin banyak, kereta sampai tujuh lapan buah. Begitu juga JKK kampung yang juga orang-orang kanannya. Sedang surau dan balairaya terus senget hampir menyembah bumi, jalan berlubang, bonyok dan becak sana-sini, jambatan hampir roboh, parit tersumbat. Orang kampung yang miskin tidak terbela, tetapi Wak Dol dan JKK terus-terusan bermewah-mewah. Cerita duit peruntukan pembangunan kampung untuk memperbaiki jalan, surau, jambatan dan parit disonglap Wak Dol dan JKK kampung bukanlah satu rahsia lagi.

Bukan itu sahaja. Penduduk kampung yang tak sependapat dengan Wak Dol akan dipinggirkan. Surau dan balairaya itupun sudah menjadi semacam hak beliau dan orang-orangnya. AJK surau yang betul-betul jujur berkhidmat untuk agama disingkirkan. Dilantiknya orang-orangnya, yang tidak pernah sekalipun menampakkan batang hidung bersolat jemaah. Ceramah agama disekat-sekat tetapi pertandingan nyanyi-nyanyi dan joget-joget di balairaya digalakkan pula.

“Kepemimpinan kampung kita perlu dibersihkan!” teriak Wak Nuar, bekas penolong ketua kampung, yang dipecat Wak Dir dulu, kerana tuduhan palsu menggelapkan duit hasil jualan getah sekerap koperasi dan mengendap janda yang sedang mandi, tak lama dulu.

“Allahuakbar!” laung Haji Adi, guru Al-Quran yang dihormati di kampung itu, yang biarpun sudah tua tetapi sungguh bersemangat pagi itu. “Allahuakbar!” disambut serentak, beramai-ramai, bersemangat.

“Bersih sebahagian dari iman! Aku pun bayar cukai juga!” pekik Abang Sekak, anak Wak Nah yang jarang balik kampung itu, entah dari mana, tiba-tiba, pagi itu muncul pula.

Tiba-tiba datang gerombolan demi gerombolan lelaki-lelaki berbaju seragam, bertopeng, bertopi dan berperisai. Ada yang memegang senapang, ada yang memikul meriam, ada yang memegang bom tangan. Mereka bertrak, berkereta kebal dan berkuda, bagai bala tentera hendak berperang lagaknya, mengepung tempat itu. Padahal penduduk kampung berkumpul dengan tertib, tak mengacau sesiapapun. Mereka memekik-mekik mahu penduduk kampung bersurai. Namun penduduk kampung itu seincipun tidak berundur, tetap tidak gentar, berpegangan tangan erat sesama mereka, biarpun ada yang terpinga-pinga dan sesetengahnya menyelamatkan diri naik ke atas surau, bila pancutan air yang deras dan kepulan asap yang memedihkan mata dan menyesakkan dada mula menghujani dan mendera mereka secara keras dan rakus.

Malam itu, di rumah besar Wak Dol. Majlis makan-makan. “Wayar kepala mereka dah longgar, Wak Dol…,” Wak Najeri Ajis bersuara, cuba memancing perhatian Wak Dol agaknya.

“Ha ha ha!” Wak Dol ketawa berdekah-dekah, sambil mencabut bulu hidungnya yang terjulur.

“Itu monyet pak! Beruk jalanan!” sampuk pula anak menantu kesayangannya.

“Ha ha ha!” sampuk Wak Zam Zam Ala Kazam, bagai tersampuk lakunya.

“Ha ha ha!” sampukan dan racauan mereka itu berterusan, bersambung-sambung, bersahut-sahutan, tak putus-putus.

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 11/16/2007 10:27:00 PG. | 42 Ulasan
Rabu, Julai 25, 2007
Sudah dua minggu berlalu, sudah menjadi cerita basi. Tapi penduduk kampung Parit Ponorogo masih hangat bercerita lagi.

Selepas dibantai Parit Lonjong 8–0, ditogelkan pula oleh Parit Penyengat 7–0! Langsung tidak melawan, lembik, tiada semangat juang. Kalau 1-0 atau 2-0 bolehlah negosiasi dan direktifikasi lagi. Manalah orang-orang kampung itu tidak marah, tidak malu dan memaki yang bukan-bukan macam orang hilang akal.

“Main koyok wong wedok!”
“Lembik! Tak makan nasi ke?
"“Main bola macam bapuk!”
“Q#@ &Y#!@! Jurulatih mangkuk! piring! kuali!”
“Pengurus tidur! %$#@JE !! ”
“Lembik giler! Giler pun tak lembik macam tu!”
“Bawak baliklah telur itu woi!”

Macam-macam kritikan. Sinikal. Sarkastik. Di forum atas talian, di laman sesawang rasmi kampung, di blog-blog. Itu belum lagi ekspresi bebas di kain-kain rentang yang digantung di simpang masuk ke kampung.

“Wak Jenal & Wak Karman makan gaji buta - Sila letak jawatan!”
“Pasukan Parit Ponorogo perlu reformasi!”
“Bubarkan PSPP!”

Selepas dua kekalahan mengaibkan itu pemain-pemain menyorokkan diri. Malu menunjukkan muka. Amat malu sehingga terasa seperti masing-masing tiada zakar lagi. Wak Jenal, jurulatih pasukan kampung itupun terpaksa senyap-senyap dan terhendap-hendap dengan memakai topeng dan menyumbat telinganya dengan kapas bila ke kedai membeli rokok. Wak Karman, pengurus pasukan yang juga ketua cawangan parti lok tujuh itu kabur entah ke mana. Sudah banyak hari tidak nampak batang hidungnya baik menyawit ataupun berpidato di kedai kopi.

Wak-wak dan kaum lelaki berdiskusi dan berdebat di sana-sini, di surau, di tepi jalan, di kedai kopi Wak Seman. Padahal masing-masing kaki bangku.

“Pemain tua ganyut nak mampus pun diambil main juga” Komen Wak Jambar, seorang penyokong fanatik Drogba sambil meludah ke tanah.

“Macamana nak maju, tiada iltizam, tiada solusi dan usaha konkrit mencungkil bakat-bakat muda secara sistematik dan konstruktif” Beriya-iya cikgu Shahru memberi idea.

“Infrastruktur pun kena ada juga. Jangan suka-suka padang bola kerajaan nak ambil buat bilik gerakan parti. Habis budak-budak nak main bola di mana? Celah-celah pokok getah?! Bawah katil?! #$F7u#C8k!" Bentak abang Sekak sambil menumbuk meja. Meja Wak Seman pecah terbelah jadi dua.

Bibik-bibik dan kaum hawa yang biasanya mengumpat pasal laki, pasal artis dan bini menteri, yang rabun pasal bola pun ikut bersosek-sosek juga. Di tempat jemuran, di anjung, di kaki-kaki tangga sambil mencari kutu dan mencabut uban.

“Dulu-dulu masa ada Mokhtar Dahari, kita handal…...” Wak Jenab, sambil kakinya menendang bayi ayam yang melintas di celah kakinya. Bayi ayam itu mati di situ juga.

“Bilalah kita nak ada balik pemain yang handal macam Karim Pin itu agaknya” Kak Aton Rondo, yang dulu memang tergila-gilakan sungguh Karim Pin.

Alahai.......

PSPP : Persatuan Sepakbola Parit Ponorogo.

TTFN

Label: ,

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 7/25/2007 05:47:00 PTG. | 54 Ulasan
Khamis, Jun 21, 2007
Arakian tersebutlah sebuah kisah di sebuah negeri yang digelar orang Bolehsia, mengambil sempena kepandiran negeri itu yang bersemangat ‘Boleh!’ Boleh melakukan bermacam perkara pelik dan takjub lagi menakjubkan. Khabarnya banyak juga rekod dunia yang pelik-pelik dan tidak masuk akal telah dicipta oleh negeri itu. Tidaklah habis sehari semalam kalau mahu diceriterakan semuanya.

Maka adapun baru-baru ini hebohlah diceriterakan orang, seorang perempuan pemain layar perak, yang pernah mengaku merasa dungu bercakap bahasa ibunda, menggondolkan kepalanya. Diceriterakan orang, bukan sahaja menjadi buah mulut orang kebanyakan tapi menjadi bahan perbincangan mufti-mufti juga adanya. Berkatalah mufti-mufti itu akan haramlah hukumnya perempuan menggondolkan kepala. Maka berbisik-bisiklah pula rakyat negeri itu, para pembesar wanita dan bini-bini pembesar negeri termasuk bini baru ketua pembesar itu pun gondol juga sebab tidak bertudung kepala, bukankah haram juga. Maka dikatalah orang sana-sini, Islam berhad dan berhari begitulah agaknya.

Adapun rupa-rupanya negeri itu memang sudah cukup masyhur di dalam bab cukur-mencukur dan gondol-menggondol itu. Sudah selalu disebut-sebut orang, adapun pembesar-pembesar negeri itu kegemaran mereka adalah bersuap-suapan dan sangatlah gemar mencukur harta perbendaharaan negeri untuk kesenangan diri dan kerabat sendiri, tidak segan silu mencukur duit rakyat untuk bermewah-mewah, mengumpul harta dan membina mahligai bertingkat-tingkat malah yang empat tingkat pun ada! Adapun bila simpanan harta negeri semakin gondol, diminta pula rakyat berkorban yang bukan-bukan, diminta rakyat berjimat cermat, sedang para pembesar pula berlibur keluar negeri, jet dan kapal layar dibeli sesuka hati, duduk tidur menggoyang-goyangkan kaki. Adapun rakyat negeri itu biarpun sengsara tetapi masih penyabar, lurus-lurus bendul dan pelupa belaka. Bila pilihanraya tiba, disogok wang sekeping dua, kain batik dan pelikat juga baja, tunggul kayu pun dipangkahnya juga.

Telah termasyhurlah juga negeri itu dengan gondol yang satu lagi. Diceriterakan orang, banyak sudah bukit-bukau, gunung-ganang dan belukar rimba di negeri itu telah gondol adanya. Rakus dan haloba sungguh orang-orang kaya negeri itu. Pantang terlihat bukit dan gunung, mahu ditarahnya. Pantang terlihat rimba, mahu digondolkannya. Maka banyaklah rimba yang musnah, pribumi hilang tanah, monyet hilang dahan bergayut dan sungai menjadi mangsa. Diceriterakan orang juga, penguasa negeri cuma melihat sebelah mata. Menggertak sahaja yang pandai, otak dan undang-undang jarang diguna pakai. Tabiat orang-orang di negeri itu, bila sudah terhantuk barulah tengadah. Bila sudah runtuh di sini runtuh di sana, bah di sini bah di sana, mulalah mengelabah, mulalah menuding ke sini menuding ke sana.

Itulah alkisahnya…..

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 6/21/2007 11:07:00 PG. | 47 Ulasan