Khamis, Disember 27, 2007
Biar berselirat, biar terbelit, biar terpulas, biar tersimpul, ia tetap bernama akar.

Akar itu mazbahnya nyawa, yang menyimpan daun menyimpan bunga, menyimpan buah pesonifikasi keagunganNya - M Nasir.

Kami panggil kuih ini djamal kunto, ada yang panggil karmos, atau cucur kembong panggilan Melayunya, atau kuih plontas. Dibelah di tengahnya dan ditaruh sambal kacang, atau boleh juga dicicah begitu saja. [Oh ya, bagi yang bertanya hari itu, lebih-kurang beginilah juga rupa kuih kedumus itu]. Sedap weh! Kalau makan kuih ini, Maya Karin lalu belakang pun tak perasan! Mana nak cari kuih ini di Kay Ell ek?

Saya berhenti sekejap di gerai tepi jalan. Saya jumpa pisang salai dan kerepek ubi perasa lada hitam yang saya suka di situ, tapi saya cuma membeli pisang tanduk. Pisang tanduk ranum bila digoreng, dicicah pula dengan sambal kicap Johor, tambah lagi kalau ada kopi 434 panas, pergh! Menangis wa cakap lu!

Pakcik beca [mungkin dalam lingkungan 77 tahun, atau lebih], sedang mengayuh becanya sambil enak menghisap cerut di bibirnya, di suatu jalan di Bandar Maharani. Tempat duduk becanya berwarna bendera Johor, biru dan merah, bumbungnya pula berwarna kuning. Pakcik ini saya rasa penyokong BERSIH juga agaknya.

Saya seperti tak jemu-jemu mengabadikan imej serupa ini di blog ini. Entah apa kesaktiannya, saya kurang pasti. Mungkin kerana parit - yang semakin sempit dan cetek - di depan rumah atok ini menyimpan banyak cerita zaman kanak-kanak saya.

Pekan Parit Jawa. Pekan yang masih dan sentiasa dekat di hati saya, sehingga ke hari ini. Deretan bangunan asalnya dibina sekitar 1920-30an. Antena yang menjolok awan itu salah satu identiti Muar.

Perencah mi bandung Muar yang dikirim oleh kawan-kawan blogger. Ada kawan kita yang seorang itu menempah sampai 10 paket, ahaks! Saya membelinya terus dari rumah pengusahanya, Wak Mat Rabu [Muor76, kau kenal dengan wak itu kan?]

Saya menemui tempayan - dipercayai berusia lebih 50 tahun - di kawasan rumah atok. Masih elok lagi. Saya cuci bersih-bersih, saya simpan di tepi tiang di bawah rumah. Nanti boleh dijadikan perhiasan laman rumah saya, insyaAllah.

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 12/27/2007 02:27:00 PTG. | 59 Ulasan
Isnin, Disember 17, 2007
Dua Ribu Tujuh.

"Bang, kereta sudah siap.....!."

Lamunan tenang saya terkocak, terganggu oleh suara garau lelaki pekerja pusat mencuci kereta itu. Lelaki berkulit gelap, berbaju comot, berseluar senteng dan berjanggut serabai itu menghulur kunci kereta sukan berwarna ungu yang sudah berkilat itu. Saya merogoh kocek kanan seluar saya. Saya hulur sekeping wang kertas berwarna hijau dan dua keping lagi berwarna biru kepadanya.

Saya menghidupkan enjin kereta, mengundurkan kereta saya ke petak kosong berdekatan dan membiarkan enjin melahu seketika. Saya menoleh semula ke arah blok-blok bangunan konkrit bersegi di hadapan saya itu. Bas-bas panjang dan pendek berwarna kuning berbaris berhampiran pintu pagar, kereta-kereta kecil dan besar bersusun berasak-asak di bahu jalan, sedang motorsikal pula menyelit-nyelit mengemis ruang. Masing-masing menjadi penanti yang sabar dan setia. Menanti loceng terakhir sekolah sesi pagi berdering.

“Bertuah sungguh anak-anak zaman sekarang. Ke sekolah, pergi pagi berhantar, pulang tengahari berjemput. Malam ke tuisyen, berhantar dan berjemput juga. Di bangku sekolah rendah lagi sudah punya telefon bimbit sendiri. Kami dulu cuma punya lastik dan senapang kayu. Mereka bermain komputer dan playstation, kami dulu bermain baling kasut, baling tin, getah tagen. Anak-anak kota hari ini generasi senang dan selesa. Tak perlu bersusah-payah masuk ke kebun getah atau membantu emak dan ayah bergulat di dusun.” Saya mengusap-ngusap parut di siku tangan kanan saya - parut bekas terbongkang ke dalam parit, tergelincir di titi kayu semasa menolak basikal bersangkak berisi nanas semasa kanak-kanak dahulu.

Walaupun zaman kanak-kanak saya dan Angah dulu agak payah tapi hari ini saya bersyukur melalui zaman itu. Zaman yang jauh berlainan dari zaman kanak-kanak hari ini. Begitupun saya percaya, saya dan Angah masih beruntung. Ada kanak-kanak lain yang jauh lebih payah dan melarat hidupnya berbanding kami. Dan saya juga percaya, di dalam setiap kepayahan itu tersembunyi hikmah di sebaliknya. Kepayahan itu yang mengingatkan saya hari ini pada akar dan asal usul saya. Kepayahan itu juga yang menguatkan saya menempuhi hari ini dan hari-hari yang bakal mendatang.

Saat dan ketika ini, kalau adapun yang membuat saya rasa hiba dan sayu, adalah zaman-zaman indah dan jalur-jalur kehidupan silam yang telah semakin jauh saya tinggalkan itu. Zaman yang tak mungkin dapat saya putar kembali, namun mana mungkin dapat terpadam dari ingatan. Kenangan itu akan terus tercatat selama-lamanya di lipatan riwayat hidup saya.

Untuk seketika, sambil menyapu perlahan-lahan kelopak mata yang mula digenangi cecair jernih, saya relakan kenangan silam yang bertandang itu terusir perlahan-lahan dari lamunan saya.

[Habis]

------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya akan berpergian, ke luar kawasan. Mungkin sekejap, mungkin lama. InsyaAllah, kita akan berjumpa lagi nanti. Saya tinggalkan laman ini dengan berkongsi, sekali lagi, cerita Alon-alon angger kelakon I dan Alon-alon angger kelakon II.

Salam kemaafan, salam Aidiladha untuk semua. Jaga diri.

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 12/17/2007 01:27:00 PTG. | 56 Ulasan
Rabu, Disember 12, 2007
Jumaat dan sabtu. Sekolah bercuti. Pun begitu bukan hari untuk saya dan Angah berehat-rehat dan bermalas-malas. Pagi-pagi lagi, waktu kanak-kanak lain seusia kami di pekan sana mungkin masih melayan mimpi, atau sedang bersenang-senang, kami sudah tercongok di kebun getah atok. Sambil menjinjing baldi, kami mengangkit susu getah dari satu pokok ke satu pokok sambil mengompel sisa-sisa susu getah yang telah membeku di cawannya.

Selesai di kebun getah atok, saya dan Angah bergegas pula ke kebun getah Cina di baruh, tempat abah mengambil upah menoreh. Di sudut belakang kebun getah itu semak-samunnya membelukar separas dada. Ada yang sudah melepasi paras kepala saya. Hanya lorong sempit di antara pokok getah menjadi laluan. Itupun perlu pandai mengelak-ngelak dan menepis-nepis. Lengan, juga leher saya sudah lali digaris dan dicalar duri-duri renek mempelas dan sendayan. Itu belum lagi didera gigitan nyamuk dan agas. Bintat-bintat, pedih dan menggatalkan.

Menjelang tengahari, kami bergegas pula ke bangsal getah tauke Cina itu. Saya menolong abah ngebris - proses meleperkan getah keping dengan memusing stereng mesin penggelek sehingga bongkah getah kenyal empat segi bujur yang terbentuk dari takungannya itu meleper, akhirnya menjadi kepingan nipis yang bercorak garis-garis lurus.

Hari jumaat dan sabtu saya dan Angah memang meletihkan. Terasa juga menjemukan. Tapi senyap-senyap kami sembunyikan kejemuan kami itu dari abah dan emak. Itu sahaja dunia hari cuti kami. Bagaimanapun, dua minggu sekali, bila tiba hari menimbang - hari gaji abah - keletihan dan kejemuan itu bagai terhalau jauh. Abah tidak lokek menghulur satu dua keping wang kertas untuk saya dan Angah. Itu sudah cukup mewah buat kami. Kemudian saya dan Angah berpakaian lawa-lawa. Kami mengikut abah berbelanja di pekan. Berjalan-jalan di pekan kecil, yang hanya diisi deretan bangunan lama pra-merdeka itupun sudah cukup menggembirakan kami. Kami membeli komik seperti Bujal, Gila Gila, Geli Hati, Wak Dojer, juga tak lupa jajan untuk adik kecil kami.

Hari cuti, sesekali kami bermain badminton. Kami takut untuk meminta abah membelikan kami raket. Atoklah yang membuatkan kami raket dari papan. Bulu tangkisnya kami kutip di gelanggang orang muda kampung sebelah. Sesekali kami bermain bola plastik di laman. Sesekali juga kami bermain kuda kepang olok-olok, polis-polis, nyanyi-nyanyi bersama kawan-kawan sekampung yang rata-ratanya lebih tua dari saya, tidakpun seronok mengacau adik perempuan kami dan kawan-kawannya bermain pondok-pondok dan kahwin-kahwin.

Bila tiba musim mengutip buah, saya, Angah dan adik akan mengekor abah, emak dan atok ke dusun atok. Kami bagaikan berkelah. Kami membawa tikar, bontrot dan radio. Saya dan Angah sama-sama mengumpul buah kelapa dan nanas. Kami sama-sama memetik buah kopi. Kami sama-sama menolak basikal Jaguar bersangkak yang dituntun abah, yang sarat berisi nanas dan kelapa itu ke jalan besar. Kami sama-sama mengompel kelapa salai. Kami ikut memerun, memancah dan menajak - menyibuk sebenarnya.

Dusun itu banyak merakam tawa dan tangis saya dan Angah. Dusun itu melihat keakraban kami. Kami bebas. Panjat-memanjat, bergumpal, bertumbuk dan kejar-mengejar. Kami bermain lontop dari batang buluh, lastik dari cabang pokok kopi, tembak-tembak dari batang belemban. Tubuh kami bagai sudah alah dengan calar balar duri semak dusun, sudah lali dengan lebam bergasak di atas tanah, sudah mesra dengan luka-luka terjatuh. Dusun itu menjadi saksinya.

[Bersambung...]

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 12/12/2007 06:07:00 PTG. | 36 Ulasan
Isnin, Disember 10, 2007
Warna pagi masih kelam. Matahari masih segan-segan, baru bangkit dari tidurnya. Saya menyorong keluar basikal Raleigh hitam berpalang yang bersandar di tiang bawah rumah. Menuntun dan mula mengayuh. Angah membontoti saya di belakang. Jarak dari rumah ke sekolah kami berbatu-batu jauhnya. Kami meredah lorong tanah gambut di celah-celah pokok getah, menyusuri jalan pintas di kebun kelapa sawit, juga melewati sisi dapur rumah orang. Bila hujan, jalan benyek dan becak di sana sini, saya dan Angah membungkus kaki kami - yang sudah bersepatu Warrior berkapur putih itu - dengan plastik. Sepatu dan stokin kami selamat dari percikan liar air tanah dan merah batu laterit.

Hanya sesekali saya dan Angah merasa dihantar dan dijemput abah dengan motorsikal Honda C70 abah itu. Itupun bila tayar basikal kami pancit atau bila hari hujan lebat - yang memaksa abah terpaksa bercuti menoreh.

Tengahari. Seusai kelas sekolah kebangsaan, saya dan Angah bergegas-gegas pula menukar pakaian seragam kami kepada baju teluk belanga putih, bersongkok dan bersampin hitam. Kami bersiap-siap untuk ke sekolah agama pula. [Di negeri itu, bila murid sudah sampai darjah dua atau tiga sekolah kebangsaan, wajib pula mendaftar darjah satu sekolah agama kerajaan negeri].

Petang, sehabis kelas sekolah agama, kalau tidak melencung ke mana-mana padang bola, kalau tidak berkubang di mana-mana parit atau kalau tidak singgah di mana-mana rumah kawan, kami cepat-cepat berkayuh pulang ke rumah.

Malam. Pukul lapan suasana di sekeliling rumah kami sudah sunyi sepi. Gelap malam cuma diterangi cahaya lampu pam cap kupu-kupu dan liuk api dari sumbu pelita minyak tanah. Makan malam kami seadanya. Kami bersila di atas tikar mengkuang mengelilingi dulang besar. Berlaukkan ikan, sayur - biasanya pucuk ubi, pucuk paku atau daun so yang emak petik di tepi laman rumah, sambal - samada sambal belacan, sambal tutuk atau sambal tumis dan ikan kering - selalunya gereh bulu ayam, layur atau kapak. Ada ketikanya, di waktu-waktu sedang kesempitan, juadah kami cuma berlaukkan ikan bilis goreng dan sayur pucuk ubi.

Rumah kami tiada tv. Hiburan yang ada cuma sebuah radio pemain kaset separuh rosak, yang terkulai antenanya. Radio itu perlu ditepuk-tepuk dan digegar-gegar dahulu sebelum mendapat siaran yang jelas. Kalau sesekali kepingin menonton cerita Melayu, kami bertandang ke rumah jiran, nun di hujung kampung sana. Suara dari peti tv di sudut ruang tamu itu sesekali diganggu deruman generator yang mengaum sayup-sayup di bangsal belakang dapur.

Malam juga waktu saya dan Angah belajar mengaji Al-Quran. Anak-anak jiran yang sebaya dan ada yang tujuh lapan tahun lebih tua dari saya juga menumpang belajar sama. Emak cukup garang bila mengajar kami mengaji. Pantang tersilap sedikit, seperti mahu tertanggal cuping telinga saya dan Angah dipiatnya.

[Bersambung...]

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 12/10/2007 02:07:00 PTG. | 44 Ulasan
Khamis, Disember 06, 2007
Lapan Puluhan.

Di sebuah daerah, di dalam sebuah negeri paling selatan. Kampung kecil itu sepi, tersorok dan terperosok. Jauh tersembunyi, dipagari belukar, kebun getah dan ladang kelapa sawit. Sedang kampung-kampung di jalan besar dan bersebelahan pekan kecil di kaki bukit sana sudah dijengahi pembangunan - bekalan elektrik dan air sekurang-kurangnya - kampung itu masih belum punya apa-apa. Bagai terpinggir.

Rumah paling hujung itu sunyi dari tetangga. Rumah itu tidak bercat. Papan dindingnya nampak kusam. Beratapkan zink yang bertompok-tompok karat dan keropos di hujungnya. Di hadapan dan di tepinya ada anjung tidak berpagar. Lamannya lapang, rata, tidak berumput. Ada ampaian dawai di pojok kirinya, di bawahnya renek puding, bunga kertas dan siantan tersusun berselang-seli. Itulah rumah kami. Rumah itulah syurga kami. Syurga saya, syurga atok, syurga abah, syuga emak juga syurga dua orang adik saya - seorang lelaki dan seorang perempuan. Rumah itu yang terindah buat saya.

Pagi masih segelap selalu. Sesejuk pagi-pagi sebelumnya. Azan subuh sayup-sayup hening berlagu syahdu dari surau di hujung kampung. Saya dan Angah, cuma berbalut kain sal, dengan malas bergilir-gilir menggosok gigi di pelantor dapur. Kemudian kami bergilir-gilir pula mandi. Kami duduk bertenggek, bugil di anak tangga kayu, di perigi di tepi anjung hadapan itu. Kedinginan hembusan angin pagi dan kesejukan air perigi yang birat itu terasa amat menyeksakan. Begitu menggigit tubuh, menyentuh tulang-temulang kami, sehinggakan mandi pun seperti olok-olok, kami menggayung air sekadar membasahkan tubuh, sesempatnya. Dalam kegigilan begitu, sabun pun jarang saya sentuh. Kalau adapun bagi menyental daki-daki jahat di telapak kaki.

Baju seragam sekolah kami, kemeja putih dan seluar biru, sudah siap tersidai di ampai dawai, di tepi dapur, bersebelahan gerobok tempat emak menyimpan cawan, pinggan dan mangkuk. Baju dan seluar itu sudah bergosok. Kami menggosoknya sendiri. Sesekali emak yang menggosoknya. Seterika arang berkepala ayam jantan itu memang sudah banyak budinya kepada keluarga kami. Bila musim hujan, pakaian tidak kering di jemuran, dengan seterika itu jugalah emak mengeringkan pakaian kami. Emak akan menggantungkan pakaian-pakaian itu di atas tungku dapur dahulu sebelum menggosoknya. Walaupun pakaian kami akan berbau asap, itu sajalah caranya.

Seperti selalunya, sebelum emak ke kebun getah atok di belakang rumah, emak sudahpun menyiapkan sarapan pagi kami. Sesekali pisang goreng bercicahkan gula, sesekali ubi rebus atau ubi getuk, sesekali keladi satah rebus bercicahkan inti kelapa bergula, sesekali jemput-jemput ataupun lempeng bercicahkan sambal tumis. Sesekali kami bersarapan agak mewah sedikit; epok-epok, kedumus bercicah kuah kacang, roti prata ataupun bihun goreng.

Dan seperti selalu juga, emak akan bekalkan kami dengan bontrot nasi berlauk sambal tumis, telur dadar dan sebotol air sirap untuk dibawa ke sekolah.

[Bersambung...]

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 12/06/2007 04:07:00 PTG. | 39 Ulasan
Selasa, Disember 04, 2007
Minggu sudah. Sas menempah kek cawan dari blogger merangkap usahawan kek cawan, sdri. Pnut. Sdri Pnut kemudian bertanyakan Sas, via sms, reka bentuk macamana yang Sas nak.

Saya pun menyibuk. Saya hantar sms kepada sdri. Pnut.

Saya :
Salam. Sas ada tny aku nk kek cwn mcmana? Aku kata, letak design wakaf kat atas dia. Boleh buat tak? Hehehe.

Pnut :
Muehehe.. Aku wat gmbo keter kaler purple je la..Wakaf kaler purple gak ler..Sensitif wei..Bajet dah abeh nk wat wakaf..

Saya :
Kalau mcm tu, aku nk kau buatkan kek acuan bntuk kereta sport pakai rim 19 in & satu lg bentuk acuan gazebo, ada air terjun sblh dia. Perisa cokelat tau. Confirm k? Hahaha. Mcamana wkf bole trlbh bajet?

Pnut :
Koser mak layan ouls.. Bajet lari x dpt kejor yop wei..

Saya :
Hahaha. Tak apa, janji rmh cantik. Oklah, nk dating jap. Tak sabor nk rasa kek kete & wakaf esok nih.

Image Hosted by ImageShack.us

Hehehe. Itulah rupa kek cawan itu. Sebenarnya saya cuma bergurau, rupa-rupanya dibuatkannya betul-betul. Terharu sungguh saya. Terima kasih banyak-banyaklah ya sdri. Pnut. Semoga terus sukses dalam industri kek cawan itu. Sesiapa berminat nak tempah, klik SINI [Kena minta komisen ni..he he he]

[Tapi masih tak puas hati lagi ni. Saya nak wakaf dan kereta sukan itu dalam bentuk tiga dimensi, bukan gambar. Lagi, gambar itu tak nampak macam kereta sukan pun? Rim itu, tak macam rim 19 inci pun? Dan wakaf itu, mana air terjunnya? He he he]

[Maafkan kami menggunakan 'bahasa rojak' dalam sms di atas]

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 12/04/2007 03:27:00 PTG. | 39 Ulasan