Khamis, Oktober 09, 2008
I
Dia sedang beradu. Lena. Dalam senyap dan diam saya pandang wajahnya. Cantik. Redup dan sayu. Di wajahnya tersembunyi seribu cerita. Suka, duka.

Saya kucup di dekat keningnya. Saya belai pipinya. Dalam senyap dan diam. Saya tak ingin mengganggu mimpinya.

"Aku ingin kamu tahu, jika Tuhan mengizinkan, aku sebenarnya tak ingin jauh dari kamu, aku ingin selalu dekat dengan kamu."



II
Selama beberapa hari, rumah berdinding dan berlantai papan dan beratap zink itu tak pernah sunyi dari keriuhan. Sabrina [9], Balqis [8], Haikal [6], Hakim [4] dan Haziq [3]. Lima orang cucu emak dan abah itu sudah cukup membuat rumah peninggalan atok itu bergegar, tunggang langgang dan bagai mahu roboh jadinya. Kalaulah rumah itu boleh bersuara, sudah meronta-ronta dan menjerit-jerit kesakitan agaknya.

Suara-suara, jeritan, ketawa dan tangisan bersilih ganti. [Itu belum lagi tangisan Qaisara, 3 bulan]. Anak-anak kucing juga terseksa dikerjakan kelima-lima mereka. Anak ayam itupun kalaulah tidak kerana kegarangan ibunya, pun habis dikerjakan mereka juga. Manalah emak dan abah tak pening kepala.

Tapi itu semua hiburan bagi saya. Melihat keletah dan kenakalan anak-anak buah membuat saya bisa tersenyum semula, dan kabur sekejap keserabutan otak saya.

Petang ahad itu sewaktu kami adik-beradik sedang berkemas untuk balik ke kota semula, emak duduk diam di sofa, dan abah senyap menyandar di tiang pintu. Memerhatikan kami memuatkan beg-beg kami ke dalam kereta-kereta kami. Dengan pandangan yang sayu dan hiba.

“Nanti bila semua dah balik, sunyi balik rumah ini,“ kata emak, perlahan. Dan saya lihat matanya sudah mula berkaca-kaca.

Empat dari enam cucu-cucu emak dan abah



TTFN

Label: ,

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 10/09/2008 05:27:00 PTG. | 59 Ulasan
Isnin, September 15, 2008
Malam yang lewat. Saya berdiri di tepi jendela ini. Dingin, pegun, diam dan keseorangan. Pandangan saya berlegar-legar di sekitar objek dan imej di hadapan saya. Kenderaan yang bertali arus. Lampu-lampu jalan yang suram. Jejeran spesis Polyalthia longifolia. Objek-objek tertulis Petronas, Honda dan Perodua. Semuanya menjadi saksi bisu, yang saya pernah hadir di kamar ini.

Angin malam menyapa saya. Dan bertanya. Untuk apa sebenarnya saya berada di sini. Mencari penawar kesakitan yang panjang? Atau mengejar sesuatu yang belum pasti? Entah. Saya mungkin tak pernah akan menemui jawapannya.

Malam ini, dan di kamar ini. Ada seribu cerita. Cerita indah, cerita gundah.


UH
12/09/2008
12.27 tghmlm.

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 9/15/2008 10:27:00 PG. | 30 Ulasan
Jumaat, Jun 27, 2008
Saya capai sehelai kertas. Kertas putih bersih. Dari sebuah kotak. Berbentuk empat segi sama. Kemudian saya capai sebatang pena. Berdakwat hitam pekat.

Jejari saya mula melakar. Garis-garis lurus. Garis-garis melengkung. Garis-garis membujur. Garis-garis melintang. Kemudian saya lakar bentuk-bentuk. Bulat. Lonjong. Empat segi. Tiga segi.

Dan sekejap kemudian kertas itu sudah menjadi tidak putih lagi. Kertas itu sudah menjadi sarat dengan garis-garis lurus. Garis-garis melengkung. Garis-garis membujur. Garis-garis melintang. Sudah sesak dengan lakaran bentuk-bentuk. Bulat. Lonjong. Empat segi. Tiga segi.

Kemudian, dengan tiba-tiba kertas itu hidup! Tuhan telah memberinya nyawa! Kertas itu membesar. Lakaran-lakaran di dadanya ikut membesar dan merebak. Membesar dan merebak. Membesar dan merebak. Kemudian kertas itu bangkit dari pembaringannya. Berdiri dan memandang saya. Bulatan-bulatan di dada kertas itu merenung saya. Tajam, berapi dan menakutkan. Garis-garis yang berceracakan itu menjadi bilah-bilah lembing, menghunus ke tubuh saya. Saya mahu bangkit tetapi garis-garis melengkung itu sudah menjadi tali-temali yang membelit dan mengikat saya. Bentuk-bentuk tiga segi dan empat segi itu sudah bertukar menjadi kotak-kotak. Saya terperangkap. Saya terpenjara.

Dan kertas itu terus membesar dan membesar dan membesar dan bertukar menjadi hitam. Menggamam dan menakutkan. Saya lemas. Saya takut. Saya terasa lembing-lembing itu menikam dada saya dengan rakus, bertubi-tubi. Saya mahu menjerit kesakitan tetapi suara saya sudah tiada. Saya bisu. Segalanya gelap. Saya buta. Sekeliling saya senyap. Saya sudah tidak mampu mendengar apa-apa lagi. Saya kaku.

Jangan. Jangan. Jangan. Jangan ditalkinkan saya. Saya belum mati lagi.

TTFN

Label: ,

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 6/27/2008 02:27:00 PTG. | 50 Ulasan
Jumaat, April 11, 2008
Petang beransur senja. Saya menghampiri pintu pagar rumah saya itu dengan malas, jemu dan gontai. Di pinggir jalan itu, seekor anak anjing terbaring kaku, sudah tidak bernyawa. Lalat-lalat liar menghurung. Kasihan, matinya dengan jiwa yang kosong, sepi dan terbiar.

Malam saya rasakan tidak semesra malam-malam selalu. Sedang mata tidak teruja untuk lena. Saya rasa terganggu. Bukan kerana kenakalan mukus hidung saya yang cair dan hangat yang tidak henti-henti mengalir itu. Bukan kerana gigitan berbisa di segenap sendi. Dan bukan juga kerana bayangan anak anjing malang itu.

Begini. Mimpi kelmarin membakar jiwa saya. Saya ingin mencari jawapan. Lalu bersendirian dalam sunyi malam yang resah, saya menguji diri. Saya akur kerana saya yang mengizinkannya. Saya merenung dalam gelap sedang kegelapan itu disebabkan saya sendiri yang memadam sinar cahayanya.

Saya ingin mencari ruang yang sengaja saya sempitkan. Saya ingin mencari diri saya sendiri. Saya merindukan sesuatu yang cerah, yang damai, yang hakiki, yang satu. Dalam kegelisahan malam yang panjang itu, saya cuba berpuisi tapi saya ketandusan kata-kata. Akhirnya saya lakarkan sebuah lukisan. Lukisan camar yang ingin terbang pulang tapi terluka sayapnya. Di bawahnya saya catatkan kata-kata yang entah apa-apa, yang saya sendiri masih mencari maknanya. Saya sengaja merungkaikannya sehalus mungkin. Kemudian saya membiarkan fikiran kosong, sunyi dan diam.

Dan malam saya berlalu begitu lesu dan panjang. Kemudian bayangan anak anjing malang itu datang dan pergi, berbalam-balam dan bagai bersuara, “jiwamu masih punya nyawa, jasadmu masih mempunyai roh dan hidupmu tak mungkin akan jadi gelandangan seperti aku. Bersyukur dan pulanglah..,” berulang-ulang, sayup-sayup, sehingga lena menjemput saya di dua pertiga malam.


Catatan;
Mungkin kamu seperti pernah atau memang pernah membaca cerita yang lebih-kurang seperti cerita itu. Tapi apalah yang ingin dihairankan. Kita sering di didatangi peristiwa yang serupa berulang-ulang kali dalam hidup kita. Kita juga pernah bermimpi mimpi yang serupa berulang-ulang kali. Bukan begitu?

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 4/11/2008 03:27:00 PTG. | 38 Ulasan
Jumaat, April 06, 2007

Petang beransur senja. Aku menghampiri pintu pagar rumahku itu dengan malas dan jemu. Di pinggir jalan itu, seekor anak anjing terbaring kaku, sudah tidak bernyawa. Lalat-lalat liar menghurung. Kasihan, matinya dengan jiwa yang kosong, sepi dan terbiar.

Malamku tidak semesra malam-malam selalu. Sedang mata tidak teruja untuk lena. Aku rasa terganggu. Bukan kerana kenakalan mukus hidungku yang cair dan hangat yang tidak henti-henti mengalir itu. Bukan kerana gigitan berbisa di segenap sendi. Dan bukan juga kerana bayangan anak anjing malang itu.

Begini. Mimpi kelmarin membakarku. Aku berkira-kira untuk mencari jawapan. Lalu bersendirian dalam sunyi malam yang resah, aku menguji diriku. Aku akur kerana aku yang mengizinkannya. Aku merenung dalam gelap sedang kegelapan itu disebabkan aku sendiri yang memadam sinarnya.

Aku ingin mencari ruang yang sengaja aku sempitkan. Aku ingin mengenal kedegilanku. Dalam kegelisahan malam yang panjang itu, aku cuba berpuisi tapi aku ketandusan kata-kata. Akhirnya aku lakarkan sebuah lukisan. Lukisan camar yang ingin terbang pulang tapi terluka sayapnya. Di bawahnya ku catatkan, “Aku rela mengalah, aku lontarkan keegoanku ini sebagai suatu manifestasi dan makna yang selama ini dicari-cari, itupun kalau minda sudi mencari maknanya”. Aku sengaja merungkaikannya sehalus mungkin.

Kemudian aku membiarkan mindaku kosong, sunyi dan diam. Aku sememangnya selalu begitu.

Dan malamku berlalu begitu lesu dan panjang. Kemudian bayangan anak anjing malang itu datang dan pergi, berbalam-balam dan bersuara, “Jiwamu masih punya nyawa, jasadmu masih mempunyai roh dan hidupmu tak akan gelandangan, bersyukur dan pulanglah..” berulang-ulang sehingga lena menjemputku di duapertiga malam.

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 4/06/2007 03:07:00 PTG. | 54 Ulasan