Jumaat, September 28, 2007
Saya telah ditag sekali lagi oleh sepupu Sophia Latjuba. Saya alihbahasakan tag asal ke bahasa Melayu dan bahasa Jawa [Untuk versi bahasa Jawa sila ke SINI]

4 perkara/benda yang menakutkan saya
[1]Seksaan kubur [2]Api neraka [3] Lemas [dalam laut, kolam, apa-apa sajalah asal dalam air] [4]Gila

4 orang yang membuatkan saya ketawa
[1]Orang yang menggeletek saya [2] Pak Lah [3] Kawan, Musa [bukan nama sebenar] bila dia menonton cerita di tv] [4] Ketua Polis Negara

4 benda yang saya suka
[1]’Garis langit’ saya [2]Blogging [3]Merapu [4]Makanan Jawa

4 perkara yang saya benci
[1]Menunggu [2]Mencabut bulu hidung [3]Bekalan air terputus [4]KERAjaan korup

4 perkara saya tak faham
[1]Islam Hadhari [2]Bagaimana imam boleh menipu orang [3] Kenapa bini imam tak pakai tudung [4]Kenapa anak imam tak tutup aurat

4 benda di atas meja saya
[1]Bukunota Dell [2]Tiga fonsel Nokia [3]Pacu ibujari Kingston [4]Tetikus mini beroptik

4 perkara saya sedang lakukan sekarang
[1]Duduk di kerusi [2]Menaip [3]Menguis bulu mata Image Hosted by ImageShack.us [4]Mengira tahi lalat

4 perkara saya ingin lakukan sebelum dipanggil Tuhan

[1]Ibadah haji [2]Amal jariah [3]Menjadi datuk, bapa, suami, anak dan cucu yang soleh [4]Taubat nasuha

4 perkara yang menggambarkan diri saya
[1]Gila-gila [2]Malu - tapi mahu Image Hosted by ImageShack.us [3]Lucu [4]Kacak Image Hosted by ImageShack.usImage Hosted by ImageShack.us

4 perkara saya tak boleh lakukan
[1]Murtad, nauzubillah [2]Mengandung [2]Bersalin [3]Gelek gerudi


Saya rasa saya ingin mengetag Mark Dacascos , VK Lingam, Robert Kiyosaki dan Made Wijaya Image Hosted by ImageShack.us

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 9/28/2007 11:07:00 PG. | 46 Ulasan
Selasa, September 25, 2007
Tengahari itu kami ke Endah Parade di B.B. Sri Petaling. Sementara puteri ke butik Avon, aku melilau, berkeliaran mencari ilham.

Seorang wanita yang sedang duduk-duduk di hadapan sebuah pusat urut telah menggodaku agar masuk ke tempatnya. Dipendekkan cerita, kami akhirnya telah berada di dalam pusat urut itu [perlu ditekankan di sini, urut refleksologi ya, bukan urut lain…]

“Saya macam pernah nampak awaklah. Di mana ya?” Kata seorang tukang urut lelaki yang agak muda itu ketika aku mula merendamkan kaki.

“Saya memang biasa masuk tv…” Kataku, selamba. Puteri sudah mula tergelak-gelak .Lelaki itu berkerut sekejap wajahnya, mungkin meneka-neka, mengingatkan sesuatu atau mungkin juga kagum agaknya kerana ada selebriti yang datang berurut di tempatnya.

“Inipun saya senyap-senyap datang sini, takut nanti kalau orang tau, ramai datang minta autograf....” Kataku lagi.

Dialog seterusnya tidak perlulah kuceritakan. Image Hosted by ImageShack.us


Kami memilih sesi berurut selama 40 minit. Cuma RM20 sahaja. Kakiku yang maskulin dan berbulu jarang-jarang itu diurut oleh seorang tukang urut lelaki yang sudah agak berusia.

Sesekali urutannya membuat aku terasa geli, sesekali pula terasa sakit yang amat sangat bila tukang urut yang berlengan sasa itu bersungguh-sungguh memicit dan menekan kuat urat-urat di kakiku. Aku membuat wajah selamba, seperti tiada apa-apa berlaku, sambil konon-kononnya membaca suratkhabar, tidak macholah nanti kalau sampai terjerit, adoiii! Image Hosted by ImageShack.usImage Hosted by ImageShack.us

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 9/25/2007 02:07:00 PTG. | 47 Ulasan
Sabtu, September 22, 2007
Salam,

Saya ingin mengulas ulasan dari kawan-kawan [Sas, butaseni, Mak Su, Zwitterion, Pa’chik, lindosh, ah kim, ila, zino, Tok Nabe, Mr penyu, achik, king, shahril, nur@, Halogamora, khairyn, Nun, Bunga Rampai, Jie dan Manjlara] di entri yang lepas. Terima kasih.

Ya. Kita cuma mampu bersimpati, berdoa dan turut bersedih atas musibah yang menimpa keluarga en. Jazimin. Tuhan lebih menyayangi adik Nurin Jazlin. Begitupun, apa yang kita harapkan dan doakan semoga pelaku kejam yang tidak berhati perut, yang bersifat lebih ganas dari binatang itu dapat ditangkap dan dihukum dengan seberat-berat dan seseksa-seksa hukuman. Elok disula atau dibakar hidup-hidup saja..…..!

Juga semoga pihak polis dapat menggandakan usaha menangkap ‘syaitan’ itu secepat mungkin. Tak usahlah terlalu sibuk dengan kes-kes picisan dan kes-kes yang berbau politik seperti sibuk menangkap orang berceramah tanpa permit dan pembakar bendera itu.

Dari sisi perspektif yang lebih luas diharap juga semoga selepas ini masyarakat kita lebih perihatin dan peka terhadap masyarakat di sekelilingnya. Kita sudah tidak boleh terlalu mengharapkan 100% usaha pihak polis untuk menjaga ketenteraman sekeliling kita dan mengharapkan badan-badan NGO untuk memperjuangkan keselamatan dan kesejahteraan kita. Dalam beberapa hal, kata-kata seperti ‘jaga tepi kain sendiri’ itu sudah tidak boleh dipraktikkan lagi dalam masyarakat kita hari ini. [Saya amat tertarik kepada entri Bunga Rampai - Jihad Ramadan yang mengupas tentang 'jaga tepi kain orang' ini, walaupun mungkin agak berbeza pemakaiannya dengan apa yang ingin saya sampaikan di sini]

Dalam kita mengucapkan tahniah buat Dr Sheikh Mudzaphar dan juga Dr Faiz itu, dari sisi lainnya semoga terhasil manfaatnya usaha Malaysia menghantar rakyat kita ke angkasa lepas itu, jangan nanti dikata Malaysia cuma semata-mata gah untuk mencipta nama [bak ulasan Tok Nabe itu] dan bermegah-megah. [Harus diingat masih ramai rakyat yang miskin, tertindas dan perlukan pembelaan yang sewajarnya. Tiada ertinya negara nampak maju secara kosmetiknya sahaja tapi hakikatnya marhaen dan bangsa sendiri merempat dan mengemis di tanahair sendiri. Apalah ertinya kejayaan seorang rakyat berjaya menjejakkan kaki ke angkasa lepas sedang berpuluh ribu rakyat miskin di tanahair sendiri tak cukup makan?]

Untuk Sas dan Halogamora; Wah! Wah! Mentang-mentanglah Dr Sheikh itu kacak, dia juga yang dipandang ekk [itu satu diskriminasi juga namanya Image Hosted by ImageShack.us ]. Untuk Ila, cuba lawati laman ini. Untuk Bunga Rampai, saya belum memikirkan apa-apa tentang Hari Raya. Mungkin Den Wahab juga pilihan saya tahun ini. Image Hosted by ImageShack.us

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 9/22/2007 02:07:00 PTG. | 36 Ulasan
Khamis, September 20, 2007
[KEMASKINI; Kita dikejutkan dengan berita yang menunjukkan bahawa ujian DNA mayat kanak-kanak di beg sukan itu adalah mayat adik Nurin Jazlin Jazimin. Kasihan.... Buat ibubapa dan keluarga Allahyarham adik Nurin Jazlin, kita cuma mampu menghulurkan rasa takziah dan simpati yang amat. Semoga mereka tabah dan diberi kekuatan menerima ujian, Qada dan Qadar Allah ini. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham adik Nurin Jazlin. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin. Yang pasti sudah ada tempatnya nanti di syurga]

-----------------------------------------------------------------------------------------------

ENTRI ASAL:

Misteri kehilangan adik Nurin Jazlin sehingga ke hari ini masih belum terungkai. Bayangkanlah seandainya adik Nurin Jazlin itu anak kita, adik kita atau saudara terhampir kita. Kita cuma mampu bersimpati dan berdoa, keluarganya merasa lebih dari itu. Semoga di Ramadan yang penuh hikmah dan barakah ini, Allah swt mempermudahkan usaha-usaha untuk mencarinya seterusnya mempertemukan kembali adik Nurin Jazlin dengan keluarganya. Amin. Lawati blog www.nurinjazlin.blogspot.com


Bagi manusia berfikiran waras, beg sukan adalah bekas untuk menyimpan pakaian, tapi bagi manusia yang berfikiran luar batas kewarasan, beg sukan dijadikan tempat untuk menyimpan mayat kanak-kanak tidak berdosa. Bagi manusia yang normal, timun dan terung adalah spesis sayur tapi bagi manusia yang berhati syaitan, timun dan terung dijadikan alat memuaskan nafsu serakah. Kasihan, kanak-kanak secomel itu - yang belum puas mengecap nikmat hidup diperlakukan sekejam itu. Syaitan dan hina sungguh pelakunya! [Babi di Melaka itu jauh lebih mulia dari manusia jenis ini!].


Khabar dari media luar melaporkan, Dr Sheikh Muszaphar terpilih menjadi angkawasan Malaysia yang pertama. [Dipetik dari the Star ]. Belum ada berita rasmi dari media Malaysia kerana pengumuman rasmi dijangka hanya akan dibuat oleh PM pada hari jumaat. Jika laporan media itu benar, bermakna juga Dr Sheikh Muszaphar merupakan pakar bedah ortopediks, pengusaha restoran, peragawan dan blogger Malaysia pertama ke angkasa lepas! Tahniah!

Dan syabas juga kepada Kapten Dr Faiz.



TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 9/20/2007 10:27:00 PG. | 22 Ulasan
Isnin, September 17, 2007
Lewat malam itu, ketika saya mahu mencetak kertas kerja saya, saya dapati dakwat hitam pencetak itu telah habis. Saya merasa agak kecewa lalu saya pun terus tidur. Malam itu kalau saya tidak silap, saya telah bermimpi tetapi saya tidak ingat mimpi apa.

Esoknya saya pergi membeli katrij pencetak baru jenama HP di sebuah kedai alat tulis di Taman Melawati. Taman Melawati itu dekat dengan Zoo Negara. Sudah lama saya tidak ke Zoo Negara. Banyak binatang di Zoo Negara itu sekarang sudahpun tua-tua. Amoi kedai alat tulis itu tidaklah lawa sangat. Tapi walaupun dia tidak lawa tetapi dia baik hati. Orang tua-tua selalu kata, biarlah muka tidak lawa asalkan hati baik.

Katrij itu berharga RM68.00. Saya segan untuk menawar harganya. Bukan kerana Amoi itu baik tetapi kerana di kotaknya sudah ada tanda harga tertulis RM68.00. Saya tidak sangka rupanya saya mendapat hadiah bila membeli katrij itu, iaitu sebuah kipas angin USB berwarna hijau yang sangat comel. Saya sangat gembira tidak terkata kerana mendapat hadiah itu.

Saya terus memasang kipas angin itu pada lubang USB di buku nota Dell lama saya. Saya sangat suka hati.

Sekarang saya tidak lagi akan merasa rimas bila menaip kertas kerja atau blogging kerana saya sudah mempunyai kipas angin yang comel.

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 9/17/2007 01:27:00 PTG. | 53 Ulasan
Rabu, September 12, 2007
Image Hosted by ImageShack.us


SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA BUAT SEMUA. SEMOGA KITA SAMA-SAMA DAPAT MENGHAYATI HIKMAH RAMADHAN KALI INI DENGAN SEBENAR-BENAR PENGHAYATAN. SEMOGA KITA SAMA-SAMA DIBERKATI DAN DIRAHMATI ALLAH. INSYA-ALLAH.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kita baru balik dari peperangan yang kecil untuk berhadapan dengan perang yang amat besar. Para sahabat bertanya, peperangan apa itu? Jawap Rasulullah, iaitu peperangan melawan hawa nafsu” [Hadith Riwayat al-Bayhaqi]


Cerita di perenggan-perenggan seterusnya ini memang tidak kurancang pada awalnya, agak tergesa-gesa dan mungkin nanti kurang tersusun bahasanya.

Begini. Baru sekejap tadi hatiku telah digerakkan Allah untuk memeriksa salah satu akaun e-suratku. Di dalam kotak masuk itu ada berbelas e-surat baru. Disebabkan masaku agak terhimpit, aku terpaksa memilih-milih. Tajuk kiriman dari seorang rakan, sdra. Zek dari persatuan alumni kami itu nampak biasa sahaja, tiada istimewanya. Namun selepas beberapa detik kumembaca baris-baris ayatnya itu jantungku mula bergetar. Catatannya agak ringkas tapi meruntun perasaan.

Sdra. Zek menyampaikan salam dan khidmat pesanan ringkas yang dikirim seorang rakan lama sekolej kediaman semasa menuntut dahulu, cikgu Roslina Baghawi, yang rupanya kini sedang tenat menderita barah serviks. Dan cikgu Roslina memohon sdra. Zek memaklumkan kepada rakan-rakan yang lain.

" Assalamualaikum, di kesempatan yang ada ini, aku nak mintak maaf atas segala kesalahan sepanjang perkenalan kita. Mintak halal yg termakan & terminum. Aku dapat tahu minggu lepas aku menghidap kanser serviks tahap 4B, tahap yg akhir sekali. Kanser dah merebak ke hati and tulang sampai patah tulang pelvis aku. Sampaikan salam pada kawan2 lain"

Buat cikgu Roslina, biarpun kamu mungkin tidak membaca blog ini, kuturut bersimpati dengan penderitaan yang kamu tanggung itu. Apa yang kumampu, hanya mendoakan kesejahteraan kamu, semoga Allah meringankan penderitaan yang sedang kamu rasai itu. Semoga kamu terus diberi kekuatan, tabah dan cekal menghadapi dugaan dan ujian Tuhan itu.

[Kasihan. Dia masih muda……… Harapan saya agar rakan-rakan yang singgah di blog ini pun dapat turut sama mendoakan kesejahteraan cikgu Roslina…Terima kasih]

TTFN

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 9/12/2007 12:27:00 PTG. | 48 Ulasan
Sabtu, September 08, 2007
Muar. Hari jumaat itu.

Masjid itu bersebelahan dengan sekolah rendahku dahulu. Sudah lama juga rasanya aku tidak menjejakkan kakiku di kawasan masjid itu. Masjid yang lama itu sudah tiada lagi. Menjelang Pilihan Raya Umum yang lepas, kerajaan telah menganugerahkan kampung itu dengan masjid baru – di tapak masjid lama. Sebenarnya, aku rindukan masjid yang lama itu. Mungkin kerana masjid yang dibina semasa era penjajah itu lebih neo-klasikal binaannya dan kejohoran sentuhannya. Mungkin juga kerana banyak kenangan lampau yang tersembunyi di masjid itu.

Di situlah tempat kami menyorok sewaktu ponteng kelas Bahasa Arab sewaktu bersekolah agama dahulu. Kolah di tepinya itu jugalah tempatnya Mael Keding yang konon-kononnya ingin membasuh muka itu mencuri-curi meneguk air semasa bulan puasa. Periginya tempat kami duduk-duduk di tangganya sambil menjuntai-juntai dan merendamkan kaki. Tiang bangsal tempat menyimpan keranda di belakangnya itu pula tempat kami menyendengkan basikal kami.

Hari ini, di tepi sebelah kanan masjid itu sudah berpagar dawai. Perigi, kolah dan bangsal itu sudah tiada lagi. Ada sepohon dua dan deretan renek-renek hiasan tertanam di hadapannya, tapi sayang lesu tidak berjaga. Rumpai pula menyubur separas dada di sudut belakang bilik air. Masjid itu walaupun nampak baru tapi bagai sudah hilang jiwanya di mataku.

Ruang di dalam masjid itu agak rendah lelangitnya, tidak bertiang dan lantainya beralaskan permaidani biru. Mimbarnya berukir cantik. Jemaah tidak ramai, sekadar cukup untuk menyempurnakan solat jumaat. Di sudut belakang adalah ruang yang bertabir untuk jemaah wanita. [Masjid itu juga dikunjungi jemaah wanita yang sudah agak berusia untuk sama-sama bersolat jumaat]. Di hadapan mimbar, di saf-saf paling hadapan, bersila jemaah-jemaah yang pernah dan biasa kulihat wajah-wajah mereka lebih sepuluh tahun dahulu. Yang dulu berambut hitam, sekarang sudah memutih dan jarang-jarang. Yang dulu bersongkok, sekarang sudah berkopiah, sudah berserban. Yang dulu berbaju Melayu Teluk Belanga atau Cekak Musang, sekarang sudah berjubah. Mataku merayau-rayau, tercari-cari kalau-kalau ada wajah-wajah jemaah sebayaku yang pernah dan biasa kulihat suatu ketika dahulu. Tetapi tiada. Langsung tiada. Yang ada hanyalah wajah-wajah remaja dan kanak-kanak yang semuanya sangat asing di mataku.

Sepuluh tahun lagi, jika aku diizinkan Allah untuk singgah di masjid itu lagi, mungkin segalanya akan berubah lagi, tidak akan serupa lagi seperti hari ini. Begitupun, entah untuk berapa puluh tahun lagi, aku tetap akan merindukan kenangan yang tersimpan di masjid yang lama itu.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Sebelum Ramadhan sampai, saya ingin menjemput kawan-kawan semua menjamu selera di SINI. Sila-sila. Layan diri. Jangan malu-malu.


TTFN

Label: ,

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 9/08/2007 04:27:00 PTG. | 41 Ulasan
Khamis, September 06, 2007
Muar. Petang khamis itu.

Dari plaza tol Bukit Jelutong aku menyusur dalam rintik-rintik gerimis yang sekejap-sekejap lebat menuju ke arah selatan. Pemanduanku kali ini sengaja kubiarkan santai dan berlambat-lambat. Aku menyusuri Lebuh Raya Utara – Selatan yang sesekali diganggu oleh kon-kon jingga yang berjejeran di pinggir jalan itu dan kemudian berhujung di plaza tol Tangkak. Lalu menyusur pula melalui jalan lama Muar - Tangkak, menyeberangi Jambatan Sultan Ismail, meredah kesibukan Bandar Maharani terus menuju ke pekan Parit Jawa, seterusnya ke Parit Jamil [PJ]. Perjalananku yang selesa dan santai itu bernoktah di situ.

Perjalanan dari jalan besar PJ menuju masuk ke rumah peninggalan datukku itu melalui jalan – atau mungkin lebih jujur dipanggil lorong - yang amat daif keadaannya. Permukaan jalannya berlubang-lubang, berlopak-lopak dan terkopak di sana-sini. Sesetengah lubang hanya dikambusi batu-batu kerikil. Sesetengah lubang dibiarkan melompong begitu sahaja. Mungkin malam sebelumnya hujan turun. Lubang-lubang itu menakung air. Berbentuk-bentuk. Membulat, membujur, bersegi-segi, yang sukar diduga kedalamannya. Aku memandu dengan amat berjaga-jaga dan mengelak-ngelak namun sesekali terlanggar juga lubang-lubang dan bonggol-bonggol di sepanjang lorong itu. Sesekali juga terasa beberapa lantunan yang keras dan tajam mengetuk bahagian bawah keretaku.

Dalam aku menikmati keaslian panorama dan kehijauan kiri-kanan kampung itu, aku mencari-cari erti sebenar pembangunan, juga erti slogan Malaysiaku Gemilang bagi masyarakat kampung itu. Mereka bukan mengimpikan lebuhraya bertingkat mahupun terowong bestari. Apa yang mereka mahukan cuma jalan yang sempurna! Kata emak, aduan jalan rosak sudah berpuluh kali diajukan. Wakil rakyat jangankan kisah, menjengok bertanya khabar pun tidak pernah. Mungkin bimbang rim sukan kereta Mercedes Benznya itu rosak atau jajarannya lari kalau terlanggar lubang bila masuk ke kampung itu. Sabar dan tunggu sajalah mak, dekat-dekat pilihan raya nanti elok semulalah jalan itu, kataku.

Jet mewah RM200 juta boleh! Istana baru RM1.1 bilion boleh! Jalan kampung yang tidak seberapa itu takkan tidak boleh?! Takkan mahu berkira!?

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 9/06/2007 11:47:00 PTG. | 39 Ulasan
Isnin, September 03, 2007
Satu
Aku terpanggil untuk menghayati baris-baris puisi bertajuk Melayu karya Sasterawan Negara Datuk Usman Awang yang dihasilkan beliau sekitar 1996. Puisi ini agak panjang. Aku hanya memetik dan meminjam baris-baris tertentu yang kukira amat tajam, berbisa dan menghiris maknanya.

i
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual.

ii
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

iii
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”.

Fikir-fikirkan…..


Dua
Aku.[Me]Layu. Kaku. Buntu.
Terjepit. Perit. Menjerit-jerit.
Resah. Gundah. Parah.
Buta. Teraba-raba. Di mana; Cemerlangnya? Gemilangnya? Terbilangnya?
Takkan Melayu Hilang Di Dunia. Apanya? Namanya? Jasadnya? Maruahnya?

[Ops! Yang ini bukan puisi. Habis, kalau ini bukan puisi, ini apa? Entah!]

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 9/03/2007 12:07:00 PTG. | 29 Ulasan