Selasa, Mei 30, 2006
Hari ini keluar agak lewat. Waktu-waktu begini MRR2 terutamanya di Pandan Indah tidak begitu sesak, pada kelajuan biasa dalam 30 minit pun sudah boleh sampai ke ofis. Kalau pada kelajuan luar biasa, tak payah ceritalah. Tentu boleh sampai lebih awal dari itu.

Di tempat letak kereta, Jalan Bandar 3, berhampiran Balai Polis. Seorang kakak dan seorang budak perempuan dalam lingkungan 8 - 9 tahun, mungkin emak dan anak. Boot hadapan kereta 'Kancil'nya terbuka. Terbongkok-bongkok kakak itu. Ada botol mineral ditangannya. Anak perempuannya menjilat-jilat ais krim.

Aku mendekati, "ada masalah ke kak?"

"Kereta makcik ni 'temperature' naik la encik........dah telefon anak makcik tadi.....dia kata kena isi air...ni la makcik tengah isi ni...". Kakak itu lebih selesa membahasakan dirinya makcik. Agaknya dia merasa sudah berusia atau memang aku yang kelihatan masih seperti remaja...? He he he.

Aku, " tapi yang itu bukan tempat air untuk 'radiator' kak... itu tempat air untuk 'wiper'.."

"Ye ke..? Makcik manalah tau encik...makcik tau bawak aja...."
Kakak itu seperti malu-malu.

Mujur juga aku parking disebelahnya...

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 5/30/2006 12:16:00 PTG. | 68 Ulasan
Jumaat, Mei 26, 2006
Sebelum

4 sekawan. Di tempat letak kereta Jln Bandar 3. Di depan kedai dobi, disebelahnya kedai roti.

Jam, "kita nak jumaat kat mana ni?"
Aku, " jangan kat Wangsa Melawati dah la... situ 'parking' leceh sikit..."
Isq, "masjid Klang Gate la.. situ cepat habis.."
Hal, "kat Sri Rampai pun best..ada bihun sup power.."
Jam, "macam-macam la korang ni... nak sembahyang ke nak apa?....dah la menumpang... !"

Akhirnya destinasi yang biasa. Masjid yang selalu aku dan Jam pergi.


Selepas

Dah beberapa jumaat aku perhatikan makcik ini. Bukan orang tempatan rasanya. Hari ini makcik itu masih setia di situ. Berhampiran gate masjid sebelah tepi, bersebelahan longkang besar. Bersila macam biasa, macam 2 - 3 minggu yang sudah-sudah. Posisi juga sama. Masih lagi memegang kole plastik warna yang sama, nampak didalamnya beberapa note seringgit dan syiling.

Cuma yang tak sama anak kecil yang diribanya. Hari ini lain. Macam magic. Boleh bertukar-tukar pulak anak makcik ini.

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 5/26/2006 02:38:00 PTG. | 42 Ulasan
Rabu, Mei 24, 2006
Sarapan Pagi

Di sebuah kafe mini milik seorang abang usahawan. Sedikit mee goreng campur sedikit bihun goreng, sedikit sambal tumis dan telur mata. Teh tarik kurang manis.

Aku, 'Bang, kira bang..'
Abang kafe, 'RM3.00...'
Aku menghulurkan sekeping note polimer RM5.00.
Abang kafe,' Tak ada duit tukar la....Boleh bagi duit kecik tak?'

Alahai... itu baru hulur RM5.00... bukan RM10... bukan RM50... bukan RM100.


Makan Tengahari

Aku, Jam dan Isq. Kami di sebuah kedai makan Gantino. Kebiasaannya kami makan tengahari disitulah. Pilihan lauknya banyak, ikannya dipotong besar-besar dan harganya pun agak murah.

Seperti biasa, sambil makan mata entah ke mana-mana.

Jam, 'tengok tu..'
Isq, 'tengok apa dia..?'
Jam, ' cuba la tengok kat kaunter tu..'
Isq, 'ish...ish...ish... kalau licin, putih melepak tak apa la jugak....'
Aku, ' ...macam batang pokok getah tua ..'
Jam, Isq dan aku, ' ha ha ha'.
Jam, ' Cendawan pun boleh tumbuh tu...'
Kami, ' ha ha ha...'

Bukan tiga pasang mata, berpasang-pasang mata yang lain pun. Fokusnya pada dua orang anak dara berseluar pendek. Memang betul-betul pendek. Jauh lebih pendek dan ketat dari boxer tidur aku.......

Aurat?

TTFN

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 5/24/2006 08:57:00 PG. | 47 Ulasan
Sabtu, Mei 20, 2006
Abang K (tiada pertalian genetik dengan Datuk K...), Senior Manager di sebuah bank. Sudah berkahwin. Dah punya anak 4. Abang K memang berduit, masih bergaya cuma perut sudah nampak agak membusut. Petang semalam Abang K keluar date dengan sekretarinya, Lin yang seksi itu. Sempat juga menonton The Da Vinci Code, kemudian pergi makan-makan. Tak sedar jam menunjukkan pukul 11 malam. Sebelum balik Abang K menggolek-golekkan kasut golfnya ke tanah berumput.

Di rumah isterinya menunggu. "Abang balik lewat sangat ni ke mana tadi?"

Abang K, "Abang date dengan Lin....tengok wayang....makan-makan....tu yang lambat tu.." Jujur sejujur-jujurnya.

Isteri, "Abang jangan nak tipu saya...saya nampak tadi kasut golf abang kotor...mesti pergi main golf lagi ni. Janji nak main weekend jer..." Pot..pet..pot..pet.... Bebelannya tak berhenti di situ...

BP: Kejujuran dalam ketidakjujuran..?

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 5/20/2006 09:22:00 PTG. | 52 Ulasan
Rabu, Mei 17, 2006
Sebagai manusia yang diasuh sejak kecil untuk menjadi manusia yang sporting, aku menyahut cabaran Book dalam entry 006 (13/5/06) yang telah 'sudi' tag aku. Terpaksalah merelakannya dalam keterpaksaan. Hehehe...Aku tak akan cerita kepelikan aku. Walaupun Jawanisme aku sederhana tapi inilah hasilnya. Tulisan ini bukan membawa maksud 'kepelikan' tapi aku menganggapnya sebagai antara 'keunikan' 'Jawa' dari perspektif mata aku..

Satu
Huruf dan angka Jawa memang pelik dan unik !


Dua
Bunyi sebutan angka dalam bahasa Jawa kan pelik !!! kalau Jawa Ngoko:
1 – siji, 2 – loro, 3 – telu, 4 – papat, 5 – limo, 6 – enem, 7 – pitu, 8 – wolu, 9 – songo, 10 – sepuluh

Tiga
Bila sebut Parit Jawa di Muor tu, ramai yang terbayangkan masyarakat Jawa ramai di situ, tapi sebenarnya tidak… Pelik kan ! Di Pekan Pt Jawa dan sekitarnya, majoritinya adalah berbangsa Cina dan Melayu. Selain dari asam pedas, ikan bakar, Pt Jawa terkenal seluruh dunia kerana tempat bagi burung2 migrasi. Ecologyasia

Empat
Contoh peribahasa Jawa yang pelik bunyinya. (mungkin tidak pelik bagi orang jawa)
1. Pakulinan iku kodrat sing kapindho
“Jika seseorang dah terbiasa buat sesuatu itu, dia akan melakukannya secara automatik.”

2. Gupak Pulut Ora Mangan Nangkane
“Orang yang sama-sama bekerja keras tetapi tak dapat sama-sama menikmati hasil yang dilakukannya”

Lima
Tak pelik kalau dikatakan orang Jawa rajin bekerja. Yang peliknya, orang Jawa juga cekap dalam pelayaran.

“Orang Jawa sangat berpengalaman dalam seni navigasi. Mereka dianggap sebagai perintis seni paling kuno ini. Walaupun banyak yang menunjukkan bahwa orang Cina lebih berhak atas penghargaan ini, dan menegaskan bahwa seni ini diteruskan dari mereka kepada orang Jawa."

Itu tulisan pelaut Portugis yang menjelajahi samudera dipertengahan abad ke 16, Diego de Couto dalam buku Da Asia pada 1645. Dia juga mengatakan orang Jawa terlebih dulu berlayar sampai ke Tanjung Harapan, Afrika dan Madagaskar dan mendapati penduduk Tanjung Harapan awal abad ke-16 berkulit cokelat seperti orang Jawa. "Mereka mengaku keturunan Jawa..!" Kapal Jung

Enam
Bangsa Jawa adalah antara bangsa terbesar di dunia. Jumlahnya melebihi 100 juta orang. Selain dari tokoh2 Jawa yang terkenal macam Abdurrahman Wahid, Soekarno, Susilo Bambang, Joko Suprianto, Dr Fadzillah Kamsah, Hj Jamali Sadat, Mawi, Blackpurple (hehehe…) dan ramai lagi, kalau nak tau Michelle Branch juga berketurunan Jawa !!! Itu pelik ke ?

Aku rasa nak tag Ontahsapo...tapi tiada obligasi....... hehehe

TTFN


Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 5/17/2006 04:07:00 PTG. | 37 Ulasan
Sabtu, Mei 13, 2006
Seorang kawan, pangkat abang, seorang kontraktor, tadi menelefon. Kereta Wiranya kena 'tarik' khamis lepas sebab masuk 4 bulan ansuran tertunggak. Susah benar kehidupannya sekarang. Projek kurang katanya. Masuk tender dah berpuluh-puluh, belum ada rezeki. Projek kerajaan dia tak mengharap sangat, "kalau tak ada kabel jangan terlalu mengharap, pergi main jauh-jauh", katanya. "Jangan terlalu mengharap RMK-9, kalau bukan kroni", katanya lagi.

5 tahun lepas dia memandu kereta mewah bermata belalang. Itu semasa zaman gemilang. Sekarang untuk survive dia membuat apa sahaja kontrak kecil-kecilan. Malamnya berjualan di midnite market sampai jam 3 pagi. Dia pening kepala. Kereta kena juga dibayar kalau tidak patahlah kakinya. Rumah juga perlu dibayar. Anaknya yang 3 orang semua bersekolah. Perut mereka anak beranak perlu diisi. Isterinya sudah lama menjadi suri rumah sepenuh masa. Simpati aku sampai di situ. Aku cuma boleh membantu sekadar mampu. Maklumlah aku pun kurang projek sekarang.

"Tak apalah ... nanti aku cuba ikhtiar lain", katanya. Dulu kawan yang sama-sama ketawa ramai. Itu dulu. Tapi aku kagum sebab dia kuat semangat dan bukan seorang yang pesimistik. Kontraktor selayaknya begitu. "Kalau susah-susah aku cari Ah Long lah... ", dia memujuk hati sendiri barangkali. Jalan penyelesaian yang nampaknya mudah.

Ah....kehidupan. Begitulah. Macam roda. Aku teringatkan Abang Mat. Sekurang-kurangnya Abang Mat lebih bernasib baik dari kawan aku yang seorang ini.

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 5/13/2006 06:59:00 PTG. | 36 Ulasan
Selasa, Mei 09, 2006

Bow tie

Isteri : Cari apa tu bang?

MP : Bow tie

Isteri : Abang nak ke party ke?

MP : Tak... Abang nak ke Parlimen...


Integriti

MP : Yang mana lebih sikit, tutup sebelah mata sajalah..

Aku : Ooooh...boleh tutup sebelah mata..

MP : Biasalah tu..

Aku : Ooooh....macam tu biasa....


BP: yang tak faham klik kat 'bow tie' & integriti tu..hehehe


TTFN

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 5/09/2006 03:44:00 PTG. | 30 Ulasan
Jumaat, Mei 05, 2006

Tengahari tadi Neeziee lunch di restoran KFC kegemarannya di Pusat Bandar Damansara, tak jauh dari ofisnya. Tak lama kemudian, seorang makcik dan seorang nenek berpimpin tangan masuk dan memilih meja bersebelahan dengan meja Neeziee. Makcik itu memesan seketul zinger burger, kentang goreng regular dan secawan Milo. Makcik itu kemudiannya memotong zinger menjadi dua, kentang goreng dikira satu persatu dan dibahagi dua juga dengan nenek itu. Air Milo itu pun dibahagi dua juga ke dalam satu lagi cawan kosong. Neeziee memerhatikan telatah keduanya dengan begitu minat dan rasa kagum. “Makcik dan nenek ni macam itu sekali saling mengasihi sampai semuanya sanggup berkongsi sama-rata….. sesuai kalau dijadikan contoh ni”

Kemudian makcik itu mula makan bahagiannya, sementara si nenek itu pula cuma melihat. Neeziee merasa agak pelik dan semacam kasihan. Dia memberanikan diri mendekati mereka berdua dan menghulurkan seketul ayam gorengnya pada nenek itu, tapi makcik itu menjawap lembut, ‘tak payah susah-susah dik, terima kasih….. kami memang dah biasa berkongsi makanan macam ni…”

Bila makcik itu siap makan bahagiannya dan mengelap mulut dengan tisu, si nenek masih lagi memandang makcik itu dengan wajah yang sayu tanpa menyentuh pun makanan bahagiannya. Neeziee sekali lagi menghampiri nenek itu, “nek, boleh saya belikan makanan yang lain, mungkin nenek tidak suka makanan yang ini..”

Si nenek menjawap dengan lembut, “ tidak mengapa nak... terima kasih”

Neeziee bertanya lagi, “kalau macam tu kenapa makanan bahagian nenek, nenek tak makan..?”

Nenek, “ saya tengah menunggu gigi..… kena bergilir dengan anak saya ni..”


BP: Moral cerita itu? Terpulang pada perspektif masing-masing........


TTFN

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 5/05/2006 05:49:00 PTG. | 43 Ulasan
Selasa, Mei 02, 2006
Kopi 434 yang terkenal di Muor. Dah banyak kopi aku rasa tapi kopi 434 ini jugak best. Mungkin sebab ditambah margerine. Bukan nak promosi (aku bukan ada share pun....). Sedap diminum begitu saja ataupun dicampur susu. Lebih sedap lagi kalau ada pisang tanduk goreng dan sambal kicap.


Medan Asam Pedas Parit Jawa. Memang dah terkenal. Kalau hari minggu memang sesak. Pengunjungnya dari pelbagai kaum dan tempat, ramai juga yang datang dari Singapura semata-mata untuk menikmati kelazatan asam pedas Parit. Jawa ini.



Di kampung sekarang belum musim buah. Buah-buahan macam rambutan baru nak berbunga. Kalau ada pun yang dah berbuah; mempelam, buah pisang, jambu air, kedondong dan buah getah...


Aku sempat meronda di jeti nelayan pantai Leka di Parit Jawa semata-mata nak tangkap gambar ini. Ramai juga abang dan pakcik-pakcik yang pandang-pandang bila aku tangkap gambar. Ada yang bukan main lagi posing tapi maaf lah, gambar abang dan pakcik tak ada di sini......



Pisang salai ini aku beli di tepi Jalan Muar - Tangkak. Kombinasi rasa kelat, manis dan rasa asap..!!!


Inilah kapcai pertama abah. Masih elok walaupun dah lebih 20 tahun. Tersimpan di bawah rumah. Sesekali bergerak pun ke kedai ataupun ke surau. Kapcai ini jugalah yang sesekali aku pinjam untuk melaram semasa bersekolah menengah dulu. Besar juga jasanya kapcai ini...


Mi siput. Makanan ini cukup popular di Johor. Mi ini digoreng dan lebih sedap kalau dicicah dengan sambal. Sesuai dimakan di tepi tangga sambil mengumpat atau menonton tv. Dibuat sambal masak lemak pun sedap juga.



Ini aku panggil ikan kapak. Ikan masin kesukaan aku. Setiap kali balik Muor mesti beli banyak-banyak buat stok untuk 1-2 bulan. Walaubagaimanapun, bagi yang ada kurap ataupun penyakit 'gatal' tidak digalakkan makan ikan ini.



Pokok Bemban. Ramai tak kenal pokok yang dah hampir pupus ini. Masa aku kecik-kecik dulu pokok inilah kami adik beradik guna untuk membuat senapang dan tombak mainan. Kulitnya boleh digunakan untuk membuat tali. Batangnya juga sesuai untuk sebat....


Pemandangan biasa di Muor. Antenna tinggi mencecah awan. Di sini tak ada Astro pun tak apa sebab boleh tengok channel tv Singapura dan Indonesia. Kalau nak tengok Doraemon cakap Indonesia tengoklah channel Indonesia

Pemandangan Bukit Mor. Dulu-dulu orang takut nak lalu sini sebab diaorang kata berhantu. Tak tahu lah betul ataupun tak. Sekarang bukit ini dah dijadikan tempat bagi orang-orang yang terasa nak belajar panjat dan daki bukit.


Landskap di kampung. Kombinasi pokok ornamental, pokok buah dan tanaman komoditi. Gabungan Ixora sp, Musa sp., Chrystotachys lakka, Elaeis guineensis, Rhododendron sp, Agave dan dua tiga spesis lagi. Rekabentuk hakcipta terpelihara emak aku.

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 5/02/2006 10:20:00 PG. | 55 Ulasan