Jumaat, November 30, 2007
"Bagaimana kan kumula
Dan apakah kata-kata
Yang indah untuk diabadikan"


Alhamdulillah, saya masih diizinkan untuk terus bercerita di sini. Cerita-cerita biasa, yang terilham dari imej-imej dan realiti kehidupan, alam dan manusia. Cerita-cerita yang berkocak di fikiran. Tafsiran pengalaman dan pemerhatian. Semuanya mengikut bahasa saya. Seadanya, sebab saya bukanlah penulis atau orang sastera yang bijak berbahasa. Memanglah saya orang seni, tapi senibina landskap.

Oh ya. Ini laman bahasa Melayu, jadi saya bercerita dalam bahasa Melayu. Seingat-ingat saya, cuma tiga empat kali saya bercerita dalam bahasa asing. Tapi nanti, kalau saya teringin berbahasa lain; bahasa Inggeris, Urdu atau Portugis misalnya, saya akan membuka laman dalam bahasa tersebut, sepertimana saya membuka laman berbahasa Jerman Jawa di Monggo Mampir itu.

Selalunya cerita-cerita saya agak kekampungan. Kejawaan. Saya akui. Saya tidak segan mengakui akar saya. Sesekali cerita saya mengunjungi masa silam, retrospektif, membelek semula lipatan sejarah dan menyegarkan semula kenangan yang telah ditinggalkan. Sesekali saya merepek yang bukan-bukan, bercerita yang entah apa-apa! Sesekali mengada-ngada. Sesekali naluri ini terjentik lantas mengundang kebencian melihat kebobrokan dan kebejatan manusia di sekeliling. Saya luahkan keresahan ini dalam bentuk cerita, satira, juga baris-baris puisi [itupun kalau layak disebut puisi] tentang ranah masyarakat, tentang jiwa manusia yang goyah dan rapuh. [Padahal saya bukan bagus pun, saya juga sebahagian dari masyarakat itu!]

Hari ini, jam ini, minit ini, genaplah dua tahun usia Jowo Pinter ini.

Terima kasih kepada kalian yang sudi menyinggahi blog ini, menyapa di peti jerit dan meriuh-rendahkan kotak ulasan. Juga kepada pengunjung-pengunjung senyap, dan rakan-rakan yang tersesat ke mari yang asalnya ingin mencari info, tentang ketiak misalnya. Terima kasih semua kerana menjadi rakan maya saya, walaupun kalian tidak pernah mengenali saya, walaupun saya cukup kedekut menayang wajah saya - yang perasan kacak ini.

Jutaan kemaafan sekiranya sepanjang dua tahun ini, ada jiwa yang terluka, ada hati yang terasa dengan tulisan dan gurauan saya. Saya bukan sempurna.

Andai nanti masih diizinkan Tuhan, saya ingin terus bercerita. Biarpun mungkin akan sampai masanya nanti kalian sudah jemu dan menyampah membaca cerita saya, tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya laman ini akan menjadi coretan untuk saya baca semula di hari tua saya, juga cerita saya untuk anak-cucu saya suatu hari nanti.

"Dan di satu masa
Di hari yang indah
Kuhulur tanganku
Lalu kau terima"

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 11/30/2007 03:30:00 PTG. | 63 Ulasan
Selasa, November 27, 2007
Cerita buat semua suami dan isteri [juga bakal-bakal - saya misalnya Image Hosted by ImageShack.usImage Hosted by ImageShack.usImage Hosted by ImageShack.us] sempena Hari Antarabangsa Membasmi Keganasan Terhadap Wanita, sabtu lepas.

Ana - bukan nama sebenar - adalah saudara saya. Sebelum ini dia sudah beberapa kali mengadu. Hal jantan itu. Maki-hamun sudah jadi juadah harian Ana. Jiran-jiranpun sudah acap kali, dan lali mendengar suara amukan jantan itu. Setiap kali Ana mengadu, saya cuma mampu menasihatinya, "sabar sajalah Ana, jangan dilawan suami kau itu, banyakkan berdoa.” Saya tak mahu dia terus mengambil jalan singkat menuntut cerai, tak mencium bau syurga nanti.

Beberapa bulan kemudiannya, angin bertiup, bukan sepoi-sepoi bahasa lagi tapi kencang, membawa khabar hangat. Jantan itu bermain cinta dengan seorang janda. Dan ditangkap berkhalwat pula! Menyirap darah saya. Sungguh memalukan kaum lelaki! Kemelampauan jantan itu juga semakin menjadi-jadi. Dia mula jarang balik ke rumah. Bila balik mengamuk tak sudah-sudah. Pernah dia mengamuk pukul 2 pagi. Habis pintu dan kerusi meja diterajangnya. Malah mesin jahit Ana - tempat Ana bergantung, menyara dirinya dan anak-anaknya - patah diterajang jantan itu. Anak-anak yang masih tak mengerti apa-apa menjadi mangsa. Nafkah batin masih mahu, tapi nafkah zahir buat tak tahu, Ana yang menyara keluarga. Entah ke mana perginya gaji jantan itu. Huh! Suami apa kalau begitu?

Kemuncaknya, baru-baru ini, bila Ana memberitahu saya, sambil menangis tersedu-sedu, mengadu, kaki dan tangan jantan itu sudah beberapa kali naik ke badannya. Sampai lebam-lebam tubuh badan Ana dikerjakan. Ana langsung tidak melawan. Jantan itu juga meracau ingin membakar rumah dan sanggup membunuh. Ana semakin tertekan. Seksaan yang ditanggung Ana itu dapat saya lihat dari susuk tubuhnya yang semakin kurus itu. Di wajahnya sudah tiada lagi cahaya ceria, sedikitpun. Kasihan. Meskipun menebal simpati saya, tak banyak yang mampu saya bantu. [Sebenarnya saya ini panas baran juga, kalau saya berdepan dengan jantan itu, teruk nanti dia saya kerjakan!]. Saya menasihatkan Ana membuat pemeriksaan lebam-lebam di badannya itu di klinik, buat laporan polis, ambil salinan laporan doktor dan polis, dan adukan ke pejabat agama. Saya minta dia adukan juga ketidakbertangungjawapan suaminya itu. Ana mengikut nasihat saya. Saya tak pasti, samada betul atau tidak cara saya itu.

Kelmarin Ana memberitahu saya. Kesabarannya sudah bernoktah, penyelesaian yang terbaik adalah berpisah. Ana mendapat hak penjagaan kedua anaknya yang berumur tujuh dan lima tahun itu.

Gambar di sebelah ini cuma imej selitan. Juga tentang kezaliman terhadap kaum wanita.

Concy Lawil, wanita Uganda yang kalau tidak silap saya dikatakan diseksa dan dipaksa memakan daging yang dikerat dari mukanya sendiri. Saya petik di rencana di the Star, ahad lepas.

Zalim sungguh!

TTFN

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 11/27/2007 03:27:00 PTG. | 55 Ulasan
Jumaat, November 23, 2007

Di pojok sebuah laman, milik penguasa, di pinggir paru-paru kota. Pasca pembangunan.

Lorong itu sempit. Gigi jalannya berlumut dan comot. Sampah-sampah berserakan. Renek topiarinya 'membelukar'. Axonopus compressus merayap tanpa segan. Mimosa pudica pun sudah hilang silunya, menjongolkan tunasnya, menumpang ruang oksigen dan cahaya.

Di dekat kon jingga yang keropos itu, kulihat, anak spesis Ficus nitida emas yang comel, menumpang kasih pada sebuah motorsikal Honda selekeh, separuh lusuh, tapi mulia hatinya.

Di sebelahnya, sebuah kereta sukan berwarna ungu, yang berdebu, sombong, menumpang ruang, tanpa izin.

Dunia ini, tumpang-tumpangan.


Nota : Axonopus compressus [rumput 'lembu'], Mimosa pudica [semalu], Ficus nitida [Ara]
TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 11/23/2007 12:07:00 PTG. | 39 Ulasan
Selasa, November 20, 2007
Dalam seminggu ini saya sempat merajinkan diri, sekejap-sekejap mengendap melalui Penjejak Ekstrim saya itu. Semata-mata ingin menggelikan hati membaca apa yang sahabat-sahabat kita di luar sana ingin cari di enjin carian internet, tetapi tersesat ke blog ini.

Yang ini saya pilih, salin dan tampal yang 'pelik-pelik' sahaja - tanpa sebarang suntingan.

13 Nov, Tue, 17:57:41 - Yahoo: bulu ketiak pelakon malaysia
13 Nov, Tue, 17:59:39 - Google: urut sedap
13 Nov, Tue, 19:02:07 - Google: pantang main kepala
13 Nov, Tue, 21:31:38 - Yahoo: sexvideo datok
14 Nov, Wed, 07:04:54 - Google: urut lelaki
14 Nov, Wed, 08:47:20 - Yahoo: cerita ghairah
14 Nov, Wed, 09:48:34 - Yahoo: BUDAK REMPIT KENCANG
15 Nov, Thu, 17:48:25 - Yahoo: gambar konet orang
15 Nov, Thu, 18:29:13 - Yahoo: ketiak perempuan
15 Nov, Thu, 20:51:32 - Yahoo: maksud tersirat jenis-jenis kentut
15 Nov, Thu, 21:32:05 - Yahoo: novel mona gersang
15 Nov, Thu, 21:57:37 - Yahoo: badan lelaki sasa
15 Nov, Thu, 23:54:54 - Google: mona gersang
17 Nov, Sat, 01:50:57 - Google: cerita amoi
17 Nov, Sat, 06:04:47 - Yahoo: belajar gunting rambut lelaki
17 Nov, Sat, 07:59:53 - Yahoo: g' gendut dan g' kurus
17 Nov, Sat, 09:25:11 - Google: anak ketagihan main game internet
17 Nov, Sat, 10:53:37 - Yahoo: selaur dalam lelaki dan baju dalam
17 Nov, Sat, 11:19:57 - Yahoo: selaur dalam lelaki dan t-shirt dalam
18 Nov, Sun, 15:19:47 - Google: gejala "orang yang bosan"
18 Nov, Sun, 20:55:35 - Yahoo: cukur bulu kaki
18 Nov, Sun, 21:29:07 - Google: pusat terkeluar
19 Nov, Mon, 05:54:46 - Yahoo: lutut panas
19 Nov, Mon, 06:52:48 - Yahoo: gambar lembu aku
19 Nov, Mon, 20:52:19 - Yahoo: gambar pecah dara aku
20 Nov, Tue, 07:03:02 - Yahoo: ketiak berbau
20 Nov, Tue, 08:04:09 - Google: gambar badan tegap dan sasa
20 Nov, Tue, 08:13:37 - Google: MONA GERSANG

Isk! Isk! Isk!

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 11/20/2007 12:27:00 PTG. | 47 Ulasan
Jumaat, November 16, 2007
Pagi itu, penduduk kampung Parit Kodari beramai-ramai berkumpul di hadapan surau lama, di hujung kampung itu. Ada yang sudah sampai di situ sejak seusai solat jemaah subuh lagi.

“Aku pantang dicabar!” pekik Wak Dol. Marah sungguh dia sebaik sahaja menantu kesayangannya, si KoJol itu membisikkan perkhabaran tentang penduduk kampung yang berkumpul ramai-ramai itu.

“Aku nak tidur, nak bergurau senda dengan bini pun tak senang!” dengusnya lagi, sambil menggulung kain pelikatnya. Sebagai ketua kampung dan ketua parti Sarkas di kampung itu, kredibilitinya tercabar.

Di hadapan surau itu, semakin ramai orang kampung yang berkumpul. Berbondong-bondong. Pendek kata, yang sihat datang berkaki, yang tempang datang bertongkat. Dengarnya ramai yang bercuti tidak ke kebun pagi itu. Antaranya, Wak Mat Sabut dan Wak Kolid Brahim cuti menoreh, Wak Kasan Ali pula bercuti dari mengambil upah memancah dan mengeruk parit, cikgu Salleh Ayob mengambil cuti tanpa gaji, malah apek Lim dan anaknya si Guan itupun bercuti menjaja ikan dengan motor buruknya hari itu. Semata-mata ingin ikut sama berkumpul ramai-ramai di depan surau itu.

“Kami juga jangan dicabar, kami sudah lama bersabar!” laung penduduk kampung itu, hampir serentak. Mereka yang selama ini berdiam diri benar-benar memaksudkannya kali ini. Selama ini mereka nampak seperti bodoh, diam dan membisu. Rupa-rupanya bodoh, diam dan membisu mereka bak gunung berapi. Sengaja disimpan senyap, menunggu saat untuk memuntahkan lahar semangat perjuangan demi menuntut keadilan dan pembaharuan. Mereka inginkan perubahan. Ingin ‘membersihkan’ segala ‘kekotoran’ yang telah bergumpal lama dalam kepimpinan kampung itu. Ingin memperbetulkan mana-mana yang bejat.

Mereka tidak rela terus dipergula-gula dan diperbodohkan oleh kepimpinan Wak Dol. Mereka ingatkan ketua kampung yang dulu, Wak Dir itu teruk, Wak Dol lebih baik sebab orangnya dikatakan islamik, rupa-rupanya Wak Dol lagi teruk. Lebih bobrok! Lebih korup! Rumah Wak Dol semakin besar bertingkat-tingkat, belum yang di luar daerah lagi! Tanah kebunnya semakin banyak, kereta sampai tujuh lapan buah. Begitu juga JKK kampung yang juga orang-orang kanannya. Sedang surau dan balairaya terus senget hampir menyembah bumi, jalan berlubang, bonyok dan becak sana-sini, jambatan hampir roboh, parit tersumbat. Orang kampung yang miskin tidak terbela, tetapi Wak Dol dan JKK terus-terusan bermewah-mewah. Cerita duit peruntukan pembangunan kampung untuk memperbaiki jalan, surau, jambatan dan parit disonglap Wak Dol dan JKK kampung bukanlah satu rahsia lagi.

Bukan itu sahaja. Penduduk kampung yang tak sependapat dengan Wak Dol akan dipinggirkan. Surau dan balairaya itupun sudah menjadi semacam hak beliau dan orang-orangnya. AJK surau yang betul-betul jujur berkhidmat untuk agama disingkirkan. Dilantiknya orang-orangnya, yang tidak pernah sekalipun menampakkan batang hidung bersolat jemaah. Ceramah agama disekat-sekat tetapi pertandingan nyanyi-nyanyi dan joget-joget di balairaya digalakkan pula.

“Kepemimpinan kampung kita perlu dibersihkan!” teriak Wak Nuar, bekas penolong ketua kampung, yang dipecat Wak Dir dulu, kerana tuduhan palsu menggelapkan duit hasil jualan getah sekerap koperasi dan mengendap janda yang sedang mandi, tak lama dulu.

“Allahuakbar!” laung Haji Adi, guru Al-Quran yang dihormati di kampung itu, yang biarpun sudah tua tetapi sungguh bersemangat pagi itu. “Allahuakbar!” disambut serentak, beramai-ramai, bersemangat.

“Bersih sebahagian dari iman! Aku pun bayar cukai juga!” pekik Abang Sekak, anak Wak Nah yang jarang balik kampung itu, entah dari mana, tiba-tiba, pagi itu muncul pula.

Tiba-tiba datang gerombolan demi gerombolan lelaki-lelaki berbaju seragam, bertopeng, bertopi dan berperisai. Ada yang memegang senapang, ada yang memikul meriam, ada yang memegang bom tangan. Mereka bertrak, berkereta kebal dan berkuda, bagai bala tentera hendak berperang lagaknya, mengepung tempat itu. Padahal penduduk kampung berkumpul dengan tertib, tak mengacau sesiapapun. Mereka memekik-mekik mahu penduduk kampung bersurai. Namun penduduk kampung itu seincipun tidak berundur, tetap tidak gentar, berpegangan tangan erat sesama mereka, biarpun ada yang terpinga-pinga dan sesetengahnya menyelamatkan diri naik ke atas surau, bila pancutan air yang deras dan kepulan asap yang memedihkan mata dan menyesakkan dada mula menghujani dan mendera mereka secara keras dan rakus.

Malam itu, di rumah besar Wak Dol. Majlis makan-makan. “Wayar kepala mereka dah longgar, Wak Dol…,” Wak Najeri Ajis bersuara, cuba memancing perhatian Wak Dol agaknya.

“Ha ha ha!” Wak Dol ketawa berdekah-dekah, sambil mencabut bulu hidungnya yang terjulur.

“Itu monyet pak! Beruk jalanan!” sampuk pula anak menantu kesayangannya.

“Ha ha ha!” sampuk Wak Zam Zam Ala Kazam, bagai tersampuk lakunya.

“Ha ha ha!” sampukan dan racauan mereka itu berterusan, bersambung-sambung, bersahut-sahutan, tak putus-putus.

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 11/16/2007 10:27:00 PG. | 42 Ulasan
Selasa, November 13, 2007
Kelmarin. Kami melakukan kegiatan yang amat melenguhkan kaki, mata dan fikiran; membeli-belah tingkap. Kegiatan yang jarang saya suka, sebenarnya. Tempatnya di The Gardens, bersebelahan Mid Valley itu.

Saya bagai tersihir dengan suasananya. Bukan pada barang-barangnya. Mata saya memang agak pelik sedikit. Seni bina, seni reka dan susun atur dalamannya itu yang agak memikat jiwa. Begitu juga unsur-unsur kemasan binaan dalamannya. Maksud saya dari segi tampakannya. [Amalan seni bina di Malaya ini bukan selalu mengambil kira sangat kepraktikan dan kewajarannya pun!]

Cuma saya tertanya-tanya, kenapa namanya ‘The Gardens’ agaknya? Gagasan dalamannya lebih kepada unsur landskap kejur. Unsur landskap lembutnya agak kabur. Gagasan taman yang harmoni dan ‘berjiwa’ seharusnya seimbang unsur-unsur kejur dan lembutnya, seperti seimbangnya tindak saling di antara manusia dan alam persekitarannya. Saya mengandaikan, mungkin pembinaannya masih belum sempurna sepenuhnya.

Sesampainya di 'aras perdana', tiba-tiba perut meragamlah pula! Saya berkejar ke aras atas sebab saya belum cukup kaya untuk masuk ke bilik rehat [baca : tandas] di 'aras perdana' itu. Bayaran masuknya RM 5.00! Kenapa semahal itu jangan tanya saya. Mungkin layak untuk manusia-manusia yang sudah berlebih-lebih duit, atau untuk manusia-manusia yang mahu bermewah-mewah agaknya. Entah apalah agaknya kesaktian yang ada di dalam bilik rehat itu ya?

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 11/13/2007 03:07:00 PTG. | 48 Ulasan
Jumaat, November 09, 2007
Senja itu. Saya melangkah ke arah ruang legar lif pangsapuri itu, perlahan-lahan. Kedua belah tulang betis saya masih berdenyut-denyut akibat cedera berlaga keras dengan kerusi semasa saya sedang teraba-raba di dalam gelap lewat petang sebelumnya. Kerusi itu berdekatan tangga tempat saya terbongkang dan kaki saya terkehel tempohari. [Kurang asam punya Iskandar! Adakah patut dipadamkannya semua lampu pejabat, sedangkan saya masih ada lagi di dalam bilik!].

Di ruang legar lif itu cuma saya dan seorang nenek, berbangsa Tionghua. Selalu-selalunya, sewaktu saya menyinggahi pangsapuri persinggahan itu, nenek itulah juga yang sering meniup bangsi dan ‘menyumbangkan’ lagu-lagu, di anjung rumahnya itu. Pernah saya meleteri nenek itu, “isk!, senja-senja tiup bangsi, tak tau waktu Maghrib ke?” Pernah juga saya memujinya, “wah!, persembahan nenek semakin mantaplah!” Malah pernah juga saya mengusiknya, “lagu Pussycat Doll satu nek!” Tapi leteran, pujian dan usikan itu cuma saya sampaikan secara senyap. Nenek itu tak pernah tahu.

Penantian kami di ruang legar itu tidak lama. Ting! Pintu lif ternganga.

“&*%$ …^%$#+!…$%%#@”, nenek itu menyapa, tanpa memandangpun wajah saya. Mungkin bahasa Mandarin, mungkin Kantonis, entah! Saya melirik ke arahnya, sambil tersenyum sendiri. Saya teringat orang bijak pandai ada berkata, kalau tiada kata-kata yang baik untuk diucapkan, diam itu lebih baik.

“^%$...*(&^%$$....)$$#^&..”, sapa nenek itu lagi sewaktu jejarinya menekan angka aras di dinding lif itu. Saya tak pasti, sapaan itu satu ucapan atau pertanyaan. Kemudian, dengan penuh santun, jejari saya pula menekan angka aras yang ingin saya singgahi. “Aiya! Lu Melayu ka..?” kata nenek itu, menoleh dan matanya memandang wajah saya. Barulah sepasang mata kami bertemu.

“Olang Melayu…….bla….…bla…..Kuala Pilah…..…selara…. Tampin……bla….. bla…bla….. makan…bla…..bla…selap….,” nenek itu menjadi ramah secara tiba-tiba. Aduh! Entah apa-apalah yang nenek itu bicarakan, saya kurang menangkap butir-butir percakapannya. Saya mengangguk-anggukkan kepala, berulang-ulang kali, mengiyakan.

“Bla…bla..Tampin… bla..bla…jauh….bla…bla….Amoi Melayu manyak cantik woooo!”, kata nenek itu lagi, beriya-iya, sambil jari telunjuk kanannya menunjuk-nunjuk ke arah wajah saya, seolah-olah mahu ditunjalnya biji mata saya, sebelum kakinya melangkah keluar dari lif itu.

“Bla…bla…bla...” sambung nenek itu, di luar lif, di saat-saat akhir sebelum pintu lif itu terkatup rapat, meninggalkan saya sendirian, kemudiannya.

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 11/09/2007 02:27:00 PTG. | 35 Ulasan
Selasa, November 06, 2007
Kali ini imej objek-objek berkaki dan beroda. Sesetengahnya memang sengaja ingin diabadikan di lensa kamera, sesetengahnya pula secara kebetulan muncul di hadapan mata.

Si Tampuk, kucing Parsi kesayangan emak. [Oh ya! Kucing abah, si Cicak itu telah menghembuskan nafas terakhirnya beberapa hari selepas imejnya terpapar di sini]

Biawak sedang merayau-rayau di halaman rumah. Nampak jinak dan mesra tapi agak malu-malu. Cepat-cepat melarikan diri bila didekati.

Di satu jalan sunyi berdekatan kampung kami, seekor anak harimau terkujur kaku. Isi perutnya terburai. Mungkin kes langgar-lari. Kasihan.

Malam itu, seekor rama-rama cantik menerobos masuk ruang dapur lalu hinggap di dinding. Kata orang tua-tua, ada orang jauh nak datang. Kebetulan malam itu kami didatangi pakcik kami dari Pahang.

Himpunan objek beroda milik Pak Usu. Skuter Vespa, kapcai Yamaha, basikal, kereta sorong dan tayar terpakai. Tidak untuk dijual.


Lagi himpunan milik Pak Usu. Motorsikal - semacam Jipang - kalau tidak silap spesis Yamaha RX100. Juga kereta Toyota merah antiknya.


Basikal adik bongsu saya ini terbiar di bawah rumah. Semacam terpinggir dan dilupakan sejak abah membelikannya motorsikal.

Kalau sudah taksub dengan angka tujuh, mana mungkin dapat dilepaskan begitu saja. Hidup tujuh!

TTFN

Label:

 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 11/06/2007 02:07:00 PTG. | 47 Ulasan
Jumaat, November 02, 2007
Semalam saya didatangi kiriman e-mel dari saudara Marsli NO. penyair tersohor tanahair berwajah serius itu, memberikan reaksi terhadap ulasan kontot saya di entrinya, Aku, Blog dan Peracau itu. Saya suka membaca entrinya itu. Jujur dalam sinis. Berterus-terang. Sesekali terasa juga pedasnya.

Itu peracau di blog. Hari ini fikiran saya terjentik untuk berfikir tentang golongan peracau yang satu lagi ini. Kalau memang sudah bodoh, tidak hairanlah meracau, sebab itu mungkin kejahilan, kecetekan ilmu atau kedangkalan fikiran. Tak apalah, kita mungkin boleh ampunkan saja. Tapi golongan peracau yang ini bijak-bijak otaknya dan kebanyakannya berpelajaran tinggi-tinggi belaka.

Racauan mereka selalunya yang tak masuk akal. Meracau yang bukan-bukan. Berbaur repekan, salakan dan ngauman. Racauan yang menjijikkan dan amat memualkan. Sesekali peracau ini menjelmakan diri sebagai pak lawak atau badut. Memperbodohkan orang lain sambil memperbodohkan diri sendiri. Mungkin mereka benar-benar dungu, kurang waras atau bebal barangkali.

Ah! Saya pula ‘termeracau’ di sini! Bukankah majoriti kita juga yang memilih peracau-peracau itu mewakili kita? Bukankah majoriti kita juga yang mengamanahkan negara ini kepada peracau-peracau ini setiap kali pemilihan yang lima tahun sekali itu?


“Tiada yang salah. Hanya aku manusia bodoh. Yang biarkan semua ini permainkanku. Berulang ulang kali." - Manusia Bodoh [ADA Band].

TTFN
 
Cerita blackpurple @ jowopinter pada 11/02/2007 11:07:00 PG. | 38 Ulasan